Apakah Perbezaan Diantara Saka & Qarin?

Anggaran Masa Bacaan: 4 minit

Dikemaskini pada 28/04/2023 oleh Ustaz Abdullah

Assalamualaikum pembaca sekalian,

Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah sebagai panduan dan petunjuk kepada manusia supaya mereka akan selamat samada di dunia, lebih-lebih lagi diakhirat.

Di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang berbentuk peringatan, kisah-kisah umat terdahulu, hukum-hakam dan sebagainya. Dan, diantara perkara yang disentuh di dalam Al-Quran itu adalah berkenaan dengan kewujudan makhluk halus.

Bahkan di dalam Al-Quran terdapatnya satu surah yang dinamakan Surah Jin, merujuk kepada sejenis makhluk ghaib yang diciptakan oleh Allah.

Maka, oleh kerana itulah, kita sebagai orang-orang yang beriman wajiblah mempercayai akan kewujudan makhluk halus ini kerana kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib itu sendiri termasuk di dalam rukun iman yang enam.

Bagi membuktikan lagi tentang kewujudan makhluk halus ini, Al-Quran dan Hadis telah menggunakan beberapa istilah. Contohnya, di dalam Al-Quran kita banyak berjumpa dengan perkataan seperti jin, ifrit, syaitan dan qarin.

Manakala di dalam hadis pula, istilah yang digunakan ialah seperti Ummu Sibyan, Khanzab, Aamir, ‘Ammar, Al-walahan dan sebagainya.

Semua istilah-istilah ini adalah merujuk kepada makhluk halus dan juga gangguan yang dilakukannya ke atas manusia.

Qarin dan Saka. Apakah Perbezaannya?

Ramai yang masih keliru diantara istilah qarin dan juga saka. Jadi, bagi merungkaikan kekeliruan ini, saya telah menulis artikel ini untuk berkongsikan dengan anda sedikit sebanyak tentang qarin dan saka ini. Apakah perbezaan dan persamaannya?

Apa yang akan saya kongsikan dengan anda di dalam artikel ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadis, dan juga dari pengalaman saya sendiri berhadapan dengan pesakit-pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus, khususnya gangguan saka itu sendiri.

Apakah Qarin?

Perkataan qarin adalah berasal dari bahasa Arab yang beerti teman. Ianya merujuk kepada golongan jin dan juga malaikat yang diutuskan oleh Allah untuk sentiasa berdamping dengan manusia.  Al-Quran menggunakan istilah qarin kerana mereka adalah golongan yang berdamping dengan manusia sehinggalah manusia itu mati.

Di dalam artikel ini, fokus penulisan saya adalah tentang qarin dari kalangan jin. Ini kerana qarin dari kalangan jin ini sentiasa berusaha mengajak dan menghasut manusia untuk melakukan maksiat kepada Allah. Allah berfirman di dalam Surah Az-Zukhruf ayat 36 yang bermaksud:

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. (36) 

Di dalam ayat di atas, adanya perkataan ‘Qarin’ yang membawa erti tidak renggang atau sentiasa berdamping dengan manusia.

Berbeza dengan saka, qarin dari golongan jin ini telah pun berdamping dengan manusia sejak manusia itu dilahirkan dan mereka diutuskan Allah kepada setiap manusia. Perkara ini dapat kita lihat dari penjelasan Rasulullah melalui hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Muslim, bahawa Rasulullah saw telah bersabda kepada Ibnu Mas’ud:

“Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa Jin dan juga Qarin daripada bangsa Malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga Ya Rasulullah.” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuIslamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.”

Qarin ini sentiasa berusaha untuk menggoda manusia agar melakukan maksiat kepada Allah. Antaranya dengan cara menampakkan kepada manusia sesuatu yang buruk atau dosa itu sebagai perkara yang baik, membisikkan agar timbulnya was-was di dalam hati manusia, melalaikan solat dengan kata lain melambat-lambatkan atau meninggalkan terus solat, dan sebagainya. Dan mereka juga akan menghalang manusia daripada melakukan ibadah dan kebaikan (amal soleh).

