Dikemaskini pada 11/05/2019 oleh Ustaz Abdullah
Biasanya apabila selesai saya merawat pesakit, antara soalan yang kerapkali ditanyakan kepada saya ialah dari manakah datangnya gangguan jin tersebut dan mengapa jin itu mengganggu.
Sejujurnya saya katakan bahawa saya tidak tahu dari manakah datangnya gangguan jin dan juga mengapa ianya mengganggu.
Kerana ianya melibatkan persoalan-persoalan ghaib. Tetapi, saya tak nafikan, bagi perawat yang berpengalaman ada cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui dari mana datangnya jin tersebut dan mengapa dia mengganggu seseorang manusia itu.
Tak lain tak bukan ialah dengan cara yang betul, perawat boleh berdialog dengan jin yang berada di dalam badan seseorang manusia itu.
Tujuan dialog ialah untuk mengorek rahsia dari jin itu. Antara rahsia yang akan dikorek oleh perawat ialah:
- mengapa jin itu masuk ke dalam badan manusia.
- adakah jin itu Islam atau kafir.
- dengan jalan apa jin itu dapat masuk ke dalam badan manusia.
Saya tak berniat untuk menulis panjang berjela tentang dialog perawat dengan jin ini.
Bagi perawat yang berpengalaman, jika dapat sampai ke peringkat berdialog dengan jin, inshaaAllah mereka (perawat) tahu apa langkah seterusnya yang perlu mereka lakukan.
Tetapi, secara umumnya bukanlah mudah untuk kita mengetahui mengapa jin mengganggu seseorang manusia.
Kaedah Penyelesaian Islam
Islam agama yang sempurna dan lengkap. Islam diturunkan kepada manusia sebagai jalan keluar dari semua masalah.
Ini bermaksud tidak ada satu masalah pun yang tidak disediakan jalan penyelesaiannya oleh Islam.
Ini termasuklah masalah yang disebabkan oleh gangguan jin. Islam telah sediakan jalan penyelesaiannya. Jalan penyelesaiannya telah dicontohkan melalui petunjuk Nabi Muhammad s.a.w.
Oleh kerana jin adalah makhluk ghaib yang kita tak dapat lihat, jadi mudharat yang disebabkan oleh mereka juga kita tak dapat jangka bila akan berlaku.
Jadi, jalan penyelesaian terbaik yang dianjurkan oleh Islam ialah kita persiapkan diri dari awal sebelum gangguan jin berlaku kepada kita.
Inilah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada umatnya untuk diikuti.
Jika kita membaca hadis-hadis Nabi s.a.w dan juga kitab-kitab karangan ulama-ulama muktabar, kita akan menemui beberapa hadis di mana Nabi mengajar kita doa-doa dan juga amalan-amalan yang perlulah dijadikan amalan sebagai ikhtiar mencegah diri dari diganggu jin.
Beberapa Amalan Nabi Sebagai Ikhtir Pendinding Diri
Di sini saya nak kongsikan secara ringkas dengan anda beberapa sunnah-sunnah yang menjadi amalan Nabi di dalam kehidupan seharian Baginda.
Pertama: Membaca Doa Sebelum Masuk Tandas
Daripada Anas bin Malik r.a:
Maksudnya: “Apabila Nabi s.a.w hendak memasuki tandas, Baginda bersabda, “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina”. (Riwayat Bukhari no hadis 139)
Persoalannya di sini ialah mengapa kita dituntut untuk memohon perlindungan kepada Allah sebelum memasuki tandas?
Ini kerana para ulama telah menetapkan antara sebab mengapa kita dianjurkan memohon perlindungan kerana untuk mengelakkan dari gangguan syaitan-syaitan yang mendiami tempat-tempat najis dan juga tempat terbukanya aurat.
Kedua: Membaca Ayat Kursi Sebelum Tidur
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Apabila engkau mendatangi tempat tidur (di malam hari), bacalah ayat kursi, nescaya Allah akan sentiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga waktu pagi”. (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Ketiga: Larangan Buang Air Panas Di Dalam Tandas/ Bilik Mandi
Walaupun perbuatan ini tidak ada dalil yang tegas berkenaan dengan larangannya, tetapi banyak ulama menegaskan bahawa membuang air panas di dalam tandas boleh mengganggu jin.
Kerana tandas adalah tempat yang disukai oleh jin. Antaranya seperti yang ditulis oleh Syeikhul Islam di dalam kitab Majmu’ Fatawa, 13/82.
Menurutnya, diantara sebab jin merasuk manusia adalah kerana manusia itu terlebih dahulu mengganggu jin dengan cara menuangkan air panas di dalam tandas.
