Dari Api Apakah Diciptakan Jin?

jin islam
Anggaran Masa Bacaan: 12 minit

Dikemaskini pada 15/03/2017 oleh Ustaz Abdullah

Berkenaan dengan unsur penciptaan jin, Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran tentang perkara tersebut. Antara ayat yang menjelaskan tentang penciptaan jin ialah:

“Dan jin pula Kami jadikan sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma” (Surah al-Hijr, ayat 27)

“Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang” (Surah ar-Rahman ayat 15)

Di dalam dua ayat di atas Allah menjelaskan bahawa Dia telah menciptakan makhluk jin dari unsur api. Tetapi ada persoalan menarik di sini yang boleh dibahaskan iaitu bahagian api yang manakah yang digunakan untuk menciptakan jin?

Ianya sangat menarik untuk kita semua ketahui kerana dengan memahami perkara tersebut, ada banyak lagi persoalan yang akan terjawab iaitu:

  • bagaimana jin mampu untuk merubah bentuknya.
  • mengapa ada sesetengah sihir boleh wujudnya bahan-bahan seperti paku, kaca dan sebagainya di dalam pesakit. Adakah ianya realiti atau sekadar pandangan kita sahaja?
  • dan banyak lagi persoalan yang akan terjawab.

Untuk makluman pembaca, artikel yang akan anda baca ini adalah satu perkongsian yang sangat menarik dari Dr. Supyan Hussin, iaitu seorang Profesor di Pusat Penyelidikan Kelestarian Sains Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, yang mana ketika ini merupakan Timbalan Pengarah Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran UKM.  Pengkhususan beliau adalah dalam bidang pendidikan dan teknologi.

Artikel ini saya ambil sumbernya dari blog beliau. Anda boleh membaca artikel asal melalui pautan ini. Semoga dengan pembacaan ini, akan dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan kita, sekaligus dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah, inshaaAllah.

Hipotesis Jin Dicipta Dari Plasma atau Gas Ion Yang Berasal Dari Api

Di dalam al-Quran disebut dua makhluk yang dijadikan oleh Allah, iaitu jin dan manusia.

“Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku” (Surah az-Zariyat ayat 56)

Jin Dari Api

“Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu dari api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma” (Surah al-Hijr ayat 27)

Manusia Dari Tanah

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya” (Surah al-Hijr ayat 26)

Sepertimana manusia yang merupakan kelompok besar dan mempunyai pelbagai etnik, jin juga adalah kelompok besar dan mempunyai etniknya sendiri.

Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”

Jin terdiri daripada syaitan, ifrit dan iblis. Orang Melayu memberikan nama kepada jin seperti toyol, jembalang tanah, jembalang air, puntianak, langsuir dan pelbagai lagi nama-nama ciptaan orang Melayu.

Malaikat juga adalah makhluk ciptaan Allah. Mereka juga mempunyai etnik dan kelompok berdasarkan kepada tugas dan peranan masing-masing. Di dalam hadis, disebut Malaikat diciptakan oleh Allah dari cahaya.

Malaikat Dari Cahaya

“Para Malaikat diciptakan Allah dari cahaya, dan diciptakan-Nya jin dari api, sedangkan Adam diciptakan dari apa yang telah dijelaskan kepada kamu” (Hadis Riwayat Muslim)

Tetapi persoalannya, perlukah kita fikirkan tentang kejadian manusia, jin dan malaikat? Tidak cukupkah kita terima sahaja dan beriman sahaja dengan apa yang sudah disampaikan kepada kita dari Rasulullah s.a.w. Apakah ia akan menambah iman dalam diri kita kalau kita tahu lebih lanjut dari apa yang sudah disebut dalam Al Quran dan Hadith?

Sesungguhnya ilmu Allah ini luas. Islam tidak menghalang kita untuk meneliti ilmu dan membina ilmu selagi mana ia tidak bawa mudarat kepada manusia dan tidak membawa manusia syirik kepada Allah. Ilmu sains adalah satu bentuk ilmu dalam khazanah Allah. Sains tidak bercanggah dengan Islam, sebaliknya sains menunjukkan kebenaran Islam, kebenaran Al Quran, keindahan Islam dan kebenaran Hadith. Menyelidik dan memahami kejadian manusia, jin, dan malaikat seharusnya menambah keyakinan kita dan iman kita terhadap kejadiaan alam ini dan keagungan Allah adalah suatu yang digalakkan dalam Islam.

Jin Dari Api

“Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang” (Surah ar-Rahman ayat 15)

Menurut Al Quran, manusia dibuat dari tanah, manakala jin dibuat daripada api. Tetapi kedua-dua kejadian ini tidak diperincikan. Adakah manusia itu dijadikan dari tanah liat yang kering tanpa dicampurkan dengan air? Begitu juga dengan kejadian Jin. Apakah jenis api dan kekuatan api yang digunakan? Adakah lapisan api warna putih, jingga, biru, hijau, kuning, oren, merah, atau hitam? Kita membuat hipotesis jin dibuat dari lapisan api bewarna hitam.

Api adalah satu manifestasi haba dan suhu. Api boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi haba hanya boleh dirasai. Haba dan suhu boleh diukur menggunakan alat ukur dan boleh diterjemahkan dalam bentuk kuantiti.

Setiap lapisan api ada bahang yang memiliki tenaga (energy) masing-masing. Bahang api disebut sebagai haba. Di dalam haba, terdapat sumber plasma atau gas ion (ionized gas). Setiap  tahap haba ada warna berbeza. Haba paling panas ialah pada api berwarna merah. Haba paling rendah atau kecil ialah pada api berwarna hitam. Di sinilah duduknya haba awal yang mengandungi sumber plasma atau gas ion yang menjadi sumber kejadian jin. Apabila gas ion ini mendapat cukup oksigen, ia akan membesar dengan haba yang lebih kuat dan bertukar warna.

Kita membuat hipotesis bahawa JIN dicipta dari PLASMA atau GAS ION yang terdapat pada api. JIN bukan dibuat dari cahaya. Perkataan NAR bukan bermakna cahaya, tapi API.

Firman Allah lagi di dalam surah Al-Hijr ayat 27 yang bermaksud:

“Dan jin pula Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma”

Kalimah Nar dalam ayat ini disebut sebagai “Angin api” dianggap sebagai haba, yang mempunyai suhu dan kekuatan suhu ini disebut sebagai bahang. Setiap lapisan warna api ada tahap haba dan kekuatan bahangnya. Dalam haba dan bahang ini terdapat plasma.

Plasma ialah molekul-molekul gas tanpa elektron, atau tidak cukup elektron, dan dikenali juga sebagai ion. Plasma terbentuk dari molekul gas yang menerima tenaga yang tinggi. Gas yang dipanaskan sehingga pada suhu yang tinggi akan menghasilkan plasma. Plasma dikenali sebagai ‘keadaan keempat jirim’, selain dari pepejal, gas dan cecair.

Plasma boleh berubah dan menyerap serta bertukar menjadi suatu bentuk lain samada pepejal (jirim), gas, atau cecair.  Haba boleh bergerak melalui pepejal (solid), cecair (liquid), gas, dan juga vakum (vacuum).

Maka oleh kerana itulah jin yang bersumber dari plasma boleh berubah atau menjelma menjadi suatu yang lain, misalannya ular, jengking, paku, kaca, batu, atau lembaga yang menyerupai manusia atau lembaga yang pelik. Ia adalah jelmaan jin dan bukan rupa jin yang sebenar. Sesungguhnya manusia tidak boleh melihat jin yang sebenar, tetapi hanya boleh melihat jelmaan jin.

Firman Allah lagi di dalam surah al-A’raf ayat 27 yang bermaksud:

“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”

Firman Allah pada ayat ini “Sesungguhnya ia (iblis/syaitan) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka”, menunjukkan bahawa manusia tidak dapat melihat jin, iaitu pada bentuknya yang asli.

