4 Sebab Mengapa Anda Perlu Abaikan Mimpi

mimpi
Anggaran Masa Bacaan: 3 minit

Dikemaskini pada 29/05/2019 oleh Ustaz Abdullah

Mimpi adalah pengalaman bawah sedar yang berlaku kepada setiap orang. Tidak ada seorang manusia pun yang tidak pernah mengalami mimpi.

Oleh kerana mimpi adalah suatu fitrah yang akan dialami oleh setiap orang, maka persoalan mimpi juga tidak terlepas daripada bahagian di dalam Islam.

Islam adalah suatu agama yang lengkap dan sempurna. Kerana ianya datang dari Tuhan Yang Maha Sempurna.

Maka Rasulullah s.a.w sebagai seorang utusan Allah, telah mengajar kita apakah cara yang betul apabila mengalami mimpi, apatahlagi jika yang dialami itu adalah mimpi buruk atau menakutkan.

Tafsir Mimpi

Ada orang yang mengaku pandai mentafsir mimpi. Dan yang lebih memelikkan, ramai juga yang percaya pada apa yang ditafsirkan.

Sebab apa saya kata ramai yang percaya? Sebabnya, bila orang yang mentafsir mimpi itu memberitahu sesuatu yang buruk akan berlaku, orang yang bermimpi ini akan menjadi takut dan bimbang.

Bukankah ini menunjukkan apa yang diucapkan oleh tukang tafsir mimpi itu dipercayai?

Sebenarnya kemahiran mentafsir mimpi dengan tepat ini bukanlah suatu ilmu yang boleh diwarisi dan dipelajari.

Ini kerana kemampuan untuk mentafsir mimpi adalah suatu ilmu khusus yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-Nya yang terpilih sahaja. Dan kita pula tak dapat mengetahui siapakah orang yang terpilih itu.

Setakat ini, apa yang telah kita sedia maklum ialah manusia terpilih yang diberikan kebolehan mentafsir mimpi dengan tepat hanyalah manusia dari kalangan para Rasul sahaja.

Ini disebabkan Rasul adalah manusia yang diberikan wahyu oleh Allah dan mimpi adalah salah satu cara Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Rasul-Nya.

Kisah Rasul & Mimpi

Di sini saya ingin kongsikan dengan anda beberapa kisah tentang mimpi-mimpi benar yang dialami oleh para Rasul berdasarkan Al-Quran.

Yang pertama adalah kisah di mana Nabi Ibrahim bermimpi menyembelih anaknya Nabi Ismail.

Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

“Maka ketika anaknya itu sampai (keperingkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?” (Surah As-Saffat ayat 102)

Kisah yang kedua pula ialah kisah Nabi Yusuf bermimpi melihat bintang, matahari dan bulan sujud kepada Baginda. Sepertimana firman Allah di dalam surah Yusuf ayat 4 yang bermaksud:

“(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku” (Surah Yusuf ayat 4)

Peranan Mimpi Dalam Perubatan Islam

Dalam soal ini, ramai pesakit yang salah sangka. Pesakit menyangka bila jadi perawat, mereka akan mempunyai kebolehan mentakwil atau mentafsir mimpi.

Saya katakan begini berdasarkan kepada soalan dari pesakit yang selalu diajukan kepada saya. Soalan mereka apabila bermimpi ialah:

“Ustaz, saya alami mimpi sekian sekian, apa maksud mimpi tu ustaz?”

Kalau tanya saya tentang mimpi yang anda alami, saya akan menjawab bahawa saya tidak tahu tentang maksud mimpi tersebut.

Sebab saya memang tak tahu.

Saya hanya menganggap mimpi-mimpi yang dialami pesakit sebagai tanda-tanda yang memungkinkan seseorang itu mengalami gangguan jin.

Ini pun bersandarkan kepada pengalaman yang saya dapat apabila berhadapan dengan pesakit yang mengalami gangguan jin.

Tetapi kalau anda tanyakan kepada orang yang salah, mungkin mereka akan membuat pelbagai andaian tentang mimpi yang anda alami.

4 Sebab Anda Perlu Abaikan Mimpi

Apabila kita mengalami mimpi, Nabi tak pernah ajar kita untuk mentakwil mimpi tersebut.

Apatahlagi kalau kita pergi mencari seseorang yang kononnya mengaku pandai dalam mentakwil mimpi.

Di sini saya kongsikan dengan anda empat sebab mengapa anda sepatutnya tidak perlu terlalu menghiraukan sangat mimpi anda tersebut.

Maksud tidak menghiraukan itu bukanlah bermaksud langsung mengabaikannya, tetapi bermaksud jangan sampai kita melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syarak disebabkan mimpi tersebut.

Empat sebab tersebut ialah:

  1. Apa sahaja mimpi yang anda alami, samada mimpi baik atau buruk, ianya tidak akan mampu mengubah takdir yang telah Allah tetapkan.
  2. Bukan semua mimpi yang anda alami itu datangnya dari Allah. Ini kerana jin juga mempunyai kemampuan untuk mengawal mimpi anda. Terutamanya jika mimpi yang dialami itu menjadikan anda gelisah, yang tidak jelas jalan ceritanya, dan sebagainya.
  3. Apabila seseorang itu sibuk nak mentakwil maksud mimpi seseorang, dikhuatiri syaitan akan mempermainkan anda.
  4. Jika anda mengalami mimpi yang buruk, apa yang perlu anda lakukan bukanlah terlalu memikirkan mimpi tersebut, sehingga merunsingkan fikiran atau menimbulkan keresahan dalam jiwa anda. Tetapi lakukanlah 6 cara yang telah diajarkan Nabi apabila seseorang itu mengalami mimpi yang buruk atau menakutkan.

Kesimpulan

Mimpi sepatutnya bukanlah sesuatu yang perlu kita takut atau risaukan. Bukan itu yang Islam ajarkan. Tetapi bukanlah bermaksud Islam mengabaikan terus perkara yang berkaitan mimpi ini.

Islam mengambil jalan pertengahan, jangan terlalu memikirkan dan jangan mengabaikan terus. Yang terbaik, apabila anda mengalami mimpi yang buruk terutamanya, maka mohonlah perlindungan kepada Allah.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Follow saya di sosial media:
4 Sebab Mengapa Anda Perlu Abaikan Mimpi
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!