Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Teknik Hilangkan Pautan Syaitan Di Hati

bisikan syaitan

Dikemaskini pada 25/06/2019 oleh Ustaz Abdullah

Di dalam Islam, peranan hati sangat penting. Betapa pentingnya hati sehingga Nabi s.a.w mengatakan ianya adalah raja kepada seluruh anggota manusia.

Peringatan Nabi itu seperti dalam hadis di bawah:

“Ketahuilah bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang mana bila ianya baik, maka baiklah seseorang itu, dan apabila buruk, maka buruklah amalan seseorang itu. Ketahuilah, ianya adalah hati” (Hadis riwayat Muslim no 1599)

Oleh kerana pentingnya hati, maka ianya menjadi tempat perebutan diantara syaitan dan juga malaikat.

Apakah Yang Boleh Merosakkan Hati?

Apabila berbicara tentang perkara-perkara yang boleh merosakkan hati, kita lebih banyak tertumpu kepada penyakit-penyakit fizikal yang berkaitan dengan hati.

Antara contoh-contoh penyakit fizikal yang berkaitan dengan hati ialah:

  • Fatty Liver
  • Penyakit batu karang hempedu
  • Hepatitis

Penyakit-penyakit di atas memang bahaya. Tetapi kebanyakan kita lupa, ada juga penyakit-penyakit rohani yang berkaitan dengan hati.

Dalam Islam, penyakit hati ini dikenali sebagai sifat-sifat mazmumah.

Bahkan ianya lebih merbahaya. Contohnya:

  • Sombong
  • Riak
  • Ujub
  • Sum’ah
  • Dengki
  • Pemarah
  • Cintakan kemegahan dan dunia
  • Takbur

Kenapa penyakit-penyakit yang merupakan sifat mazmumah ini lebih merbahaya?

Kerana seseorang yang kena penyakit hati yang saya sebutkan di atas, mudharatnya bukan sahaja kepada dirinya, bahkan akan terkena kepada orang lain juga.

Contohnya seseorang yang mempunyai sifat dengki. Apakah yang dikatakan dengan dengki?

Dengki ialah apabila seseorang yang menginginkan nikmat hilang dari orang lain.

Apabila dia dengki dengan nikmat yang dimiliki oleh orang lain, maka dia pun melakukan sesuatu dengan tujuan untuk menghilangkan nikmat tersebut.

Masa inilah syaitan akan mula memainkan peranannya untuk menghasut orang yang dengki itu. Inilah juga punca seseorang itu tergamak sampai menyihir atau menyantau orang yang dia dengki itu.

Itulah bahayanya penyakit hati. Sehingga Allah s.w.t telah memperingatkan kita untuk selalu meminta pertolongan dari-Nya dari kejahatan orang yang dengki.

Seperti firman Allah di dalam Surah Al-Falaq, ayat 5 yang bermaksud:

“Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya”

Sifat Mazmumah Penghalang Kesembuhan

Bagaimana pula sifat-sifat mazmumah ini boleh menghalang kesembuhan pada diri seseorang terhalang?

Terutamanya yang dikaitkan dengan gangguan jin dan juga sihir.

Untuk mudah faham, saya buatkan satu cerita di sini sebagai contoh. Katakanlah anda pergi berjumpa dengan perawat. Perawat tersebut pun merawat anda dan menuduh sifulan bin sifulan telah menyihir anda.

Kemudian anda pula tanpa usul periksa terus mempercayai apa yang dikatakan oleh perawat tersebut.

Sedangkan bila difikirkan balik, bagaimana perawat boleh mengetahui siapa tukang sihir yang menghantar sihir kepada anda?

Disebabkan anda percaya dengan cakap perawat tersebut, anda pun menaruh dendam kepada orang yang kononnya dikatakan menyihir anda.

Sedangkan dendam itu adalah sifat mazmumah yang merosakkan amal ibadah anda.

Inilah yang dikatakan sifat mazmumah menyebabkan kesembuhan terhalang. Walaupun berulang kali anda berubat, tetapi masih juga tak sembuh-sembuh.

Sebab apa? Sebabnya hati anda dipenuhi perasaan dendam kepada orang di mana dendam itu adalah sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah.

Jika Allah dah benci, bagaimana Allah nak berikan kesembuhan. Sedangkan kesembuhan itu sangat mudah bagi Allah.

Bersihkan Hati Dari Sifat Mazmumah

Jadi, berdasarkan kepada cerita di atas, apakah yang sepatutnya anda lakukan?

Yang pertama sekali ialah jangan sesekali mempercayai jika perawat menuduh seseorang yang melakukan sihir atau sebagainya kepada anda.

