Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Bagaimana Mengesan Jin Dalam Badan?

Dikemaskini pada 05/02/2019 oleh Ustaz Abdullah

cara kesan gangguan jin

Mengesan gangguan jin di dalam tubuh badan adalah sangat penting.

Tetapi yang menjadi masalah ialah apabila kaedah yang digunakan untuk mengesan gangguan jin itu dilakukan dengan kaedah yang salah.

Apabila dilakukan dengan kaedah yang salah, akan berlaku dua kemungkinan iaitu:

  • Memburukkan lagi masalah gangguan jin yang sedia ada.
  • Merisikokan diri terkena gangguan jin pada mereka yang sebenarnya tidak ada gangguan jin.

Mengapa dua kemungkinan di atas boleh berlaku?

Kerana apabila menggunakan kaedah yang salah, dikhuatiri perawat yang mengamalkan kaedah tersebut juga sebenarnya menggunakan khidmat bantuan jin ketika merawat pesakit.

Oleh kerana itulah, penggunaan kaedah yang betul untuk mengesan gangguan jin adalah sangat-sangat penting supaya anda selamat dari dua kemungkinan yang saya sebutkan di atas dan yang keduanya langkah untuk mengeluarkan jin di dalam badan juga dapat dilakukan.

Di dalam artikel ini, saya akan kongsikan dengan anda bagaimana cara yang betul untuk mengesan gangguan jin di dalam badan. Inilah kaedah yang saya praktikkan sekian lama. Bukan saya sahaja, bahkan kaedah ini juga dipraktikkan oleh perawat diseluruh dunia.

Mengapa Perlu Mengesan Gangguan Jin?

Ya, mengapa perlu mengesan gangguan jin dalam badan? Soalan yang mungkin selalu bermain-main difikiran anda kan? Atau soalan yang lebih tepat lagi ialah, bilakah perlu dilakukan langkah-langkah untuk mengesan gangguan jin?

Sebenarnya mengesan gangguan jin bukanlah satu perkara yang mesti dilakukan ke atas setiap diri seseorang. Dalam pemerhatian saya, apabila jin berada di dalam badan seseorang, ianya boleh memberikan kesan dalam tiga perkara, iaitu:

  1. Perubahan kepada fizikal, contohnya secara tiba-tiba kepala anda selalu sakit. Di sini berlakunya perubahan fizikal dari segi tahap kesihatan anda.
  2. Perubahan dari segi sikap, contohnya apabila anda lihat seseorang, ataupun pasangan anda tiba-tiba berubah sikap. Contohnya suami anda tiba-tiba yang sebelum ini seorang yang penyayang, menjadi seorang yang pemarah.
  3. Perubahan dari segi amal ibadah. Bagi saya inilah yang paling penting. Sebagai contoh anda mengenali seseorang yang anda tahu bahawa dia adalah kaki sembahyang. Tetapi anda perasan berlaku kepada perubahan di mana dia menjadi seorang yang malas untuk solat.

Jadi, apabila berlakunya perubahan-perubahan yang saya sebutkan di atas, sudah pasti ianya akan menjadi tanda tanya kepada kita. Sebagai contoh, seorang isteri pasti tertanya-tanya mengapa suaminya tiba-tiba berubah sikap menjadi seorang pemarah.

Ataupun anda mesti tertanya-tanya mengapa sejak kebelakangan ini, anda selalu sahaja tidak sihat?

Dalam situasi beginilah perlunya untuk mengesan apakah dalam badan orang yang berlaku perubahan ini disebabkan gangguan jin ataupun disebabkan masalah lain.

Itulah fungsi pengesanan gangguan jin. Untuk mengenalpasti punca berlakunya perubahan. Jika perubahan disebabkan gangguan jin, bolehlah dilakukan kaedah rawatan yang betul untuk mengeluarkan jin tersebut. Dan begitulah juga jika perubahan disebabkan penyakit atau sebab-sebab lain, bolehlah dilakukan kaedah perubatan yang sesuai.

Beberapa Kaedah Yang Batil Untuk Mengesan Jin

Kadang-kadang apabila kita berada dalam keadaan terdesak, kita akan sanggup melakukan apa sahaja. Itulah juga yang terjadi apabila anda terdesak untuk mengetahui apakah benar anda mengalami gangguan jin atau tidak.