Namun melihat penjelmaan jin adalah perkara biasa dan telah terjadi pada zaman Nabi s.a.w.  Ketika menjelaskan manfaat dari hadits Abu Hurairah yang menangkap setan, [1]. Al Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan: Bahwa syaitan terkadang menjelma dengan berbagai bentuk sehingga memungkinkan (manusia) melihatnya. Dan firman Allah Ta’ala “Sesungguhnya ia (iblis/syaitan) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka (al A’raf ayat 27)”, dikhususkan jika pada bentuknya (yang asli) yang Allah telah ciptakan. [Fathul Bari, penjelasan hadits no. 2311].

Kita percaya jin dijadikan dari plasma atau haba dari api yang berwarna gelap atau hitam, iaitu pada sebelah kiri spektrum warna, dan ia boleh dilihat dalam warna merah gelap atau infrared, manakala malaikat dibuat dari warna cahaya putih yang boleh dilihat dalam cahaya ultraviolet pada sebelah kanan spektrum warna.

Memadamkan Api atau Jin

Jin (termasuk syaitan dan iblis) adalah dari api dan mempunyai ciri-ciri “panas”. Nabi s.a.w. telah bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud).

Berwuduk ialah proses syarie (ritual) dengan membasah dan membasuh anggota badan tertentu sebelum mendirikan solat. Orang yang marah dan kemudiannya  berwuduk (ablution) akan reda marahnya. Dalam ertikata lain, air adalah “pemadam” kepada “api” dan menyejukkan suhu atau bahang panas dalam diri manusia.

Orang yang dirasuk atau diganggu oleh jin dipercayai dipengaruhi atau dikuasai oleh jin. Dirinya akan terasa panas dan tidak tenteram. Perwatakan, tingkah lakunya dan suaranya boleh berubah sehingga pada tahap agresif. Maka air boleh digunakan untuk merawat orang terkena gangguan. Air yang dibacakan ayat-ayat Quran akan menjadi penawar kepada  mangsa yang diganggu oleh jin.

Seorang ahli sains Jepun, Masaru Emoto, dalam kajiannya tentang molekul air menegaskan bahawa air yang “mendengar” perkataan tidak elok, tidak sopan, dan kotor menukar molekul normal dalam air kepada wajah molekul yang buruk dan tidak menarik.

Manakala air zam-zam mempunyai wajah molekul yang cantik seperti kristal. Jika dibacakan ayat suci al Quran, ia akan menghasilkan molekul air yang mempunyai struktur yang lebih cantik seperti kristal juga.  Kita percaya air ini mempunyai daya kekuatan yang boleh memadamkan “api” jin dalam diri mangsa yang diganggu oleh jin.

Jika tidak digunakan air, ayat-ayat ruqyah dari Quran serta doa-doa mathur yang dibacakan pada  mangsa yang diganggu jin, dengan izin Allah, boleh menjadikan mangsa tenang dan kembali pulih dari gangguan.

Ada ketika, jin dalam badan manusia memberontak kerana sakit akibat bacaan ayat-ayat Quran yang dibacakan. Ayat-ayat Quran yang dibacakan pada mangsa boleh menjadi “pemadam” kepada “api” dan melemahkan atau merendahkan suhu “panas” dalam diri mangsa, sekaligus memaksan jin keluar dari tubuh badang mangsa.

Jin dan Gelombang

Jika jin dibuat dari plasma, yang dirasai dalam bentuk haba, maka haba mempunyai daya dalam bentuk tenaga (energy) yang mengalir dari kawasan suhu tinggi ke kawasan lain yang mana suhunya adalah lebih rendah. Haba boleh bergerak melalui pepejal (solid), cecair (liquid), gas, dan juga vakum (vacuum).

