Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

6 Jenis Punca Gangguan Jin

gangguan jin

Dikemaskini pada 01/04/2020 oleh Ustaz Abdullah

Al-quran adalah sebuah kitab suci yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad untuk menjadi panduan kepada seluruh umat manusia. Sebagai seorang yang beriman, mempercayai dengan seluruh isi kandungan al-Quran adalah termasuk di dalam rukun Iman.

Diantara banyak-banyak ayat al-Quran, Allah ada menceritakan sejenis makhluk ciptaan-Nya yang bernama jin. Antara ayat-ayat yang menyentuh dan membuktikan kewujudan makhluk jin ini ialah:

Di dalam Surah al-Hijr, ayat 25-27, Allah swt telah berfirman yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah manusia dari tanah liat yang kering kontang yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk dan Kami telah menciptakan Jin sebelum diciptakan manusia dari api yang sangat panas”

Di dalam Surah ar-Rahman ayat 15 yang bermaksud:

“Dia (Allah) menciptakan Jaan (jin) dari nyala api (pucuk api yang menyala-nyala atau Maarij)”

Di dalam Surah ar-Rahman ayat 33 yang bermaksud:

“Wahai jemaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintas) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya melainkan dengan kekuatan”

Berdasarkan kepada tiga ayat di atas, maka jelaslah bahawa selain manusia, ada sejenis makhluk lain lagi yang Allah ciptakan dengan kehebatan dan kekuasaan-Nya iaitu jin. Oleh itu, kita harus mengakui dengan wujudnya jin itu, maka gangguan jin itu juga wujud dengan sendirinya.

Termasuk juga di dalam golongan jin ialah Iblis dan syaitan.

Mengapa Jin mengganggu manusia?

Seperti yang telah saya nyatakan di atas bahawa Iblis adalah makhluk yang tergolong dikalangan jin. Kita semua tahu bahawa Iblis ini ialah makhluk yang ingkar kepada perintah Allah iaitu apabila Iblis enggan untuk sujud hormat kepada Nabi Adam.

Allah menceritakan kisah Iblis ini di dalam Surah al-Baqarah ayat 34 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para Malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir”

Akibat keengganan Iblis ini menyebabkan ia mendapat laknat dan dikeluarkan Allah dari syurga. Dan atas sebab itulah Iblis telah menyimpan dendam kepada Adam dan seluruh keturunannya. Iblis telah berjanji dihadapan Allah untuk menyesatkan manusia.

Janji Iblis ini telah Allah rakamkan di dalam al-Quran, iaitu di dalam Surah al-Hijr ayat 39 yang bermaksud:

“Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya”

Dan salah satu agenda Iblis untuk menyesatkan dan merosakkan manusia ialah melalui tenteranya iaitu syaitan dari kalangan jin dan manusia. Jadi saya harap anda sudah pun faham mengapa jin ini mengganggu manusia.

Matlamat utamanya ialah untuk merosakkan dan menyesatkan manusia.

Apabila jin masuk ke dalam badan manusia, tempat pertama dan paling utama yang akan ia kuasai ialah di otak dan juga tulang belakang yang berhampiran dengan urat saraf. Tujuannya ialah apabila mereka telah menguasai dua tempat tersebut, jin dengan mudah akan dapat mempengaruhi pemikiran dan emosi manusia tersebut.

Buktinya anda lihatlah sendiri mereka yang telah disihir. Manusia yang telah disihir ini akan berubah pemikiran dan emosinya. Sebagai contoh, seseorang yang telah terkena sihir pemisah, biasanya seorang suami atau isteri yang sangat menyayangi pasangannya akan berubah perasaanya kepada benci yang teramat sangat.

Selain itu, berdasarkan pengalaman saya juga, apa yang saya perhatikan, pesakit-pesakit yang terkena gangguan jin akan mengalami apa yang dipanggil “anxiety level” atau tahap kebimbangan yang tinggi.

Apabila pesakit yang terkenan gangguan jin ini mengalami gejala “anxiety level” yang tinggi, mereka akan sering berasa takut, risau, bimbang, dan gelisah tanpa mengetahui apa puncanya.

Untuk pesakit yang lebih kronik, gejala “anxiety level” ini akan menjadikan mereka berasa lebih takut apabila berada di tempat-tempat yang mempunyai ramai orang, contohnya di dalam bas, pasaraya, bahkan masjid sekalipun terutamanya ketika solat Jumaat.

Apabila fikiran terganggu, pesakit juga akan mengalami tekanan jiwa yang amat dahsyat. Dan, antara contoh penyakit yang diakibatkan oleh tekanan jiwa yang berpunca dari gangguan jin, ialah masalah kemurungan. Tahukah anda bahawa masalah kemurungan yang dah kronik boleh mengakibatkan pesakit mengambil tindakan membunuh diri!

Bagi pesakit yang mengalami gangguan saraf yang berpunca dari gangguan jin pula, ianya akan mengakibatkan mereka mengalami sakit pinggang, sakit otot, tengkuk, bahu, rahim dan kadang-kadang sistem pernafasan.

