Bagaimanakah Diagnosis Ruqyah Dapat Membantu Anda?

Anggaran Masa Bacaan: 5 minit

Dikemaskini pada 04/10/2018 oleh Ustaz Abdullah

Assalamualaikum pembaca yang dihormati,

Antara kesilapan yang saya perhatikan berlaku di dalam masyarakat kita ialah mereka selalu dengan mudah beranggapan bahawa diri mereka telah terkena sihir, atau gangguan jin yang lain.

Sebagai contoh, apabila pasangan suami isteri bergaduh, mereka terus menganggap bahawa mereka disihir. Padahal, boleh juga berlakunya masalah di dalam rumahtangga berpunca dari masalah lain yang tidak ada kaitan dengan gangguan jin.

Begitu juga mereka yang mengalami kemerosotan di dalam perniagaan. Apabila perniagaan tidak berapa maju, terus beranggapan bahawa ada seseorang telah menyihir mereka dengan tujuan untuk menjadikan perniagaan mereka tutup kedai.

Sedangkan ada banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi maju atau tidak sesebuah perniagaan. Maka, apabila anda terus beranggapan bahawa diri anda telah disihir, ataupun ada mengalami gangguan jin tanpa dengan alasan yang kukuh, ianya akan mengundang masalah yang lain pula.

Keadaan akan bertambah buruk apabila anda pergi mendapatkan rawatan dari mereka yang merawat gangguan makhluk halus tanpa menggunakan kaedah yang betul, atau dalam erti kata lain menggunakan kaedah yang meragukan bahkan ada yang menggunakan kaedah yang haram. Contohnya rawatan dengan menggunakan kaedah gambar atau nama (kaedah jarak jauh).

Saya banyak menerima kes begini. Ada satu kes di mana seorang isteri menghubungi saya dan menceritakan bahawa suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain, dan isteri tersebut mengatakan bahawa suami dia telah disihir oleh perempuan tadi.

Apabila saya bertanyakan kepada isteri yang menelefon saya tadi, bagaimana dia boleh tahu? Isteri tadi mengatakan bahawa ada perawat yang memberitahukan kepadanya setelah merawat dengan menggunakan gambar. Nampak tak penipuan di sini. Saya tegaskan sekali lagi bahawa tidak ada istilah kaedah rawatan jarak jauh menggunakan gambar atau nama di dalam keadah perubatan Islam.

Jadi, di dalam artikel kali ini, saya nak kongsikan dengan anda kelebihan dan manfaat melakukan diagnosis ruqyah sebelum anda mendapatkan apa-apa rawatan. Bahkan sebenarnya diagnosis ruqyah ini anda boleh lakukan sendiri di rumah samada kepada diri anda sendiri, atau kepada orang lain. Tidak kisahlah samada pasangan anda, ahli keluarga anda, sahabat ataupun sesiapa sahaja.

Diagnosis Ruqyah

Sebelum saya kongsikan kelebihan dan bagaimana anda boleh melakukan sendiri diagnosis ruqyah ini, saya rasa elok kalau saya jelaskan serba sedikit apakah yang dimaksudkan dengan diagnosis ruqyah.

Secara ringkasnya diagnosis ruqyah bermaksud ruqyah yang dilakukan untuk mereka yang masih tidak pasti apakah mereka mengalami gangguan jin atau tidak. Biasanya diagnosis ruqyah dilakukan kepada pesakit yang baru kali pertama nak dapatkan rawatan.

Melalui pengalaman dan pengamalan saya, satu-satunya cara untuk mengesan samada di dalam badan seseorang itu adanya jin ataupun tidak adalah dengan menggunakan cara diagnosis ruqyah.

Jadi, mari saya kongsikan dengan anda apakah kelebihan jika anda melakukan diagnosis ruqyah. Antara sebab-sebab mengapa saya katakan ianya penting ialah:

1) Diagnosis ruqyah akan menjelaskan apakah sebenarnya yang dihadapi oleh pesakit.

Dengan melakukan diagnosis ruqyah, anda akan mendapat jawapan terhadap segala permasalahan yang sedang anda hadapi. Mungkin selama ini anda telah pun berjumpa dengan doktor dan telah beberapa kali mendapatkan rawatan, tetapi doktor tidak dapat mengesan apakah masalah yang anda hadapi.

Dan kebiasaannya juga, walaupun doktor tidak dapat mengesan apakah masalah yang anda hadapi, tetapi doktor tetap memberikan ubat dengan tujuan untuk mengurangkan masalah anda. Contohnya, mungkin anda menghadapi masalah sakit kepala yang kuat. Jadi, doktor pun memberikan ubat penahan sakit untuk membantu mengurangkan rasa sakit tersebut.

Dan anda pun berterusan memakan ubat penahan sakit tersebut di mana akhirnya akan memberikan kesan sampingan yang buruk ke atas diri anda.Tetapi, jika anda melakukan diagnosis ruqyah dan dapat dikenalpasti bahawa masalah anda sebenarnya berkaitan dengan gangguan jin atau sihir, maka anda tidak perlu lagi mengambil ubat yang memberikan kesan sampingan itu.

