Hukum Meminta Bantuan Jin

jin islam

Saya pernah ditanya soalan tentang keharusan seseorang itu menggunakan bantuan jin untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh jin juga (sihir, saka, gangguan jin asyiq, dll), apakah benar ianya dibolehkan di dalam Islam?

Dan mungkin anda juga pernah berjumpa dengan perawat, tambahan lagi perawat yang mengaku ustaz, atau imam-imam masjid, yang mengatakan mereka memang menggunakan bantuan jin, tetapi dari kalangan jin Islam.

Keadaan ini lebih menambahkan lagi kekeliruan yang dah sedia ada dalam pemikiran. Jadi, yang sebenarnya bagaimana? Adakah menggunakan bantuan jin tidak dibolehkan secara mutlak? Atau menggunakan bantuan jin Islam dibolehkan?

Artikel kali ini akan membahaskan persoalan-persoalan di atas, dan inshaaAllah akan disertakan dalil. Mudah-mudahan artikel ini memberikan manfaat.

Larangan Meminta Bantuan Walaupun Dari Jin Islam

Tidak dibolehkan kita meminta bantuan jin atas sebab apa sekalipun. Ini kerana jin tidak akan membantu seseorang manusia itu melainkan apabila manusia itu mentaati kepada golongan jin dan bersedia untuk melakukan maksiat berupa kesyirikan dan kekufuran kepada Allah.

Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat” (Surah Jin ayat 6)

Antara riwayat yang menceritakan asbabun nuzul ayat di atas ialah Ibnul Mundzir Ibnu Abi Hatim, dan Abu Syaikh di dalam kitab Al-Azhamah, meriwayatkan dari Kardam bin Abi Sa’ib al-Anshari yang berkata, “Suatu ketika, saya pergi ke Madinah bersama ayah saya untuk suatu keperluan. Di saat itu, Rasulullah baru memulai dakwahnya di Mekah. Dalam perjalanan itu, kami lantas menumpang tidur di kemah seorang penggembala kambing. Di tengah malam, tiba-tiba datang seekor serigala yang langsung membawa lari seekor kambing yang sedang mengandung. Melihat hal itu, si penggembala langsung meloncat untuk mengejar seraya berkata, ‘Wahai penguasa lembah, saya adalah tetanggamu!’

Tiba-tiba terdengar sebuah suara yang kami tidak melihat siapa sumbernya, ‘Wahai Sarhan, kembalikan kambing itu!’ Tidak lama selepas itu, kambing yang dibawa lari itu terlihat berjalan ke arah kemah dalam keadaan lemah dan langsung masuk kembali ke kandangnya. Allah lalu menurunkan wahyu kepada nabi-Nya di Mekah, yaitu, ‘Dan sesungguhnya ada beberapa orang laki-laki dari kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dari jin, tetapi mereka (jin) menjadikan mereka (manusia) bertambah sesat.’

Kalau anda melihat ayat keenam dari Surah Jin yang saya sebutkan di atas, perkataan “الْجِنِّ” dalam ayat tersebut adalah dalam bentuk makrifah yang menunjukkan ianya memberikan makna umum. Maksudnya tidak boleh meminta bantuan kepada semua jenis jin. Tidak kiralah samada jin tersebut Islam apatahlagi kalau jin kafir.

Asy-Syeikh As-Sa’di pula telah menjelaskan bahawa perkataan “فَزَادُوهُمْ” juga dalam ayat di atas memiliki dua kemungkinan, iaitu:

  • kemungkinan yang pertama, perkataan tersebut kembali kepada golongan jin. Maksudnya perbuatan manusia yang meminta bantuan kepada jin akan menambahkan dosa dan keburukan bagi jin kerana jin tersebut akan menjadi bertambah sombong dan merasa dirinya hebat dan akan semakin suka untuk memperdayakan manusia.
  • Kemungkinan yang kedua pula, perkataan tersebut kembali kepada manusia. Ini kerana perbuatan tersebut akan menambahkan dosa dan keburukan kepada manusia. Ini kerana manusia itu telah beristi’azah, yakni meminta bantuan dan perlindungan kepada selain Allah. Kemudian dia akan sentiasa menjadi was-was dan khuatir jin akan terus mengganggunya. Dan akhirnya manusia akan teruslah meminta bantuan dan perlindungan kepada jin apabila berhadapan dengan sesuatu yang menakutkan mereka. Perbuatan seperti ini samalah seperti orang-orang dulu yang apabila lalu di dalam hutan, atau tempat yang dianggap ‘keras’, akan meminta izin lalu dari ‘penunggu’ tempat tersebut.

Maka dari penjelasan di atas, dapatlah difahami bahawa Islam melarang secara total untuk meminta bantuan kepada jin ,termasuklah jin Islam.

Ini kerana, ianya boleh mendatangkan keburukan dan menambahkan dosa, baik kepada manusia ataupun jin yang diminta tolong itu sendiri.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Ada pertanyaan?