Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

6 Cara Tukang Sihir Menghadirkan Jin

seorang perempuan sihir membaca jampi

Dikemaskini pada 12/07/2023 oleh Ustaz Abdullah

Ada banyak cara yang digunakan oleh tukang sihir untuk menghadirkan jin dengan tujuan untuk mendapatkan bantuan dari jin tersebut.

Apa yang pasti, cara-cara yang digunakan oleh tukang sihir tersebut mengandungi kesyirikan dan kekufuran yang nyata.

Kerana hanya dengan cara ini sahajalah tukang sihir dapat memanggil jin yang sanggup menghambakan diri kepada mereka dan melakukan apa sahaja suruhannya.

Dalam artikel kali ini saya akan kongsikan dengan anda 6 cara bagaimana tukang sihir menghadirkan jin di mana cara-cara tersebut mengandungi kesyirikan dan kekufuran.

Asalnya, artikel yang saya tulis ini diambil dari kitab Ash-Shaarimul Battaar Fit Tashaddi Lis Saharatil Asyraar (Sihir & Guna-Guna Serta Tatacara Mengubatinya) di mana kitab ini telah dikarang oleh Syeikh Abdul Wahid Salam Bali.

Saya berharap dengan perkongsian artikel ini dapat memberikan manfaat kepada anda dan menjadi peringatan kepada kita semua agar sentiasa berhati-hati dengan pelbagai jalan kejahatan dan kesesatan.

Pertama: Cara Iqsam (Bersumpah Atas Nama Jin & Syaitan)

Menurut cara ini, tukang sihir akan memasuki ruangan yang gelap, lalu menyalakan api dan kemudian di atas api itu akan diletakkan kemenyan/setanggi sesuai dengan apa hajat yang akan diminta.

Sebagai contoh, katakanlah tukang sihir ingin melakukan pemisahan, atau menimbulkan permusuhan dan kebencian, akan diletakkan kemenyan yang berbau busuk.

Dan jika tukang sihir ingin memulihkan sihir ikatan yang menghalang suami untuk bersetubuh dengan isterinya, atau menimbulkan sihir percintaan, maka kemenyan yang akan digunakan ialah yang berbau wangi.

Setelah itu, tukang sihir akan mula membaca jampi serapah dan mentera-mentera khusus yang mengandungi ungkapan-ungkapan syirik, contohnya bacaan yang mengandungi sumpah atas nama jin atau ketua-ketua jin, memuji pembesar-pembesar jin dengan harapan untuk mendapatkan bantuan mereka.

Selain dengan bacaan yang mengandungi ungkapan syirik tersebut, tukang sihir juga mestilah berada dalam keadaan tidak suci, contohnya berada dalam keadaan berhadas besar, ataupun memakai pakaian yang bernajis, dan sebagainya.

Setelah selesai membaca jampi, akan muncullah dihadapan tukang sihir itu suatu bayangan dalam bentuk anjing, ular ataupun dalam bentuk yang lain.

Ada sesetengah keadaan pula, tidak akan muncul bayangan dihadapan tukang sihir, tetapi yang didengari hanyalah satu suara. Dan ada sesetengahnya lagi, langsung tiada suara, tetapi jin akan datang kepada tukang sihir dengan membawa barang-barang kepunyaan orang yang hendak disihir.

Contohnya seperti rambut atau pakaian yang masih mempunyai bau orang yang akan disihir. Barang-barang tersebut akan diikat. Dan kemudian tukang sihir akan menyuruh jin tersebut melakukan apa yang diingininya kepada mangsa.

Di dalam cara pertama ini, ada beberapa perkara yang boleh kita fahami iaitu:

  • Jin mengutamakan ruang yang gelap.
  • Jin akan menikmati hidangan yang disediakan tanpa menyebut nama Allah.
  • Jelas mengandungi kesyirikan yang nyata apabila mengagungkan ketua-ketua jin dan meminta pertolongan kepada mereka.
  • Jin dan syaitan mengutamakan najis.

Kedua: Cara Adz-Dzabh (Memotong Sembelihan)

Dalam cara yang kedua ini, tukang sihir akan membawa binatang seperti ayam, burung, kambing dan sebagainya berdasarkan ciri-ciri yang telah ditentukan oleh jin.

Dan biasanya haiwan tersebut akan berwarna hitam. Ini kerana jin sangat menyukai warna hitam. Setelah itu, binatang tersebut akan disembelih tanpa menyebut nama Allah.

Ada sesetengah tukang sihir akan menyapu darah haiwan sembelih itu kepada pesakit. Kemudian daging binatang sembelih itu akan dibuang di tempat yang menjadi tempat berkumpulnya jin.

Dan akhir sekali, tukang sihir akan pulang ke rumah dan membaca jampi-jampi yang mengandungi ungkapan-ungkapan syirik dengan tujuan memanggil jin. Dan kemudian akan menyuruh jin melakukan apa yang diingininya.

Dalam cara yang kedua ini, ada dua perbuatan syirik yang dilakukan oleh tukang sihir.

Yang pertama ialah melakukan sembelihan bukan kerana Allah. Jumhur ulama samada salaf mahupun khalaf sepakat mengatakan perbuatan memberikan sembelihan kepada jin adalah perbuatan haram, bahkan ianya termasuk dalam perbuatan syirik mutlak.

Ini kerana binatang yang disembelih bukan kerana Allah sama sekali tidak boleh dimakan oleh orang Islam, apatahlagi melakukan perbuatan tersebut.