Ditambah pula dengan kurangnya pengetahuan tentang cara-cara rawatan yang betul dan salah, tidak mustahil akhirnya anda akan terperangkap dengan kaedah perubatan yang batil. Di sini saya akan kongsikan dengan anda beberapa kaedah perubatan yang bercanggah dengan syarak.

Pembedahan Batin

Oleh kerana pembedahan batin dikaitkan dengan perkara yang berlaku secara luar biasa dan menyalahi adat kebiasaan seperti dapat mengeluarkan jantung tanpa dibedah, batu karang dan lain, maka eloklah kita melihat pembahagian ulama terhadap perkara-perkara yang khariqul adat yakni mencarikkan adat. Perkara-perkara yang mencarik adat ini pada umumnya ada enam perkara iaitu:

  1. Mukjizat.
  2. Karamah.
  3. Istidraj.
  4. Irhas
  5. Ma’unah
  6. Ihanah

Mukjizat

Ia adalah sesuatu yang mencarik atau menyalahi adat yang disertai dengan cabaran yang dikurniakan Allah kepada para Rasul A.S. dan Anbia (Nabi-Nabi) sesuai dengan dakwaannya, bagi membuktikan kebenaran risalah tauhid agama.

Karamah

Ia adalah sesuatu yang menyalahi adat yang dikurniakan oleh Allah kepada para wali yang sentiasa berusaha menjauhkan dosa-dosa besar dan kecil serta sentiasa istiqamah dalam mendampingkan diri kepada Allah S.W.T.

Istidraj

Iaitu yang menyalahi adat yang lahir di tangan orang fasiq dan kafir yang biasanya berlaku pada tukang sihir. Terjadinya perkara yang menyalahi adat itu berulang-ulang dan ilmu itu pula boleh dipelajari dipelajari.

Irhas

Iaitu yang menyalahi adat yang lahir atau berlaku pada para Nabi yang belum diutus sebagai Rasul. Umpamanya Nabi kita Muhammad S.A.W. yang dilindungi oleh awan di Mekah dalam perjalanan, sebelum baginda diutus menjadi Rasul.

Ma’unah

Sesuatu yang dilahirkan adat yang dilahirkan oleh Allah kepada seseorang atau orang ramai ketika menghadapi kesusahan dan contohnya amat banyak di antaranya turun Malaikat semasa peperangan Badar untuk membantu kaum Muslimin.

Ihanah

Sesuatu yang menyalahi adat yang berlaku pada tangan orang fasiq untuk menambahkan kefasiqan mereka sebagaimana yang berlaku pada Musailamah Al-Kazzab. Beliau meludah pada mata seseorang yang juling sehingga sembuh.

Di dalam masyarakat kita, hari ini pun tidak terkecuali di mana terdapatnya mereka yang boleh melakukan berbagai-bagai perkara yang menyalahi adat umpamanya boleh melakukan pembedahan perut dan pemindahan organ tanpa menggunakan ubat bius atau pelali, atau apa sahaja yang boleh dianggap luar biasa.

Inilah yang dikatakan sebagai sihir. Dewasa ini tidak ada lagi mukjizat kerana tidak wujud lagi seorang Rasul ataupun Nabi. Karamah pun bukan kerana itu adalah anugerah Allah kepada para wali disebabkan mereka begitu hampir kepada Allah.

Irhas pun bukan kerana mereka tidak akan menjadi rasul dan Nabi-Nabi. Rasul sudah tidak ada lagi selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. (Maksud irhas ialah sesuatu yang pelik yang berlaku kepada seseorang yang bakal menjadi Rasul.)

Ma’unah juga bukan, kerana ia terjadi sekali sekala dan tidak berulang-ulang dan hanya diberi kepada orang yang bertaqwa sahaja.

Ihanah juga bukan kerana ia tidak dipelajari dan boleh juga terjadi kepada seorang yang fasiq dan kafir dan juga berlaku sekali sekala sahaja.

Kesimpulannya bahawa apa yang berlaku sekarang terhadap sesetengah orang yang boleh menanggalkan mata, atau mengeluarkan mata seseorang kemudian dibersihkan seterusnya dimasukkan balik matanya semula tanpa dibius atau dibubuh ubat pelali adalah sihir iaitu diistilahkan sebagai istidraj.