Apa yang perlu anda lakukan ialah memberikan fokus kepada rawatan ruqyah yang seterusnya sebagai usaha untuk mengeluarkan jin atau mematikan sihir yang berada di dalam badan anda.

2) Diagnosis ruqyah dapat menghalang berlakunya syirik.

Dengan melakukan diagnosis ruqyah, anda dapat mengelakkan diri anda dari terjerumus dalam perbuatan syirik. Ini kerana, apabila dilakukan diagnosis, anda akan dapat mengesan apakah masalah sebenarnya yang berlaku kepada anda. Berapa ramai pesakit yang pernah berjumpa bomoh terlebih dahulu sebelum mereka berjumpa dengan saya dan akhirnya mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mengundang syirik.

Contohnya ada bomoh yang menyuruh mereka sentiasa memakai tangkal, kononnya sebagai pendinding dari hantu raya, atau mesti membuang pakaian ke dalam sungai, kerana kononnya ada jin yang telah jatuh cinta pada pesakit tersebut. Bagi pesakit pula, dengan tanpa usul periksa terus mempercayai apa yang dikatakan oleh bomoh dan melaksanakan perintah bomoh.

3) Diagnosis ruqyah akan membantu memperbaiki rawatan yang seterusnya.

Salah satu manfaat utama apabila anda melakukan diagnosis ialah, ianya akan lebih membantu sesi rawatan seterusnya dan dapat menghapuskan masalah gangguan jin atau sihir yang anda hadapi dengan izin Allah.

Ini kerana dengan mengetahui masalah sebenar anda melalui diagnosis ruqyah, sudah tentulah rawatan yang akan dilakukan juga lebih sesuai dan tepat.

Selain itu, ia juga akan membantu perawat untuk lebih fokus dan membetulkan niat apabila merawat pesakit. Ini kerana perawat telah pun tahu apakah masalah gangguan yang anda alami. Apakah ianya sihir, saka, atau sebagainya.

Ini kerana melalui pengalaman saya ketika merawat, lebih kuat niat dan fokus ketika merawat, lebih kuat pula kesan rawatan yang akan berlaku kepada pesakit dengan izin Allah.

4) Diagnosis ruqyah membantu perawat untuk memberikan nasihat yang bersesuaian.

Sepertimana yang kita semua sedia maklum bahawa gangguan jin ada pelbagai jenis. Sihir, saka, santau, pukau dan yang sewaktu dengannya adalah termasuk dalam gangguan jin.

Dari pengalaman saya, setiap jenis gangguan jin di atas apabila dilakukan ruqyah, tindakbalas yang akan dialami oleh pesakit adalah berbeza-beza.

Jadi, dengan melakukan diagnosis terlebih dahulu, perawat dapat mengenalpasti apakah jenis gangguan yang sedang dialami oleh pesakit. Dan dari situlah perawat akan dapat memberikan nasihat tentang apa yang sepatutnya pesakit lakukan untuk mengurangkan bahkan menghilangkan gangguan yang sedang dialami oleh pesakit dengan izin Allah.

5) Diagnosis ruqyah dapat menjelaskan samada pesakit telah sembuh dari gangguan jin atau tidak.

Setiap manusia, tidak kiralah samada mengidap penyakit jasmani ataupun rohani, matlamat mendapatkan rawatan kerana ingin sembuh dari penyakit tersebut. Jadi, apabila anda mengidap penyakit rohani, ataupun dalam erti kata lain, mengalami gangguan jin, dengan melakukan diagnosis ruqyah dapat memberitahukan kepada perawat dan pesakit samada gangguan jin tersebut telah sembuh atau pun belum.

Selain itu, dengan melakukan diagnosis ruqyah juga, anda akan dapat mengetahui dengan yakin, apakah gangguan yang anda alami semakin berkurangan, ataupun masih ditahap yang sama, atau semakin teruk.

Saya selalu tekankan kepada pesakit saya bahawa satu-satunya cara untuk mengetahui dan mengesan jin di dalam badan adalah dengan melakukan diagnosis ruqyah.

Ini kerana, pesakit yang di dalam badannya ada jin, apabila dibacakan ayat-ayat ruqyah, mereka pasti akan menunjukkan tindakbalas.

Dan, akhir sekali jika anda diruqyah dan tidak berlaku lagi sebarang tindakbalas, dari situ dapatlah diyakini bahawa pesakit telah sembuh dari gangguan jin dengan izin Allah.

Sekarang anda telah pun tahu serba sedikit tentang kelebihan dan manfaat melakukan diagnosis ruqyah. Walaupun masih ada lagi kelebihannya, saya ras cukuplah saya kongsikan lima sahaja dulu untuk artikel kali ini.

Memandangkan artikel ini pun dah agak panjang, saya akan kongsikan pula di dalam artikel akan datang tentang bagaimana anda boleh lakukan sendiri kaedah diagnosis ruqyah yang saya kongsikan hari ini.

tanda sihir

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

 

Follow saya di sosial media:
Bagaimanakah Diagnosis Ruqyah Dapat Membantu Anda?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!