Apakah Kemurungan Berpunca Dari Gangguan Makhluk Halus & Rawatannya?


Kemurungan
Kemurungan adalah gejala kesedihan yang berlaku secara luar biasa. Kredit foto: http://mindinsight.com.au

 

Apakah anda pernah mengalami kemurungan?

Saya sendiri pernah merawat beberapa pesakit yang datang ke pusat rawatan kerana mengalami kemurungan. Persoalannya, apakah kemurungan berpunca dari gangguan?

Punca Kemurungan

Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan kemurungan klinikal. Ianya boleh berpunca dari faktor luaran seperti berlakunya kehilangan yang besar, contohnya kematian suami ataupun kematian seseorang yang sangat disayangi.

Dan ia juga boleh berlaku hanyalah disebabkan oleh perkara yang dianggap remeh oleh orang biasa seperti tidak mendapat keputusan peperiksaan sepertimana yang diingini. Antara contoh kes kemurungan klinikal yang pernah saya rawat ialah seorang ibu yang risau melihatkan anaknya yang tidak bekerja.

Disebabkan beliau terlalu risau dan memikirkan masalah tersebut hingga akhirnya menyebabkan beliau mengalami kemurungan klinikal selama 5 tahun (ketika artikel ini saya tulis). Dan beliau perlu menjalani rawatan dan mengambil ubat penenang.

Di sini kita perlu mengenali diantara kemurungan klinikal dengan perasaan sedih biasa yang mana perasaan sedih ini adalah normal dan dialami oleh semua orang dari semasa ke semasa. Perasaan sedih yang berpanjangan akan menyebabkan berlakunya kemurungan klinikal.

Tetapi perlu difahami di sini ialah, bukan semua orang yang mengalami perasaan sedih atau murung akan mengalami kemurungan klinikal. Malah perasaan sedih ini adalah normal dan akan dialami oleh semua orang. Bahkan Rasulullah sendiri mengalami kesedihan ketika meninggalnya isteri kesayangan baginda iaitu Siti Khadijah r.ha.

Cuma apabila perasaan sedih ini tidak dikawal dan akhirnya menguasai pemikiran kita, ketika itulah boleh berlakunya kemurungan klinikal. Sebagai orang yang beriman, kita perlulah menganggap bahawa apa-apa perkara yang menyebabkan kesedihan kepada kita adalah ujian daripada Allah s.w.t sepertimana firman-Nya:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman, sedangkan mereka belum lagi diuji?”Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui  orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta” (Surah al-Ankabut ayat 2-3)

Kemurungan tidak mengenal siapa. Ianya boleh sahaja berlaku kepada kanak-kanak, orang dewasa, lelaki dan perempuan, mereka yang sudah berusia dan tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa dan juga status sosioekonomi.

Menurut Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006, setelah dilakukan kajian ke atas 14000 pesakit mental, didapati 20% daripada mereka ialah golongan kanak-kanak dan hanya 11% sahaja dari golongan dewasa.

Punca-Punca Kemurungan

Di sini saya senaraikan beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada masalah kemurungan.

1) Masalah rumahtangga di mana masalah tersebut menyebabkan ahli keluarga mengalami tekanan. Contohnya masalah rumahtangga yang melibatkan seorang suami yang berlaku curang terhadap isterinya. Apabila kecurangan suami diketahui, akan mengakibatkan tekanan pada isteri yang akhirnya menyumbang kepada kemurungan.

2) Faktor genetik atau keturunan di mana ada diantara ahli keluarga yang mengalami masalah mental.

3) Kehilangan sesuatu atau seseorang yang disayangi. Contohnya ibu yang kematian anaknya di mana ibu tadi sentiasa terbayangkan anaknya seolah-olah anaknya masih hidup. Apabila keadaan ini berlarutan, ianya akan menyumbang pada kemurungan.

4) Perubahan keadaan sekeliling yang berlaku secara mendadak. Tambah pula apabila perubahan ini berlaku tanpa ada sokongan dari ahli keluarga atau rakan baik. Contohnya banyak berlaku dikalangan pelajar-pelajar universiti yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Perubahan secara drastik dari segi cuaca, makanan, cara hidup akhirnya boleh menyumbang kepada kemurungan.

5) Perasaan rendah diri yang terlalu meninggi di dalam diri sehingga mereka merasakan tidak mempunyai keyakinan untuk melakukan sesuatu. Apabila melakukan sesuatu mereka rasakan tidak sebagus orang lain dan pasti akan menemui kegagalan.

6) Masalah yang dirasakan terlalu berat untuk dipikul dan diselesaikan juga boleh menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah kemurungan. Contohnya masalah kewangan yang boleh menyebabkan bankrap atau muflis.

Nota: Artikel ini akan bersambung.

Kredit Info: Pusat Rawatan Islam al-Hidayah

Ada pertanyaan?