Jenis-Jenis Punca Gangguan Jin

  1. Gangguan jin akibat perbuatan sihir. Di sini makhluk jin memasuki badan manusia bertujuan untuk menyakitkan tubuh fizikal dan gangguan emosi dan mental seseorang. Ilmu-ilmu sihir dan ilmu santau banyak menggunakan jin sebagai medium perantaraan diantara tukang-tukang sihir dan mangsa yang kena sihir. Disini tukang sihir akan mengarahkan atau menyuruh jin-jin yang dibawah kuasa mereka untuk membawa benda-benda sihir atau racun-racun santau kedalam badan pesakit bertujuan untuk menyakitkan seseorang itu.
  2. Gangguan jin keatas tubuh seseorang akibat kelemahan iman atau lemah ketahanan diri atau lemah semangat seseorang itu. Roh yang sakit atau lemah akibat iman yang lemah kerana ingkar mengikut perintah Allah, atau banyak melakukan dosa dan maksiat, meninggalkan sembahyang, minum arak atau melakukan penzinaan, ini menyebabkan sesaorang itu senang untuk di dampingi oleh makhluk-makhluk halus. Usia yang lanjut bukan faktor yang utama membolehkan makhluk-makhluk jin tersebut menyerang manusia kerana ketahanan diri yang sebenarnya terletak kepada kekuatan iman yang membentuk kekuatan roh. Kekuatan inilah yang menjadi benteng utama bagi pertahanan diri kepada gangguan jin-jin dalam kehidupan seharian atau ketika sakaratul maut.
  3. Gangguan jin akibat amalan seseorang itu memuja jin-jin dengan sengaja atau pun tidak sengaja seperti dilakukan ketika membaca jampi, mentera atau serapah. Mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin, seperti amalan kebatinan mempertahankan diri, ilmu kebal, susuk, ilmu yang berkaitan dengan permainan teater tradisional atau berubat dengan bomoh/pawang/tukang ubat yang pada hakikatnya berdampingan dengan jin-jin atau roh-roh sesat.
  4. Gangguan jin terhadap pesakit terencat akal semenjak lahir. Anak-anak yang mengalami penyakit terencat akal selalunya diganggu oleh makhluk halus. Ini disebabkan daya pertahanan mereka lemah kerana tidak kesempurnaan akal pemikiran mereka. Disini jin dan syaitan mudah mengambil kesempatan untuk menguasai tubuh badan mereka. Dari pengalaman penulis, kebanyakkan pesakit yang menghadapi penyakit terencat akal (contohnya anak-anak down syndrome) terdapat gangguan jin didalam tubuh badan terutama dibahagian otak dan urat saraf.
  5. Penyakit fizikal yang disebabkan oleh gangguan jin. Terdapat beberapa jenis penyakit fizikal seperti stroke (sakit angin ahmar), sakit buah pinggang (nephronic syndrome)dan penyakit SLE, sakit cancer seperti busong yang berpunca dari gangguan sejenis jin yang telah dikenal pasti oleh penulis. Punca penyakit-penyakit ini adalah kerana gangguan makhluk halus yang memasuki tubuh badan pesakit dan menyerang anggota-anggota badan yang tertentu seperti otak, buah pinggang, urat saraf dan sebagainya.
  6. Gangguan saka ialah gangguan jin yang datang dari asalnya dibela oleh keterunan keluarga pesakit. Saka bererti bahawa salah seorang daripada keterunan teratas pesakit seperti datuk, nenek, ibu atau bapa yang mempunyai atau mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin atau bantuan-bantuan jin. Jin-jin ini akan berpindah kepada keterunan yang berikutnya apabila waris yang asal meninggal dunia. Ini berlaku apabila waris yang mati itu tidak sempat membuang ilmu yang diamalkan atau tidak membebaskan jin-jin yang mendampingnya sebelum waris itu meninggal dunia.

Gangguan jin adalah satu kejadian yang tidak boleh kita nafikan kewujudannya. Pengalaman saya selama 7 tahun ini membuktikan bahawa apabila seseorang yang telah terkena gangguan jin ini akan mengambil masa yang agak lama untuk merawatnya.

Jadi, nasihat saya dekatkanlah diri kita kepada Allah. Sentiasa tetap melaksanakan segala suruhan-Nya dengan istiqamah. Selain itu, perbanyakkanlah amalan-amalan sunat, terutamanya membaca al-Quran dan berzikir.

Kerana hanya inilah satu-satunya jalan, tiada jalan lain yang boleh dipilih untuk kita semua mengelakkan diri dari gangguan jin. Akhir kata, hayatilah makna ayat al-Quran ini:

“Sesungguhnya ia (iblis & syaitan) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman. (Surah al-A’raf ayat 27)

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Tahukah anda 60% rawatan sihir akan gagal? Klik di sini untuk mengetahui puncanya.

Follow saya di sosial media:
6 Jenis Punca Gangguan Jin
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!