Bagaimana Mengenalpasti Tanda Sihir, Kerasukan atau Penyakit Ain?

Anggaran Masa Bacaan: 3 minit

Dikemaskini pada 22/07/2015 oleh Ustaz Abdullah

Satu yang saya rasa agak tidak betul dalam kefahaman masyarakat kita, mungkin kerana mereka tidak tahu, ialah mereka sering menyangka golongan pengamal perubatan Islam boleh mengetahui tentang alam jin. Atau lebih khusus lagi ialah mereka menyangka golongan seperti kami boleh melihat makhluk jin.

Saya tidak menyalahkan masyarakat sepenuhnya. Mereka beranggapan begitu mungkin kerana pernah berjumpa dengan bomoh, atau bomoh yang menyamar sebagai perawat Islam, dan kemudian mereka ini mengaku boleh nampak makhluk jin. Tetapi hakikatnya sebenarnya adalah tidak.

Satu nasihat saya kepada anda. Sentiasa ingat nasihat saya ini. Alam jin adalah alam ghaib dan manusia tidak mungkin boleh melihat alam ghaib. Jadi, persoalannya, bagaimana saya dan perawat Islam yang lain nak tahu samada pesakit kami mengalami gangguan jin? Khususnya kerasukan, sihir atau penyakit ain? Inilah fokus saya dalam artikel kali ini.

Manusia, apabila ada di dalam badannya makhluk halus (jin), yang menjadi sebab kepada sihir, kerasukan atau penyakit ain ialah akan menunjukkan beberapa tanda. Tetapi, perlu saya tegaskan di sini. Tidak semestinya semua tanda-tanda yang akan saya kongsikan nanti perlu ada pada diri pesakit, cukup hanya beberapa tanda. Mungkin sudah menunjukkan mereka mengalami gangguan.

Satu lagi yang saya nak beritahu, ada sesetengah tanda yang disebutkan nanti, mungkin bukan disebabkan oleh faktor gangguan, tetapi sebenarnya berpunca oleh gangguan penyakit, samada penyakit fizikal ataupun penyakit yang berkaitan dengan kejiwaan.

Tanda-tanda ini pula boleh terbahagi kepada 2 keadaan, iaitu:

  1. Tanda sebelum dibacakan ruqyah
  2. Tanda ketika sedang diruqyah

Sekarang mari kita lihat satu-persatu tanda-tanda gangguan dari dua keadaan di atas. Perhatikan apakah diri anda mengalami tanda-tanda yang saya sebutkan nanti.

1) Tanda sebelum dibacakan ruqyah

  • Perubahan mengejut iaitu daripada mencintai sesuatu/seseorang kepada membencinya atau sebaliknya.
  • Banyak penyakit yang dikesan tanpa wujud sebab-sebab yang normal yang boleh disahkan oleh alat perubatan normal.
  • Merasa sesak di dalam dada terutamanya menjelang asar atau maghrib.
  • Enggan bekerja atau cenderung menjauhi pergaulan masyarakat atau malas belajar disertai kecenderungan untuk mengasingkan diri.
  • Anda mungkin merasa telah melakukan sesuatu tetapi sebenarnya tidak pernah melakukan perkara tersebut.
  • Wajah bertukar menjadi pucat. Atau munculnya lebam-lebam di tubuh badan dan lebam tersebut lebih kepada warna biru atau coklat.
  • Selalu mengalami gejala sakit kepala ataupun demam yang panas secara tiba-tiba.
  • Kerap bergaduh diantara suami isteri tanpa sebab yang munasabah dan hubungan baik sukar diwujudkan. Selain itu hubungan dengan ahli keluarga juga semakin renggang kerana kerap berlaku pergaduhan tanpa sebab yang munasabah.
  • Kerap berkhayal dalam keadaan anda sedang berjaga.
  • Rasa malas dan tidak bersemangat, selain rasa letih yang berterusan dan selera makan semakin berkurangan.
  • Badan seperti hilang keseimbangan ketika berjalan.
  • Telinga sentiasa rasa berdengung, sebelah atau kedua-duanya sekali.
  • Jika perempuan, anda akan sering rasa sakit dibahagian rahim dan berlakunya pendarahan yang banyak, terutamanya ketika sedang haid dan sering berlakunya istihadhah.
  • Cepat sangat rasa nak marah atau panas baran walaupun hanya kerana sebab atau perkara yang remeh.
  • Suka tidur atau tidur yang berlebihan.
  • Sering dengar seperti ada seseorang yang memanggil nama sedangkan tiada sesiapa pun yang berada bersama anda.
  • Sakit yang berpanjangan di bahagian bawah atau tengah tulang belakang dan di antara dua bahu.
  • Kulit jadi sensitif diikuti dengan rasa gatal dan muncul bintik-bintik diseluruh badan.
  • Enggan berzikir pada Allah dan rasa malas untuk melakukan ibadah
  • Mengalami masalah was-was yang kronik di luar kawalan.
  • Penglihatan menjadi semakin lemah dan kabur secara tiba-tiba.
  • Fikiran jadi keliru, sering rasa gelisah dan tidak tenang.
  • Sering tercium bau peluh, bau busuk dan bau yang pelik walaupun bau tersebut tidak dapat dihidu oleh orang lain yang berada bersamanya. Selain itu kerap keluar peluh yang sejuk dan juga kerap nak buang air kecil.
  • Jika pesakit seorang lelaki, kekuatan jimak semakin menurun dan jika perempuan, keinginan berjimak akan semakin berkurangan.
  • Kerap bermimpi melihat sesuatu yang mengerikan, seperti mimpi melihat binatang buas atau berbisa, atau mimpi kawasan perkuburan dan tempat kotor, jatuh dari tempat tinggi, mimpi melihat makhluk halus atau mimpi lain yang mengerikan.

Seperti yang saya maklumkan sebelum ini bahawa ada sesetengah tanda yang saya kongsikan di atas, bukan semuanya berpunca dari gangguan jin. Ada sesetengahnya disebabkan faktor penyakit.

Jadi jalan terbaik untuk memastikannya ialah sila dapatkan rawatan ruqyah dari perawat Islam yang sebenar. Jangan dapatkan khidmat bomoh dan nasihat saya, berhati-hati dengan bomoh yang semakin pandai menyamar sebagai perawat Islam.

Inshaa Allah artikel ini akan saya sambung dalam bahagian kedua nanti. Dalam bahagian kedua nanti, saya akan kongsikan pula dengan anda apakah gejala yang akan ditunjukkan oleh pesakit ketika diruqyah. Saya harap artikel ini dapat membantu anda.

Jika anda ada sebarang persoalan mengenai gejala-gejala gangguan yang dialami, boleh terus ajukan di ruangan komen. Inshaa Allah saya akan membantu anda. Dan pastikan anda tidak terlepas artikel-artikel terbaru saya. Saya menggalakkan anda daftar emel anda dengan menggunakan borang di sidebar sebelah kanan. Dengan cara ini semua artikel saya terus dihantar secara automatik ke emel anda.

Jumpa lagi dalam artikel akan datang 🙂

Follow saya di sosial media:

Bagaimana Mengenalpasti Tanda Sihir, Kerasukan atau Penyakit Ain?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!