Download Senarai Ayat-Ayat Ruqyah Percuma

download ayat-ayat ruqyah secara percuma
Anggaran Masa Bacaan: 4 minit

Dikemaskini pada 01/01/2023 oleh Ustaz Abdullah

Apakah yang dimaksudkan dengan ruqyah? Menurut Wikipedia Bahasa Melayu, ruqyah adalah kaedah penyembuhan dengan cara membacakan sesuatu kepada orang yang sakit. Tidak kiralah sakit akibat dari penyakit ‘ain, sengatan haiwan, bisa, sihir, kerasukan dan gangguan jin.

Dari maksud di atas, apa yang dapat kita faham dengan ayat-ayat ruqyah pula ialah ianya digunakan untuk penyembuhan dari sesuatu penyakit. Manakala ruqyah secara syar’i pula (Ruqyah Syariyyah) adalah jampi-jampi atau mentera-mentera yang dibacakan oleh seseorang untuk mengubati penyakit atau menghilangkan gangguan jin atau sihir atau untuk perlindungan dan sebagainya.

Dengan hanya menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang bersumber dari hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang dapat difahami maknanya selama mana ianya tidak mengandungi unsur-unsur kesyirikan.

Bahagian Ruqyah

Secara umumnya, ruqyah ini terbahagi kepada dua bahagian. Dua bahagian tersebut ialah:

Pertama: Untuk bahagian pertama ini ialah ruqyah yang dibenarkan oleh syarak.

Kedua: Manakala bahagian kedua pula ialah ruqyah yang tidak dibenarkan oleh syarak. Iaitu ruqyah dengan menggunakan bahasa-bahasa yang tidak dapat difahami maknanya. Pada pandangan saya, termasuk juga dalam kategori bahasa-bahasa yang tidak dapat difahami apabila perawat membacakan ayat-ayat tanpa mengeluarkan suara. Jadi kita tidak dapat mendengar dengan jelas bacaannya.

Selain itu, ruqyah yang tidak dibenarkan ialah yang mengandungi unsur-unsur kesyirikan. Satu yang saya nak nasihatkan di sini ialah, janganlah kita terpedaya dengan perawat yang menggunakan ayat-ayat al-Quran demi untuk menutupi cara rawatannya yang tidak betul.

Saya ambil satu contoh di sini ialah perawat yang memberikan tangkal kepada pesakit selepas diruqyah. Alasannya kerana tangkal tersebut hanyalah diruqyah dengan ayat-ayat al-Quran. Nampak tak bagaimana taktik perawat nak menutupi kaedah rawatannya yang tak betul.

Baca juga artikel berkaitan ini: Bolehkah al-Quran dijadikan tangkal?

Isunya di sini bukanlah soal tangkal tersebut dijampi dengan ayat-ayat ruqyah atau tidak, tetapi isunya di sini ialah pemakaian tangkal itu sendiri dah boleh menjatuhkan seseorang itu dalam kesyirikan. Ada dua jenis syirik yang akan berlaku di sini.

Pertama: Akan menyebabkan terjatuh kepada syirik besar apabila disertai keyakinan bahawa azimat itu sendiri yang memberikan pengaruh selain Allah Subhanahu wa Ta’ala, yang dapat menolak mudarat dan mendatangkan manfaat, serta membentengi setiap orang yang memakainya. Dengan keyakinan yang sebegitu akan menjadikan pelakunya terkeluar dari Islam, halal darahnya untuk ditumpahkan dan hartanya untuk dirampas, menyebabkan kekal dirinya di dalam neraka apabila dia mati dan belum sempat bertaubat, serta menyebabkan terhapus (hilang) seluruh amalan yang dilakukan di dalam Islam.

Kedua: Akan menyebabkan terjatuh dalam perbuatan syirik kecil apabila dia meyakini bahawa azimat itu hanya sebagai sebab semata, manakala yang mendatangkan manfaat dan menolak segala bentuk malapetaka yang menimpanya adalah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini kerana menjadikan sesuatu sebab yang tidak pernah dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai sebab adalah merupakan syirik kecil. (Lihat Al-Qaulul Mufid 1/204, Al-Qaulul Sadid hal. 38, Fatawa Syeikh Ibnu Baz 2/384)

Download Ayat-Ayat Ruqyah

Setelah kita tahu tentang apakah yang dimaksudkan dengan ruqyah dan juga ruqyah syariyyah, tentang fungsi dan kelebihannya, maka sepatutnyalah kita menjadikan ayat-ayat ruqyah ini sebagai amalan zikir harian kita. Anda boleh jadikan ianya sebagai zikir di waktu pagi dan petang.

Zikir di waktu pagi dan petang ini bermaksud ianya dibaca selepas dari solat Subuh dan juga selepas solat Asar. Bagi anda yang ingin menjadikannya amalan, boleh download ayat-ayat ruqyah secara percuma sahaja. Klik di sini untuk mendapatkannya.

Kelebihan Ayat Ruqyah

Sebelum saya nak kongsikan dengan anda tentang kelebihan ayat-ayat ruqyah, ada dua perkara yang saya nak jelaskan kepada anda. Yang pertama, anda perlu faham bahawa ayat-ayat ruqyah itu adalah sebahagian daripada ayat-ayat Al-Quran.

Walaupun ada sedikit daripadanya yang bukan dari ayat Al-Quran, tetapi sebahagian besarnya adalah ayat-ayat Al-Quran.

Jadi, bila ianya terdiri daripada ayat-ayat Al-Quran, maka secara umumnya bacaan ayat ruqyah itu akan memberikan pahala kepada mereka yang membacanya.

Manakala kelebihan-kelebihan yang khusus adalah berdasarkan kepada apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya. Sebagai contoh, kelebihan dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah seperti yang dijelaskan di dalam hadis Baginda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah pada waktu malam, maka telah cukup baginya dengan keduanya”. (Hadis riwayat Al-Bukhari, 5009)

Apa maksudnya?

Menurut Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadis di atas, beliau menyebut bahawa maksud hadis di atas terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu:

  • Telah cukup baginya qiyamullail (bangun di tengah malam untuk beribadah).
  • Telah cukup baginya untuk membaca Al-Quran samada di dalam atau diluar solat.
  • Telah cukup baginya perkara-perkara yang melibatkan akidah kerana ayat tersebut menceritakan tentang keimanan dan amalan secara umum.
  • Telah cukup baginya (terselamat) dari segala keburukan.
  • Telah cukup baginya (terselamat) daripada keburukan syaitan.
  • Telah menolak keduanya (ayat tersebut) daripada keburukan manusia dan jin.
  • Telah cukup baginya untuk mendapatkan kebaikan daripada keduanya.

Itu baru satu ayat.

Masih ada banyak lagi ayat-ayat ruqyah yang mana ianya mempunyai kelebihan yang khusus sepertimana yang disebutkan di dalam hadis Nabi s.a.w.

Yang kedua, untuk memaksimumkan kelebihan khusus yang ada di dalam ayat-ayat ruqyah itu, perkara paling penting sekali ialah anda mestilah melakukannya secara istiqamah. Biar sedikit asalkan berterusan.

Besarnya kelebihan beristiqamah dapat anda lihat sebagaimana di dalam sebuah ayat yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang telah berkata ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka beristiqamah, akan turunlah Malaikat kepada mereka (ketika hampir ajalnya) dengan berkata, “Jangan takut dan jangan bersedih dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kami pelindungmu di dunia dan akhirat. Dan untuk kamu disyurga itu adalah apa yang kamu inginkan dan untuk kamu apa yang kamu minta. Ia sebagai ganjaran daripada Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang”. (Surah Fussilat ayat 30 hingga 32)

Jadi apa yang saya nak tekankan di sini ialah, apabila anda mendownload ayat-ayat ruqyah yang saya berikan kepada anda, beramallah secara istiqamah, walaupun sedikit. InshaaAllah anda akan mendapat kelebihan-kelebihannya.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda merasakan artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Mungkin mereka lebih memerlukan artikel begini daripada anda. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya dalam bentuk newsletter mingguan terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan. Ianya percuma.

Follow saya di sosial media:
Download Senarai Ayat-Ayat Ruqyah Percuma
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!