Kedua, kena yakinkan dalam hati bahawa apa yang berlaku ke atas diri anda adalah berlaku dengan izin Allah dan ianya adalah ujian Allah kepada anda.

Dan gantikan sifat mazmumah di dalam diri dengan sifat mahmudah, iaitu sifat-sifat yang terpuji.

Suburkan sifat sabar dan redha dengan ujian yang Allah berikan. Ingatlah firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”

Maksudnya di sini ialah Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-Nya dengan memberikan ujian diluar kemampuan hamba itu sendiri.

Seterusnya teruslah berusaha merawat diri anda dengan kaedah-kaedah yang dibenarkan oleh syarak.

InshaaAllah, apabila anda lakukan begini, inshaaAllah Allah akan membantu anda dengan memberikan kesembuhan-Nya kepada anda.

Cara Hilangkan Pautan Syaitan Dihati

Sekarang saya akan kongsikan dengan anda bagaimana teknik untuk menghilangkan pautan syaitan di dada.

Tanda syaitan berpaut di dada anda ialah apabila anda dirawat, ataupun anda melakukan ruqyah mandiri, anda ada rasa seperti nak muntah, tetapi rasa ianya tersekat.

Itulah tandanya.

Apa yang perlu anda lakukan?

Sebelum anda nak praktikkan cara yang saya kongsikan ini, terlebih dahulu anda kena hilangkan dulu tempat untuk syaitan berpaut.

Iaitulah buanglah sifat-sifat mazmumah yang masih melekat dihati anda. Inilah yang menjadi tempat untuk syaitan berpaut.

Langkah seterusnya ialah hentikan bacaan ruqyah yang sedang anda dengar jika anda melakukan kaedah ruqyah mandiri.

Jika anda merawat pesakit dan berlakunya kerasukan pada pesakit, hentikan bacaan ruqyah dan sedarkan pesakit.

Dan terangkan kepada pesakit dengan bahasa dan nada yang sewajarnya bahawa kemungkinan adanya syaitan di dada dan ianya berlaku disebabkan oleh penyakit hati (sifat mazmumah).

Minta pesakit utk memaafkan, dan ‘melepaskan’ apa yang terbuku di hati. Jika pesakit rasa dizalimi, jelaskan bahawa serahkan pembalasan pada Allah, dan Allah sebaik-baik pembalasan-Nya.

Nasihatkan kepada pesakit untuk gantikan sifat mazmumah dengan sifat mahmudah iaitu dengan cara memaafkan (jika ada orang lain yang terlibat), sabar, redha dan ‘lepaskan’ supaya hilang tempat-tempat yang menjadi pautan syaitan di dalam dada.

Kemudian tadah tangan dan dicadangkan membaca Surah Al-fatihah dan juga 3 qul iaitu Al ikhlas, Al falaq dan An nas. Tiup pada tapak tangan.

Teruskan dengan berdoa. Contohnya:

“Ya Allah, pada hari ini, aku maafkan dan aku lepaskan segala amarah dan dendam dalam hati ini. Seandainya ia penyebab syaitan tidak keluar dari dadaku selama ini, maka Engkau keluarkanlah mereka ya Allah. Permudahkanlah urusan aku sebagaimana aku permudahkan urusan orang lain. La haula wala quwata illa billah” (Anda boleh karang doa anda sendiri)

Selepas berdoa, tepuk di sekitar dada dan tolak ke arah mulut. Pejam kembali mata dan perawat boleh terus sambung bacaan ruqyah.

Jika anda buat ruqyah mandiri, ulang tepukan dan tolakan ke arah mulut beberapa ketika sambil mendengar bacaan ruqyah.

Sekiranya anda muntah selepas melakukan teknik ini, bersyukurlah kepada Allah kerana inshaaAllah itu tandanya jin sudah keluar.

Kesimpulan

Ingatlah bahawa hati manusia adalah tempat perebutan diantara syaitan dan juga malaikat.

Untuk menyuburkan sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) di dalam diri anda, tidak lain tidak bukan anda perlulah lakukannya dengan ilmu.

Bergurulah dan tuntutlah ilmu tasawuf untuk mengetahui apakah sifat-sifat mazmumah (sifat tercela), bagaimana mengenalinya dan bagaimana merawatnya.

Kerana jika hati dipenuhi dengan sifat mazmumah, maka ianya akan menjadi tempat syaitan berpaut dan anda akan semkain jauh dari Allah.

Wangian Kasturi Ruqyah

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Follow saya di sosial media:
Teknik Hilangkan Pautan Syaitan Di Hati
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!