Antara dalil yang melarang perbuatan tersebut ialah:

Dari ‘Ali radhiyallahu’anhu, beliau berkata : Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berpesan kepadaku dengan empat nasihat :Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah. Allah melaknat anak yang melaknat kedua orang tuanya. Allah melaknat orang yang melindungi muhdits (orang yang jahat) /muhdats (pelaku bid’ah). Allah melaknat orang yang sengaja mengubah patok batas tanah.” (HR. Muslim 1978).

Yang kedua, syirik berlaku apabila tukang sihir menggunakan ungkapan-ungkapan yang bertujuan untuk memanggil jin bagi melakukan apa yang diingini oleh tukang sihir.

Ketiga: Cara Sulfiyah (Melakukan Pembohongan)

Cara yang ketiga ini adalah yang sangat popular yang diamalkan dikalangan tukang sihir. Golongan tukang sihir yang melakukan cara ketiga ini mempunyai ramai pembantu dari kalangan syaitan.

Ini disebabkan tukang sihir tadi adalah golongan yang paling kufur dan ingkar kepada Allah. Apa yang dilakukan oleh tukang sihir tadi untuk mendapatkan bantuan dari syaitan?

Caranya ialah tukang sihir meletakkan mushaf Al-Quran dihadapan tandas. Sebelum masuk ke dalam tandas, tukang sihir akan memijak dulu mushaf Al-Quran (seperti selipar), dan kemudian membaca jampi serapah di dalam tandas.

Selesai membaca, tukang sihir keluar dan duduk disatu ruangan, kemudian akan menyuruh jin yang menjadi pembantunya melakukan apa yang diingininya.

Jin tadi akan mengikuti semua arahan tukang sihir adalah disebabkan kekufuran yang dilakukan oleh tukang sihir sehingga menjadilah dia sebagai salah seorang dari saudara syaitan.

Selain itu, disyaratkan juga kepada tukang sihir yang melakukan cara yang ketiga ini ialah dia mestilah sentiasa melakukan sebanyak mungkin dosa-dosa besar, antaranya berzina, melakukan hubungan sesama jenis, mencela agama, dan sebagainya.

Ini tidak lain tidak bukan untuk mendapatkan keredhaan syaitan. Berhadapan dengan sihir yang dihantar oleh tukang sihir begini mungkin menjadi antara yang paling sukar kerana jin yang membantunya boleh jadi jin yang sangat jahat.

Keempat: Cara Najasah ( Menulis Ayat Al-Quran Dengan Najis)

Dalam cara keempat ini, tukang sihir akan menulis salah satu ayat dari Al-Quran dengan menggunakan bahan-bahan bernajis, contohnya darah haid atau sebagainya.

Setelah jin menghadirkan dirinya, tukang sihir akan mengarahkan kepada jin tersebut untuk melakukan apa yang diingininya.

Kesyirikan dan kekufuran dengan menggunakan cara ini rasanya tidak perlulah saya jelaskan lagi. Sudah tentu anda dapat melihatnya.

Penghinaan terhadap ayat Al-Quran (menulisnya dengan menggunakan najis) adalah salah satu bentuk kekufuran yang ditunjukkan oleh tukang sihir kepada Allah Yang Maha Agung.

Kelima: Cara Tankis (Menulis Ayat-Ayat Al-Quran Secara Terbalik)

Tukang sihir yang menggunakan cara kelima ini akan menulis ayat-ayat suci Al-Quran secara terpisah dan terbalik.

Maksudnya mereka akan menulis ayat yang terakhir terlebih dahulu kemudian baru diikuti oleh ayat yang awal.

Kemudian seperti biasa tukang sihir akan membacakan mentera-mentera dan jampi serapah yang mengandungi ucapan syirik untuk memanggil jin datang membantunya.

Setelah jin menampakkan diri kepada tukang sihir tersebut, dia akan menyuruh jin tersebut melakukan perkara yang diingininya.

Cara ini juga jelas mengandungi unsur syirik dan kekufuruan kepada Allah SWT.

Keenam: Cara Tanjim (Menyembah Bintang)

Cara ini juga disebut sebagai Ar-Rashd, kerana dengan cara ini tukang sihir akan memantau munculnya bintang tertentu.

Kemudian tukang sihir akan berbicara dengan bintang tersebut, dan membaca mentera-mentera sihir.

Dan kemudian tukang sihir juga akan membaca mentera-mentera lain yang mengandungi unsur-unsur syirik dan kufur kepada Allah.

Tukang sihir juga akan melakukan beberapa gerakan di mana pada anggapannya gerakan tersebut adalah untuk menurunkan semangat-semangat yang ada pada bintang tersebut.

Padahal sebenarnya gerakan itu adalah suatu bentuk penyembahan kepada bintang tersebut selain Allah SWT dan tukang sihir itu tidak menyedarinya.

Setelah itu, para syaitan akan melakukan segala arahan yang disuruh oleh tukang sihir tersebut. Sehinggakan tukang sihir tadi merasakan bahawa bintang tadilah yang membantunya.

Di dalam cara yang keenam ini dapat dilihat dengan jelas kesyirikan dan kekufuran yang dilakukan oleh tukang sihir iaitu dengan meminta pertolongan kepada selain Allah.

Disamping itu juga ada disertakan dengan bacaan mentera dan jampi serapah yang mengandungi ungkapan-ungkapan syirik dan kekufuran.

Sumber Rujukan: Bagaimana Tukang Sihir Menghadirkan Jin?

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Follow saya di sosial media:
6 Cara Tukang Sihir Menghadirkan Jin
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!