Pergerakan haba boleh diukur dengan jumlah tenaga kinetik dan tenaga keupayaan zarah-zarah. Pergerakan jin adalah pergerakan gelombang (wave) yang mempunyai kekuatan tersendiri (wave length) dan apabila seseorang diganggu jin, apa yang berlaku ialah jin telah menguasai atau mengambil alih gelombang dalam diri manusia, dan seterusnya menjadikan mangsa mengikut “arahan” atau gelombang jin dalam diri manusia.

Menurut penyelidik yang juga Dekan Fakulti Sains Warna Universal, Universiti Perubatan Antarabangsa Sri Langka; Prof Dr Sir Norhisham Wahab, berkata hantu dan jin tidak memiliki unsur jasad menyebabkan mereka tidak dapat dilihat sebaliknya kewujudan mereka terbukti menerusi sains fizik kuantum dan mampu dikesan menggunakan teknologi gelombang.

Hantu dan jin wujud secara tidak nyata kerana tidak terikat kepada jisim, graviti bumi serta bebas daripada ikatan karbon, molekul dan zarah. Berbeza dengan manusia yang terbentuk daripada partikel halus atom atau unsur yang menyusun semua benda.

“Hantu dan jin bagaimanapun termasuk dalam ghaib nisbi dan boleh diukur menggunakan gelombang bunyi dan gema.” katanya yang menjalankan kajian dalam bidang itu selama sembilan tahun.

Katanya, apabila kajian sudah memahami bagaimana unsur hantu dan jin daripada sudut fizik, usaha terpenting iaitu membantu manusia menghindari gangguan jin dan makhluk ghaib dapat dilakukan menerusi penciptaan penawar dan kaedah pemulihan menggunakan teknologi.

Dr Norhisham berkata, berikutan jin dan hantu terdiri daripada unsur gelombang, mereka dapat menguasai ruang dan masa di dalam tubuh manusia yang mampu memberi impak negatif terhadap kesihatan sehingga ke tahap kerohanian.

Malah, badan manusia yang memerangkap gelombang tidak sihat mampu memberikan kesan terhadap kehidupan seseorang iaitu kesan negatif terhadap jiwa seperti mengalami kelesuan kronik, hilang interaksi pada deria kehidupan, malah cenderung mencederakan diri sehingga membunuh diri.

Kesan pada sistem tubuh secara fizikal pula boleh merosakkan organ dalaman tetapi punca keracunan dalam darah atau sebarang bentuk aktiviti kuman tidak dapat dikesan kerana ia terselindung di sebalik gas beracun.

Apabila keadaan ini berlaku, pesakit pergi membuat pemeriksaan doktor tetapi doktor mengesahkan tiada kuman atau bakteria yang menyebabkan kecederaan dan pesakit adalah normal. Tetapi pesakit berasa sakit, ini adalah antara tanda gangguan jin,? katanya yang mengusahakan kaedah rawatan menerusi syarikat Colour Vibration Therapy (CVT).

Beliau berkata, bagi merawat gangguan jin dan hantu, kaedah pemulihannya adalah dengan mengambil kembali ruang dan masa pada tubuh atau organ manusia yang diresap jin atau hantu.

Suatu gelombang infrasonik berfrekuensi amat rendah namun lebih kuat dirakam secara tetap dan berterusan, dipancarkan sehingga mengganggu gelombang hantu yang sudah meresap ke suatu bahagian; apabila hantu itu berasa tidak selesa, mereka akan keluar dengan sendirinya dan pesakit kembali pulih.

Bagi saya gangguan hantu tidak berbahaya jika dapat dirawat pada peringkat awal. Amalan bacaan surah Yasin pula akan mengaktifkan reaksi kimia di dalam darah dan ini didapati memberi tekanan kepada hantu yang tidak dapat bertahan apabila peningkatan oksigen di dalam aliran darah sebagai tenaga murni dan suci, berlaku.

Walaupun pada peringkat awal rasukan, tubuh pesakit seperti menjadi medan pertempuran untuk mengusir hantu yang menyelinap ke dalam ruang tubuh tersembunyi, namun akhirnya keadaan akan kembali seperti asal.