Tetapi disebabkan Maha Pengasih dan Maha Penyayangnya Allah kepada hamba-hamba-Nya, maka Dia telah mengutuskan juga kepada manusia itu qarin dari kalangan Malaikat. Jika qarin dari kalangan jin sentiasa membisikkan dan mengajak manusia ke arah kejahatan, maka qarin dari kalangan Malaikat pula akan sentiasa membisikkan perkara kebenaran dan mengajak kepada kebaikan.

Sebab itulah Allah memberikan kepada kita akal fikiran, kerana dengan akal itulah Allah memberikan kepada kita kebebasan untuk memilih, samada yang hak atau yang batil. Dan pengaruh untuk memilih samada yang baik atau yang buruk ini juga berdasarkan kepada iman yang ada di dalam diri anda.

Jadi bagaimana untuk melemahkan qarin? Oleh kerana qarin adalah pendamping yang diutuskan oleh Allah kepada setiap manusia, maka tidak ada istilah seperti membuang qarin, menyembelih dan sebagainya. Apa yang boleh anda lakukan ialah melemahkan qarin. Oleh kerana tugas qarin adalah untuk menggoda manusia agar melakukan dosa kepada Allah, maka tidak ada pilihan lain selain daripada anda perlu mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, banyakkan berzikir dan membaca Al-Quran. Lakukanlah amal kebaikan sebanyak mungkin. Kerana dengan melakukan amal ibadah, iman di dalam diri akan meningkat. Dan apabila iman semakin meningkat, maka hati anda akan lebih mudah terpengaruh dengan bisikan malaikat yang sentiasa mengajak kepada perkara kebaikan dan amal soleh.

Apakah Saka?

Setakat saya menulis artikel ini, saya tidak lagi menjumpai hadis yang menceritakan secara khusus tentang gangguan jin saka. Jadi apa yang boleh saya kongsikan dengan anda ialah apa yang saya dapat melalui pengalaman saya merawat pesakit-pesakit yang mengalami ganggua dari jin saka.

Saka adalah gangguan jin yang berpunca dari perjanjian orang-orang dahulukala. Setelah orang yang membuat perjanjian itu meninggal, maka jin yang telah membuat perjanjian tersebut mula mencari tuannya yang baru iaitu dari keturunan tuannya yang asal juga.

Ini tidak mustahil kerana kita tahu bahawa golongan jin adanya yang berumur panjang. Maka dalam proses mencari tuan baru inilah, mereka yang bakal mewarisi jin tersebut akan mengalami gangguan. Anda nak tahu apakah tanda-tanda seseorang yang mengalami gangguan jin saka? Saya telah pun menulis sebuah artikel tentang apakah petanda jelas yang menunjukkan anda diganggu jin saka.

Jadi, perbezaan diantara saka dan qarin ialah:

  • Qarin sudah berdamping dengan manusia sejak dari manusia itu dilahirkan sedangkan saka tidak.
  • Bukan semua orang mempunyai gangguan jin saka, tetapi berbeza dengan qarin di mana memang Allah telah mengutuskan kepada setiap manusia itu qarin.
  • Qarin akan bersama dengan manusia tidak kiralah manusia itu seorang yang beriman atau tidak. Jika beriman, maka qarin tidak akan mampu mempengaruhinya. Manakala saka pula akan memilih seseorang yang kehidupannya memang jauh dari Allah, kurang pengamalan agama, terutamanya mereka yang meninggalkan solat, jarang atau tidak berzikir dan membaca Al-Quran sama sekali.

Sebagai penutup, bagi sesiapa yang tidak mempercayai akan kewujudan makhluk halus dan juga gangguan yang diakibatkan oleh mereka, perlulah bertaubat dan buang jauh-jauh kepercayaan sedemikian. Ini kerana, gangguan makhluk halus boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah, dan ianya juga termasuk di dalam sebahagian daripada ujian Allah.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Rujukan:

  • Wikipedia Bahasa Melayu: Qarin
    https://ms.wikipedia.org/wiki/Qarin
  • Adakah Sama Antara Qarin dan Saka?
    https://darululumonline.wordpress.com/2012/09/16/adakah-sama-antara-qarin-dengan-saka/
  • Terjemahan Al-Quran.
    https://read.quranexplorer.com
  • Qarin Dalam Al-Quran & Hadis:
    https://ms.wikipedia.org/wiki/Qarin#Qarin_dalam_Al-Quran_dan_Hadis
Follow saya di sosial media:
Apakah Perbezaan Diantara Saka & Qarin?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!