Kerana sihir itu adalah sesuatu yang menyalahi adat yang dipelajari dan berlaku pada tangan orang yang fasiq, boleh berlaku secara berulang-ulang dan tidak pernah gagal.

Oleh itu, dinasihatkan pada orang ramai apabila pergi berubat hendaklah berhati-hati supaya tidak terpesona dan terjebak dengan cara yang demikian supaya aqidah kita tidak terjejas. Apabila berubat dengan tukang sihir bermakna kita meredhai perbuatan mereka yang berdosa itu.

Melakukan perbuatan sihir atau menyokong perbuatan mereka itu samalah juga kita dengan orang yang ‘menurun’ iaitu menggunakan khidmat jin yang memasuki ke dalam badan seseorang.

Kemudian ia mengubati orang dengan cara bercakap dengan jin yang meresap kedalam jasadnya dan mengaku sebagai wali dan sebagainya. Ini juga adalah suatu cara di mana jin cuba merosakkan aqidah seseorang itu.

Penggunaan Tangkal & Azimat

Secara amnya azimat atau tangkal terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

1) Azimat syirik

Iaitu azimat yang dibuat oleh tukang sihir atau bomoh-bomoh dengan berdasarkan waktu dan “ketika” yang tertentu. Bomoh-bomoh juga berpandu kepada bulan dan bintang dalam membuat azimat atau tangkal tersebut kerana mengikut sangkaan mereka ada waktu dan ketika yang sesuai seperti pada waktu bintang “musytari” dan lain-lain.

Perkara-perkara seperti ini banyak disebut dalam kitab Abi Ma’syar al-Falaki. Kadang-kadang disamping menggunakan rajah-rajah tertentu, mereka juga menambahkan potongan ayat al-Quran, doa- doa dan lain-lain.

Kadang-kadang ayat-ayat al-Quran ditulis secara terbalik, yang didepan ke belakang, yang dibelakang ke depan. Pada sangkaan mereka, perkara itu dapat menolak daripada terkena sihir dan sebagainya. Namun perbuatan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:

“Daripada Uqbah bin Amir R.A : katanya : Sabda Rasulullah S.A.W : Barangsiapa menggantung tangkal (Tamimah) maka Allah tidak akan sempurnakan baginya, barangsiapa menggantungkan azimat (Wad’ah) maka Allah tidak akan tenangkannya.”

Ini adalah doa daripada Rasulullah supaya orang yang melakukan amalan tahyul dan azimat ini tidak berjaya.

2) Azimat Al-Quran

Azimat yang ditulis didalam ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah dan sifat-sifatnya kerana mengharapkan manfaatnya dan keberkatannya. Dalam masalah ini terdapat dua pandangan ulama’, ada yang yang mengharuskan dan ada yang mengharamkan :

Kebanyakan ulama mengharamkannya kerana perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Padahal Bagindalah yang lebih mengetahui tentang semua perkara agama.

Tidak pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. memakai tangkal atau memakaikan orang lain tangkal. Sekiranya perkara itu disyariatkan, maka sudah tentu Nabi S.A.W. menunjukkan, mengajarkannya, dan menyampaikan kepada umatnya.

Ini berdasarkan kepada firman Allah di dalam Surah Al-Maidah ayat 67 yang bermaksud:

“Wahai Rasul Allah! sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika Engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah Engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir”

Namun begitu ada sebahagian ulama yang mengharuskan memakai azimat daripada Al-Quran, nama-nama Allah S.W.T. dan doa-doa yang ma’thur. Pendapat ini di sandarkan kepada Abdullah Bin Amru bin Al’as. Wallahu ‘Alam.

Menurun

Menurun adalah suatu perbuatan yang di kaitkan dengan memanggil jin untuk masuk ke dalam tubuh manusia. Mengikut pengamal perbuatan ini, perbuatan menurun terbahagi kepada dua:

Pertama: memanggil malaikat untuk masuk ke badan manusia mengikut dakwaan mereka.

Kedua: memanggil jin masuk ke dalam badan manusia.

Kedua-dua perbuatan ini hanyalah bertujuan supaya jin atau malaikat tadi mengkhabarkan kepada mereka perkara-perkara yang ghaib seperti nama pencuri, tempat berlaku kecurian, nama penyihir, di mana barangan sihir di letakkan dan lain-lain lagi. Perbuatan ini haram berdasarkan hadith:

“Barangsiapa datang berjumpa dengan tukang tenung (yang mengkhabarkan perkara-perkara ghaib) kemudian ia bertanyakanya sesuatu maka tidak diterima solatnya selama 40 hari” (Hadis riwayat Muslim)

Antara jenis perubatan tradisional yang menggunakan kaedah menurun ialah main puteri, mak yong dan lain-lain lagi. Makyong (Mak Yong atau Makyung) merupakan sejenis tarian Melayu traditional.

Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang memuja dewa-dewa dan ratu-ratu.

Dramatari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, dan Kedah.

Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an.

Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu “Mengadap Rebab” diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Setiap satu cerita mampu dipersembahkan merentasi beberapa malam dalam siri pertunjukan tiga jam.

Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan di panggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang keempat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak.

Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Mak Yong dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian dan menurun.

Dalam upacara ini pawang akan sampai ke satu tahap yang di panggil ‘lupa’. Ketika lupa, pawang akan dirasuk (menurun) dan akan menceritakan penyakit yang dialami oleh pesakit. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan amalan Syariat Islam kerana:

  1. Memuja roh-roh dan dewa-dewa yang sebenarnya adalah jin.
  2. Menurun yang diharamkan oleh Syarak.
  3. Memainkan alat-alat muzik yang diharamkan oleh Syarak.

Acak/Ancak

Acak atau Ancak merujuk sebagai sebarang jenis persembahan kepada makhluk halus dalam kebudayaan Melayu. Persembahan ini biasanya merupakan makanan, dan secara biasanya terdiri daripada hidangan (tetapi tidak terhad) seperti berikut:

  • Bertih.
  • Pulut kuning.
  • Ayam panggang.
  • Telur (mentah/rebus)
  • Anak patung tradisional.

Terdapat juga acak yang merupakan darah sembelihan yang diletakkan dalam bekas. Acak biasanya digunakan semasa memenuhi perjanjian dengan saka, bagi memberi jamuan.

Selain itu, acak juga digunakan dalam perubatan tradisional apabila acak disediakan dan kemudiannya, jin yang mengganggu dipujuk agar mengikuti acak yang kemudiannya dihanyutkan ke sungai.

Perkara yang sama juga dikatakan akan dilakukan ketika seseorang membuang ilmu kebatinan yang dipakainya seperti memakai susuk, atau makhluk belaan seperti toyol.

Selain itu, acak juga disediakan dalam upacara semah biasanya sebagai balasan apabila pesakit yang diubati menurut kaedah tradisional sembuh, sebagai memenuhi perjanjian yang telah dipersetujui oleh orang yang melakukan rawatan dan jin-jin yang dikatakan membantu manusia yang dilakukan dalam keadaan menurun, ataupun melalui persembahan teater tradisional, yang juga melibatkan menurun.

Jin yang merasuk pesakit dipujuk dan dijanjikan akan diberi makan acak sekiranya sudi keluar dan tidak mengganggu pesakit. Tujuan lain ialah sebagai tanda berterima kasih kepada makhluk ini, yang sudi datang membantu manusia melakukan rawatan, membolehkan pesakit sembuh.

Perbuatan menghanyutkan ancak ini amat jelas bertentangan dengan Prinsip Syariat Islam kerana ia memuja dan membesarkan jin. Perbuatan ini boleh menjerumuskan ke lembah syirik.

Dalam akidah Islam kita wajib mempercayai bahawa yang memberi manfaat dan memudaratkan hanya Allah S.W.T. Walaupun jin dan syaitan memang wujud mengikut al-Quran dan al-Sunnah, namun mereka bukanlah makhluk yang perlu kita puja dan takuti.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam Surah Jin ayat 6 yang bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Menilik Dan Menenung Nasib

Apabila Rasulullah S.A.W. dibangkitkan, Baginda dapati dalam masyarakat Arab ada beberapa kaum dajjal yang dikenal dengan panggilan kahin yakni dukun, dan yang lain dikenal sebagai tukang tilik dan ahli nujum yang mengaku diri mengetahui hal ehwal ghaib baik yang telah terjadi pada masa yang lalu, mahupun yang akan berlaku pada masa hadapan iaitu dengan jalan perhubungan mereka dengan para jin, hantu, puaka dan sebagainya.

Justeru itu Rasulullah telah mengisytiharkan perang terhadap kepercayaaan yang sesat ini, yang tiada berdiri di atas ilmu pengetahuan yang lurus atau bersandarkan petunjuk dan syariat yang benar.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam Al-Quran:

“Katakanlah lagi: tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)”.

Zaman sekarang pun masih ramai yang mengamalkan amalan menenung dan menilik nasib ini. Bahkan ada sesetengahnya dilakukan oleh perawat-perawat yang bergelar ustaz, tok-tok imam, bilal dan juga orang-orang agama yang lain yang mengaku kononnya mengamalkan kaedah perubatan Islam.

Contohnya mereka yang dapat mengetahui samada anda terkena gangguan jin atau sihir hanya dengan melihat pada gambar atau nama. Seperti yang saya jelaskan di atas tadi bahawa perkara yang berlaku pada masa lalu ataupun pada masa yang akan datang adalah termasuk dalam perkara ghaib.

Jadi bagaimana mereka ini boleh mengetahui perkara tersebut. Bahkan lebih tak masuk akal hanya dengan melihat pada nama atau pun gambar pesakit. Tetapi sayangnya masih ramai yang masih mempercayai golongan begini. Mungkin kerana mereka melihat pada gelaran ustaz atau imam yang dimiliki oleh individu tersebut.

Jampi-Jampi Yang Menyalahi Syariat

Bukan semua jampi melayu bertentangan dengan ajaran Islam, hanya jampi-jampi yang berunsur memuja jin dan iblis serta mempunyai unsur syirik sahaja yang di larang oleh Islam. Justeru, jampi hendaklah memenuhi 3 syarat utama seperti yang disepakati oleh ulama iaitu:

  1. Dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, Hadith atau doa-doa muktabar yang difahami maknanya.
  2. Boleh memohon dari Allah dengan bahasa apapun dengan syarat maknanya difahami dengan jelas tanpa ada syirik padanya.
  3. Hendaklah berkeyakinan penuh bahawa manusia hanya berikhtiar. Yang menyembuhkan atau mengkabulkan permintaan hanyalah Allah S.W.T. jua.

Di sini saya sertakan satu contoh jampi yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam:

1) Jampi yang dibaca untuk memuja jin supaya menggangu manusia:

As-salamu alaikum

Hei jin hitam melengkongi bumi

Hei jin putih hulubalang bumi

Engkau datang kepada aku

Aku nak minta tolong pada engkau

Atas Engkau jaga diriku

Engkau halang musuhku

Nyah pergi engkau rosakkan otak dia

Engkau pergi kacau roh si anu…(nama mangsa)

2) Jampi racun

Bis Millahhir Rahman Nirrahim

Lik ….Akulah sebenar-benar Allah

Menjadi

Teek……Akulah sebenar-benar Muhammad

Menjadi Assalmualaikum

Inilah sebahagian daripada perkara-perkara yang dilarang dalam perubatan Islam / alternatif. Di sana banyak lagi perkara yang diharamkan yang perlu dibahas dengan lebih mendalam lagi. Namun di sini saya hanya utarakan perkara-perkara yang banyak menular dalam masyarakat Melayu kita.

Kaedah Yang Betul Untuk Mengesan Gangguan Jin

Sekarang kita akan pergi pada subtopik yang penting dari keseluruhan artikel ini. Saya akan tunjukkan melalui apa yang saya belajar dan saya dapat dari pengalaman saya sebagai seorang perawat.

Saya akan kongsikan dengan anda cara yang betul untuk mengesan samada di dalam badan anda ada jin atau tidak.

Cara ini anda boleh gunakan untuk mengesan apa sahaja jenis gangguan jin. Samada ianya sihir, saka atau sebagainya.

Gejala-Gejala Gangguan Jin

Dari pengalaman saya, sesiapa sahaja yang ada jin di dalam badan, pasti akan ada gejala-gejala yang berlaku kepada dirinya. Apakah gejala-gejala yang akan dialami apabila jin telah masuk ke dalam badan anda?

Gejala-gejala yang akan berlaku ialah:

  1. Susah tidur malam tanpa sebab.
  2. Sering terjaga di tengah malam tanpa sebab.
  3. Selalu mengalami mimpi yang menakutkan.
  4. Selalu mimpi binatang seperti anjing, kucing, serigala dan sebagainya.
  5. Kerap bermimpi seakan-akan terjatuh dari tempat tinggi contohnya jatuh dari bangunan, jatuh ke dalam gaung dan sebagainya.
  6. Selalu bermimpi mendukung atau menyusukan bayi.
  7. Kerap bermimpi diancam benda tajam. Contohnya seperti ada orang kejar dengan pisau.
  8. Selalu bermimpi berada di tempat kotor ataupun dikawasan kubur.
  9. Selalu sakit kepala tanpa sebab dan akan lebih terasa sakitnya diantara waktu Asar hingga ke Maghrib.
  10. Selalu rasa berdebar-debar tanpa sebab.
  11. Rasa seperti ada sesuatu yang bergerak-gerak di dalam badan.
  12. Badan selalu rasa lesu, letih tak bermaya, dan tidak bersemangat tanpa sebab.
  13. Cepat rasa marah walaupun hanya disebabkan perkara kecil.
  14. Rasa berat dan malas untuk menunaikan solat.
  15. Rasa malas dan berat untuk membaca Al-Quran dan berzikir.
  16. Mengalami sindrom cepat lupa tanpa sebab.
  17. Selalu rasa sakit belakang, terutamanya dibahagian tulang belakang dan bahu.

Anda ada alami gejala-gejala di atas? Adakah dengan adanya gejala-gejala tersebut menandakan bahawa anda sudah pasti mengalami gangguan jin?

Tak semestinya. Sebabnya ada sesetengah kes yang mengalami gejala-gejala di atas, bukan disebabkan gangguan jin, tapi disebabkan masalah lain. Boleh jadi disebabkan penyakit fizikal ataupun ada mengalami stress atau tekanan.

Oleh itu apa yang perlu dilakukan sekarang ialah untuk pastikan samada gejala yang anda alami disebabkan gangguan jin ataupun tidak. Sebenarnya untuk lakukan langkah ini, tidak semestinya ada perlu berjumpa dengan perawat. Ada cara mudah di mana anda boleh lakukan sendiri. Saya kongsikan 2 cara mudah yang boleh anda lakukan sendiri iaitu:

  1. Dengar bacaan ruqyah samada melalui mp3 ataupun melalui youtube. Untuk mendapatkan kesan yang lebih baik, dengar dengan menggunakan earphone.
  2. Jampikan (ruqyah) pada segelas air mineral dengan bacaan ayat-ayat ruqyah dan minum air tersebut.

Anda boleh menonton video di bawah yang saya sediakan. Dalam video ini saya tunjukkan bagaimana untuk anda menyediakan air ruqyah anda sendiri.

Setelah anda lakukan salah satu dari 2 cara di atas, apakah yang akan berlaku? Dari pengalaman saya, jika benar di dalam badan anda ada jin yang mengganggu, anda akan mengalami tindakbalas. Antara tindakbalas yang pernah diceritakan oleh pesakit saya ialah:

  • Tiba-tiba menjadi terlalu mengantuk.
  • Badan akan menjadi panas.
  • Denyutan jantung akan menjadi laju secara tiba-tiba.
  • Sakit atau pening kepala.
  • Berpeluh.
  • Jika jin dalam badan anda adalah jin sihir, kemungkinan besar anda akan muntah jika anda menggunakan cara menjampi dan minum air yang telah diruqyah (cara kedua).

Itulah diantara tindakbalas yang akan berlaku sekiranya di dalam badan anda ada jin. Tetapi untuk pengetahuan anda, tindakbalas yang akan berlaku sebenarnya tidaklah sama antara satu dengan yang lain.

Tindakbalas yang akan berlaku kepada seseorang individu tersebut bergantung juga kepada apakah jenis gangguan yang dihadapi, samada sihir atau saka, dan juga sudah berapa lama gangguan tersebut berada di dalam badan.

Jadi adakah anda rasa di dalam badan anda ada gangguan jin? Apakata anda cuba langkah di atas dan kongsikan dengan saya apakah tindakbalas yang anda alami dalam ruangan komen di bawah.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Follow saya di sosial media:
Bagaimana Mengesan Jin Dalam Badan?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!