Sebaiknya untuk merawat rasukan, hanya sapukan air sejuk atau ais yang akan memberi keseimbangan semula melalui rakaman gelombang infrasonik yang bersamaan dengan frekuensi doa yang ikhlas. Ia sudah cukup untuk mengeluarkan gelombang hantu serta mengembalikan ruang dan masa pada tubuh mangsa,? katanya.

Katanya, berbanding rasukan atau gangguan hantu, perkara lebih bahaya adalah sihir yang mampu menyebabkan kematian dengan izin Allah, isteri membenci suami secara tiba-tiba, gangguan terhadap kesihatan fizikal dan menyebabkan pasangan tidak mendapat anak.

Banyak kes rawatan yang saya jalankan menemui pelbagai benda asing pelik seperti habuk kayu, kala jengking dan permata terkeluar secara ghaib apabila gelombang dimasukkan ke dalam badan mangsa malah ketumbuhan yang terjadi pada organ juga ghaib apabila gelombang berfrekuensi rendah dirakamkan ke dalam air mandiannya,? katanya.

Usaha memancarkan gelombang bagi merawat gangguan makhluk halus juga sebenarnya tidaklah sesukar seperti kita bayangkan, tidak perlu peralatan menyerupai senjata, mesin yang besar sebaliknya gelombang boleh diperangkap dalam medium seperti air dan unsur sesuai.

Pada pandangan sains, setiap bunyi yang dihasilkan mempunyai gelombang. Gelombang boleh menjadi bentuk berstruktur dan tidak berstruktur. Setiap bunyi ada tahap kekuatan yang bergerak melalui gelombang. Bunyi yang berstruktur (dalam irama yang betul) akan menghasilkan daya kekuatan yang hebat (wave length).

Bacaan Al Quran secara nyaring dipercayai boleh menghasilkan gelombang yang halus/kecil, kuat, serta menggetarkan partikel pada udara dan molekul-molekul yang bergerak dari satu arah kepada sasaran yang dituju. Apatah lagi ayat-ayat ruqyah dari Al Quran yang dibacakan boleh memberi kesan kepada gelombang jin yang menguasi mangsa dengan menjajarkan semula gelombang dalam diri manusia kepada keadaan yang normal.

Setiap huruf dalam al Quran adalah kod, dan apabila kod ini dicantumkan dalam perkataan dan menjadi ayat lantas dilagukan dengan betul mengikut hukum tajwidnya, maka ia akan menghasilkan bunyi yang mempunyai gelombang berstruktur dan bertenaga. Lantunan suara bacaan yang nyaring akan memberi kesan kepada diri mangsa, manakala yang membacanya dengan nyaring akan membantu “merawat” diri pembaca itu sendiri.

Bagi orang yang membaca sendiri ayat-ayat Quran, pergerakan lidah, gigi, gusi, langit-langit,  anak tekak, air liur dan tenggorok yang berinteraksi antara satu sama lain bagi menghasilkan bunyi ayat bacaan yang betul mengikut sebut makhraj (tajwid) yang betul akan menghasilkan getaran yang menyentuh titik saraf pada permukaan kulit dalam mulut. Titik saraf ini mempunyai hubungan dengan organ dan anggota badan manusia. Getaran yang betul terhasil daripada bacaan Al Quran yang tartil dan bertajwid akan mejadi terapi pada diri manusia. Jika seseorang diganggu jin, getaran yang terhasil itu akan mampu menghalang gelombang jin yang menggangu mangsa.