Kita dah sedia maklum yang tandas adalah tempat yang didiami oleh jin. Sedangkan jin adalah makhluk yang kita tak nampak.
Jadi dikhuatiri apabila kita membuang air panas di dalam tandas, akan terkena ke atas jin dan menyakitinya.
Dengan sebab itu jin membalas dendam kepada kita disebabkan kita terlebih dahulu menzalimi jin.
Jadi, rumusan dari apa yang saya kongsikan di atas ialah, Islam mengajar supaya perbuatan-perbuatan yang boleh mengundang berlakunya gangguan jin, perlulah dicegah dari awal.
Selain itu, pergantungan kepada Allah melalui bacaan doa dan zikir perlulah dilakukan secara istiqamah. Ini supaya diri kita akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah s.w.t sekaligus gangguan jin dan syaitan dapat dielakkan.
Berhati-Hati Dengan Waktu Maghrib
Jika kita perhatikan zaman sekarang, masyarakat masakini terlalu memandang ringan akan beberapa panduan yang telah diajarkan oleh Nabi s.a.w.
Antaranya adalah perkara-perkara yang perlu dilakukan apabila masuknya waktu senja (maghrib). Ini kerana ada dinyatakan di dalam hadis bahawa jin dan syaitan berkeliaran pada waktu itu.
Dari Jabir r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup”. (Hadis riwayat Al-Bukhari 3304 dan Muslim 2012)
Berdasarkan kepada hadis di atas, ada dua panduan yang diajarkan oleh Nabi yang mesti kita kena ambil berat dan laksanakan.
- Memasukkan anak-anak ke dalam rumah apabila hampir atau masuknya waktu Maghrib.
- Menutup pintu-pintu rumah apabila dekat nak Maghrib sambil menyebut nama Allah iaitu Bismillah hirrahman nirrahim.
Kenapa Nabi suruh kita buat dua perkara di atas? Adakah Nabi suruh itu sia-sia? Tidak, mesti ada sebabnya.
Ini kerana dengan mengerjakan dua perkara di atas sebenarnya adalah untuk menjaga dan menghindarkan diri dari gangguan jin dan syaitan.
Manakala anjuran supaya menahan anak-anak supaya tidak keluar berkeliaran di luar rumah pada waktu tersebut adalah sebagai satu cara untuk melindungi anak-anak anda dari gangguan syaitan yang berkeliaran.
Jadi, anda dah tau kan apa asasnya orang-orang tua dulu pesan supaya jangan biarkan anak-anak keluar ketika waktu dekat nak maghrib.
Selain itu, Nabi juga mengajarkan supaya ditutup pintu-pintu dan tingkap-tingkap rumah pada waktu Maghrib.
Dan ketika tutup, jangan lupa untuk menyebut nama Allah sebab syaitan tidak akan dapat membuka pintu yang disebut dengan nama Allah.
Kesilapan Yang Dilakukan Ketika Waktu Maghrib
Ini adalah beberapa kesilapan yang biasa dilakukan oleh masyarakat kita. Dan apabila berlakunya kesilapan ini, ianya boleh menjadi faktor mengapa anda, keluarga dan juga kediaman anda diganggu oleh jin.
- Masih lagi berkeliaran di pasar malam apabila nak Maghrib. Bahkan ada yang masih lagi di pasar malam membeli barang ketika berkumandangnya azan Maghrib.
- Pulang dari kerja ketika Maghrib dan terus masuk ke dalam rumah.
- Pintu rumah masih terbuka luas ketika Maghrib. Ini saya perhatikan banyak berlaku di kawasan taman.
- Biar anak-anak bermain di taman permainan kanak-kanak dan menunggu azan Maghrib baru nak berhentikan mereka bermain.
Kalau anda masih ada melakukan kesilapan-kesilapan di atas, jangan hairanlah kenapa anak-anak anda kena gangguan jin.
Ataupun rumah kediaman anda menjadi tidak tenteram akibat daripada gangguan jin.
Faktornya adalah disebabkan kesilapan-kesilapan di atas yang anda pandang ringan selama ini. Sedangkan ada hadis yang menyebut tentang perkara tersebut.
Kesimpulan
Kita dituntut atau disunatkan untuk menutup pintu atau tingkap apabila tibanya waktu senja dan perkara ini juga selalu dipesan atau diingatkan oleh orang-orang tua.
Ini kerana, syaitan-syaitan berkeliaran pada waktu tersebut serta dibimbangi akan terkena keburukan, kecelakaan atau kejahatan berpunca daripada syaitan tersebut kerana syaitan ini sifatnya adalah menyakiti manusia.
Anda Dapat Sesuatu?
Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.
Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.
Follow saya di sosial media: