Dikemaskini pada 27/12/2018 oleh Ustaz Abdullah
Assalamualaikum pembaca sekalian,
Apabila kita membicarakan tentang rawatan gangguan makhluk halus, perkara yang tidak dapat dipisahkan ialah bacaan ayat-ayat ruqyah. Ayat-ayat ruqyah ini adalah terdiri daripada gabungan beberapa ayat dari Al-Quran dan juga daripada hadis Rasulullah s.a.w.
Bacaan ayat-ayat ruqyah adalah komponen terpenting di dalam kaedah rawatan gangguan makhluk halus. Dan berkaitan dengan ayat-ayat ruqyah ini pun, banyak juga persoalan yang berkaitan dengannya yang saya terima dari para pesakit.
Dalam artikel kali ini, saya tidak bercadang untuk menjawab persoalan-persoalan yang banyak diajukan oleh pesakit. Tetapi penulisan saya kali ini adalah untuk saya jelaskan, mengapa dalam rawatan dengan ayat-ayat ruqyah, perawat mesti membaca ayat-ayat tersebut dengan bacaan yang kuat.
Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:
1) Kerana tidak mahu menimbulkan fitnah. Ayat-ayat ruqyah dan juga mentera-mentera sihir mempunyai perbezaan. Oleh kerana mentera sihir mengandungi ucapan-ucapan yang khurafat dan syirik, maka bacaannya adalah rahsia dan tidak boleh dibaca dengan kuat. Berbeza dengan ruqyah, ianya adalah kalam Allah dan juga sabda Rasulullah s.a.w.
Jadi apabila perawat membaca ruqyah secara perlahan, tiada suara yang kedengaran dan hanya terkumat-kamit, maka akan membuatkan pesakit tertanya-tanya, apakah yang dibaca? Jika yang dibaca adalah Al-Quran atau hadis, mengapa tidak dibaca dengan kuat.
Jadi, kepada perawat, kuatkanlah bacaan ruqyah anda supaya tidak timbulnya fitnah. Kepada pesakit, jika perawat tidak membaca dengan kuat, tinggalkanlah perawat sebegini, kerana ianya menimbulkan keraguan.
2) Supaya pesakit tahu bacaan perawat. Apabila perawat membaca dengan bacaan yang kuat, tidak dinafikan ada sesetengah ayat-ayat ruqyah yang pesakit tahu bacaannya. Cumanya mungkin mereka tidak tahu bahawa ayat tersebut boleh diamalkan bukan sahaja untuk mengeluarkan jin, malah ianya boleh diamalkan sebagai pendinding diri.
3) Supaya semua jin samada yang berada di dalam badan atau diluar badan pesakit dapat mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran tersebut, dan mana tahu dari bacaan tersebut akan timbul keinsafan di dalam hati mereka.
4) Bacaan Al-Quran yang dibaca dengan bacaan yang kuat bukan sahaja untuk didengari oleh golongan jin, bahkan juga untuk peringatan kepada manusia itu sendiri, khususnya diri pesakit. Kerana boleh jadi punca berlakunya gangguan jin adalah disebabkan oleh diri pesakit itu sendiri.
5) Tidak dinafikan bukan semua ayat-ayat yang dibaca dapat difahami. Tetapi dengan keberkatan ayat-ayat tersebut, inshaaAllah akan memberikan manfaat serta mendatangkan khasiat untuk menyembuhkan gangguan jin.
6) Dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan baik kepada pembaca mahupun kepada pendengar.
7) Kemungkinan ada kesalahan bacaan yang dilakukan oleh perawat ketika membaca ayat-ayat ruqyah, itu tidak mustahil kerana perawat juga adalah manusia biasa. Jadi, apabila dibaca dengan kuat, boleh jadi sipesakit lebih baik bacaannya, maka bolehlah ditegur bacaan perawat di mana yang salah.
8) Sesungguhnya dengan bacaan Al-Quran yang kuat itu dapat memberikan tindakbalas kepada pesakit sekiranya memang benar di dalam tubuh badan mereka ada gangguan jin. Antara tindakbalas yang banyak berlaku dikalangan pesakit-pesakit saya ialah terasa kesemutan, menangis atau merasa sedih secara tiba-tiba, muntah, meracau, dan juga mengantuk.
Itulah dia 8 kebaikan apabila perawat membacakan ayat-ayat ruqyah secara kuat. Oleh itu, jika anda seorang perawat, pastikan anda utamakan membaca dengan kuat. Jika anda tidak mempu membaca Al-Quran dengan baik, belajarlah. Ingatlah hadis Nabi s.a.w yang menyebut bahawa sebaik-baik manusia adalah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.
Jika anda seorang pesakit pula, pastikan perawat membaca dengan bacaan yang kuat ketika merawat anda. Jangan teruskan rawatan jika perawat hanya terkumat-kamit membaca sesuatu. Dan tinggalkan terus sekiranya perawat terus berdegil tidak mahu membaca ayat-ayat ruqyah dengan kuat.
Anda Dapat Sesuatu?
Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.
Follow saya di sosial media: