3 Cara Mudah Melindungi Diri Dan Keluarga Anda Dari Penyakit Al-Ain

Anggaran Masa Bacaan: 3 minit

Dikemaskini pada 09/11/2018 oleh Ustaz Abdullah

Assalamualaikum pembaca yang dihormati,

Pernahkah anda mendengar tentang penyakit al-ain? Al-Ain ini ialah pandangan yang dilemparkan oleh seseorang itu kepada kita atas sebab iri hati dengan kenikmatan, kelebihan dan kejayaan yang kita kecapi. Pandangan iri hati itu diikuti dengan harapan agar apa yang kita miliki itu akan segera hilang.

Contohnya, katakanlah kita baru sahaja melahirkan sepasang bayi kembar yang sangat comel. Kemudian ada dikalangan ahli keluarga kita, atau sanak saudara kita, ataupun rakan-rakan kita yang datang menziarahi kita sekaligus melihat bayi kita yang comel itu.

Maka ketika itu berhati-hatilah, kerana dibimbangi ada diantara pandangan itu yang disertai dengan perasaan iri hati. Ini kerana pandangan beginilah yang akan menyebabkan penyakit al-ain.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Penyakit ain itu benar adanya. Seandainya ada sesuatu yang dapat mendahului ketetapan Allah, maka ain lah ubatnya. Kerana itu jika kamu diperintahkan untuk mandi (untuk merawat penyakit al-ain). maka mandilah” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas dan abu Hurairah)

Jadi, oleh kerana bahayanya Al-Ain ini, dalam artikel kali ini, saya ingin kongsikan dengan anda 3 cara mudah yang boleh anda lakukan untuk melindungi diri dan keluarga yang anda sayang dari bahaya al-ain.

1) Amalkan doa di waktu pagi dan petang

Doa di waktu pagi dan petang ialah apa yang boleh anda lihat dan baca dalam sebuah buku yang dinamakan Al-Mathurat. Apakah Al-Mathurat? Al-Mathurat adalah himpunan zikir-zikir yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. Buku Al-Mathurat ini boleh anda dapatkan di mana kedai-kedai buku agama yang berhampiran dengan tempat anda.

Ataupun, Al-Mathurat ini anda boleh download sebagai aplikasi di dalam smartphone anda, samada di Google Play ataupun App Store.

Anda tidak perlukan masa yang lama untuk membacanya. Hanya lebih kurang 10 minit, tetapi kesannya sangat bermanfaat inshaaAllah. Ajarkan ahli keluarga anda tentang al-Mathurat dan tekankan kepada mereka mengapa sangat penting untuk mereka mengamalkannya sebagai amalan untuk mengelakkan dari terkena penyakit al-ain.

2) Jangan terlalu ghairah menghebahkan berita gembira tentang diri anda kepada sesiapa pun kecuali kepada sebilangan orang yang anda betul-betul mengenali mereka.

Tetapi sayangnya, nasihat ini termasuklah kepada ahli keluarga dan juga saudara mara anda. Ini kerana, kadang-kala orang yang paling dekatlah yang mempunyai perasaan iri hati yang paling kuat terhadap anda dan boleh mendatangkan bahaya kepada anda. Antara bahayanya ialah penyakit al-ain ini.

Sebab itu saya tertanya-tanya mengapa kebanyakan orang di zaman sekarang terlalu ghairah menceritakan segala kejayaannya, menunjukkan kekayaannya di media sosial?

Saya hairan sebab mereka ini pintu-pintu rumah mereka, mereka kunci pada waktu malamnya. Tetapi secara tak sedar, perbuatan mereka menonjolkan kejayaan atau kebahagiaan hidup mereka di media sosial itu boleh mengundang pandangan orang-orang yang memandang dengan rasa iri hati dan dengki.

Pandangan ini mampu sebenarnya untuk memberikan mudharat kepada anda dengan izin Allah. Lihat semula hadis yang saya kongsikan di atas.

3) Sentiasa berwaspada dengan orang-orang yang iri hati atau hanya kongsikan berita buruk sahaja dengan mereka.

Berkenaan dengan perkara ketiga ini, bukankah Allah telah memperingatkan kita sepertimana yang terkandung di dalam Surah An-Nas ayat 1 hingga 5, yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. (2) Dari bahaya gelap apabila ia masuk. (3) Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). (4) Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya(5)”

Pastikan anda dan keluarga anda sentiasa berhati-hati dengan golongan manusia yang iri hati ini. Tetapi jika anda tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa juga bergaul dengan mereka (dan mungkin juga anda tidak tahu), pastikan anda hanya kongsikan berita-berita buruk sahaja dengan mereka.

Ini kerana manusia yang sentiasa bersikap iri hati ini memandang kehidupan orang lain adalah sempurna tetapi kehidupan mereka bermasalah.

Jadi, disebabkan mereka bermasalah, maka mereka juga mahu kehidupan orang lain bermasalah seperti kehidupan mereka juga.

Oleh kerana itu, dengan berkongsikan berita-berita buruk dan tidak menggembirakan akan dapat memberikan gambaran sebenarnya tentang kehidupan iaitu, bukan hanya mereka sahaja yang mempunyai masalah, bahkan orang lain juga mempunyai masalah di dalam kehidupan mereka.

Dengan ini, perasaan iri hati mereka akan berkurangan sedikit.

Semoga perkongsian tip di atas sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada anda, inshaaAllah.

tanda sihir

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

 

Follow saya di sosial media:
3 Cara Mudah Melindungi Diri Dan Keluarga Anda Dari Penyakit Al-Ain
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!