Dalam satu kes yang menarik di Yogyakarta, Supiyati yang disihir mendapati ada paku-paku dalam kakinya. Setelah diperiksa oleh hospital, memang sah ada 17 batang paku, lalu dibuat pembedahan kecil dan dikeluarkan paku berkenaan. Dua hari kemudian, ada paku baru wujud dalam kakinya dan kali ini terdapat juga paku kecil pada tumit kakinya. X-ray mengesahkan memang ada objek fizikal paku dalam kakinya. Doktor Sageran, pakar bedah, yang mengendalikan kes Supiyati terus mendapatkan khidmat perawat Perubatan Komplementari Islam , iaitu Ustaz Fadlan Abu Yasir. Ustaz Fadlan telah merawatnya dengan cara ruqyah dan air, dan setelah paku -paku keluar jatuh dari kaki pesakit, paku lain pula wujud dalam kaki pada hari-hari seterusnya. Ustaz Fadzlan terus merawat Supyati dan ia mengambil masa setahun setengah hingga Supiyati pulih dengan izin Allah, dan jumlah paku yang dikeluarkan dari kaki Supiyati ialah 2000 batang.

 

Dalam masa yang sama Ustaz Fadlan mengajar Supiyati supaya menghafal dan membaca ayat-ayar ruqyah sendiri dengan tartil dan bertajwid bagi merawat dirinya sendiri dan bergantung kepada Allah untuk perlindungan dan kesembuhan, serta tidak bergantung pada Ustaz Fadlan. Akhirnya, Supiyati dapat menepis serangan sihir pada hari-hari seterusnya hingga hari ini. Beliau telah pulih dan tiada lagi paku baru dalam kakinya.

Kes ini menunjukkan bahawa mungkin paku yang wujud dalam kaki itu adalah jelmaan jin atau ilusi jin, di mana kejadian jin dari plasma boleh menyerap dan berubah menjadi objek fizikal, gas, atau cecair, dan apabila dibacakan ayat-ayat Quran pada mangsa, maka kehadiran jin dapat dihindari dan dipadamkan “api” jin dalam tubuh mangsa.

Ayat-ayat yang dibaca sendiri oleh Supiyati secara nyaring akhirnya menjadi terapi pada dirinya. Getaran-getaran bunyi ayat-ayat al Quran itu telah menghasilkan gelombang yang kuat untuk menuju kepada sasaran gelombang jin dan melemahkan pengaruh gelombang jin dalam diri mangsa, dan akhirnya gelombang pesakit menjadi normal dan pulih, dengan izin Allah.

Kesimpulannya, kita hendaklah rajin membaca al Quran setiap hari walaupun membaca sedikit daripadanya. Kita harus selalu berdamping dengan al Quran kerana ia adalah sebahagian darpada sumber NUR untuk mengukuhkan kekuatan dalam kita dan menambah serta meluaskan pendiding (elekromagnetic field) di sekeliling badan kita.

ANDA DAPAT APA-APA TAK?

Jika anda merasakan artikel yang saya kongsikan di atas memberikan manfaat, saya mohon agar anda kongsikan dengan rakan-rakan anda, samada di facebook, twitter,google+ dan lain-lain.


(Tentang Penulis: Ustaz Abdullah Idris berpengalaman selama 5 tahun membantu merawat pesakit-pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus. Dapatkan perkembangan terkini dari beliau melalui  facebook, google+ dan juga twitter. Beliau telah kongsikan 6 teknik mendinding dari sihir yang telah membantu ramai pesakit beliau. Jika anda ingin mendapatkan khidmat rawatan beliau, dapatkan maklumat lanjut di sini.)

 


Lindungi Diri Anda Dari Sihir Dengan 6 Kaedah Dijamin BERKESAN!

Kaedah yang wajib diketahui & diamalkan  oleh mangsa-mangsa sihir

Anda akan mempelajari:

( 1)  8 jenis wirid/zikir yang mampu menjauhkan jin-jin penyihir.

(2) 1 amalan yang kita abaikan tetapi mampu mendinding kita dari sihir.

(3) 3 teknik & gaya pemikiran yang mampu meningkatkan kekuatan diri
melawan sihir.

Percuma.

3

butang-download

 

Follow saya di sosial media:
Dari Api Apakah Diciptakan Jin?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!