An-Nusyrah: Rawat Sihir Dengan Sihir?

jenis sihir
Anggaran Masa Bacaan: 6 minit

Dikemaskini pada 19/10/2023 oleh Ustaz Abdullah

Sihir bukanlah suatu perkara baru, bahkan di dalam Al-Quran telah diterangkan bahawa amalan sihir ini telah berlaku sejak dari zaman Nabi Sulaiman a.s lagi.

Ini sebagaimana yang tertulis di dalam al-Quran iaitu di dalam Surah Al-Baqarah ayat 102 yang bermaksud:

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya)…”

Jadi sebelum saya membahaskan lebih lanjut berkaitan dengan tajuk artikel ini, mari kita lihat terlebih dahulu apakah pandangan Islam tentang amalan sihir ini.

Memahami sihir dari sudut pandang Islam adalah sangat penting kerana sihir adalah suatu amalan yang berunsurkan ritual-ritual ghaib yana mana ianya tak dapat dijangkau dengan pancaindera kita yang terbatas.

Justeru itu, hanya Islam sahaja yang dapat memberikan gambaran yang paling tepat berkaitan dengan sihir.

Kerana Islam bersumberkan kepada Al-Quran yang diturunkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui tentang perkara-perkara ghaib.

Dan kemudian isi Al-Quran itu pula dijelaskan lagi secara terperinci samada melalui ucapan ataupun perbuatan seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah.

Oleh kerana Rasul itu adalah manusia pilihan Allah untuk menerangkan tentang hukum-hakam yang telah ditetapkan-Nya, mustahil Rasul akan menyeleweng dari perkara yang benar.

Sihir Adalah Dosa Besar

Di dalam Islam, sihir adalah termasuk di dalam tujuh dosa-dosa besar. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah s.a.w dari sahabat Baginda iaitu Abu Hurairah r.a.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Kemudian sahabat bertanya. “Ya Rasulullah, apakah dosa-dosa itu?”. Baginda bersabda, “Menyekutukan Allah dengan sesuatu, melakukan sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, memakan riba, makan harta anak yatim, lari daripada medan perang, dan menuduh wanita yang baik dan beriman melakukan zina”. (Hadis riwayat Bukhari 2766)

Jadi, point penting dah dijawab. Dalam Islam jelas bahawa sihir adalah suatu amalan yang menyebabkan pelakunya telah melakukan dosa besar.

Apakah Maksud An-Nusyrah?

Dalam tulisan saya di atas, kita dah jelas dengan hukum sihir. Berdasarkan hadis, sihir adalah haram dan pelakunya telah melakukan dosa besar.

An-Nusyrah ini apa pula?

Sebenarnya perkataan An-Nusyrah ini boleh membawa beberapa pengertian.

Disebabkan itu, mungkin anda sebelum ini yang pernah mendengar istilah An-Nusyrah menjadi keliru.

Sebab mungkin anda pernah ada yang kata An-Nusyrah ini haram, dan ada pula yang kata harus. Sebenarnya hukumnya berubah berdasarkan kepada cara yang digunakan.

Jadi saya harap melalui perkongsian ini, kekeliruan anda akan hilang. An-Nusyrah membawa tiga maksud, iaitu:

  1. Cara merawat atau menjampi pesakit yang terkena gangguan jin atau sihir.
  2. Kaedah rawatan dengan cara menulis ayat-ayat Al-Quran, ataupun nama-nama Allah kemudian dilarutkan dengan air (ada yang menggunakan za’faran) untuk diberi minum kepada pesakit.
  3. Mengubati pesakit sihir dengan perantaraan sihir.

Ketiga-tiga di atas dikategorikan sebagai An-Nusyrah. Apabila anda mendengar ada yang mengatakan hukum An-Nusyrah adalah harus, maka mereka merujuk kepada perkara pertama dan juga yang kedua.

Dan jika anda mendengar pendapat yang mengatakan bahawa An-Nusyrah itu haram, maka ianya merujuk kepada perkara yang ketiga.

Jelas tak setakat ini? Jika jelas alhamdulillah. Jika belum jelas, anda boleh bertanya kepada saya diruangan komen ye.

Cara Merawat Sihir

Merawat mereka yang terkena sihir ataupun gangguan jin dinamakan sebagai An-Nusyrah.

Dan An-Nusyrah ini pula terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:

  1. Ruqyah Syariyyah.
  2. Ruqyah Syirkiyyah.

Ruqyah Syariyyah

Ruqyah syariyyah ialah suatu kaedah An-Nusyrah yang dibenarkan di dalam Islam kerana ianya hanya menggunakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan juga doa-doa yang bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w.

Dalil yang menunjukkan keharusan untuk menggunakan kaedah di atas ialah pada keumuman yang terdapat pada ayat 2 di dalam Surah Al-Maidah yang bermaksud:

“… hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan…” 

Selain dari dalil di atas, ada sebuah hadis dari Jabir bin Abdillah, bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa diantara kalian ada yang mampu untuk memberikan manfaat kepada saudaranya, maka lakukanlah” (Hadis Riwayat Muslim: 62)

Tetapi ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian apabila anda menggunakan kaedah ruqyah syariyyah.

Anda perlulah berprasangka baik kepada Allah dan yakin bahawa segala ikhtiar ruqyah yang anda lakukan itu tidak akan memberikan manfaat melainkan dengan izin Allah semata-mata.

Ini kerana kesembuhan itu hanyalah dari Allah dan hanya Dia yang berkuasa untuk memberikan manfaat dan juga mudharat.

Selain itu, anda juga perlulah bersabar apabila menjalani rawatan ruqyah syariyyah.

Ini kerana berdasarkan pengalaman saya, ada sesetengah kes gangguan jin dan sihir memakan masa yang lama untuk dirawat. Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang”

Ruqyah Syirkiyyah

Ruqyah syirkiyyah pula apabila cara untuk merawat sihir adalah dengan menggunakan sihir pula.

Perbuatan ini adalah dilarang sama sekali walaupun tujuannya baik iaitu untuk menyembuhkan mangsa sihir.

Ini kerana perbuatan sihir ialah suatu bentuk amalan yang meminta bantuan kepada jin. Jadi, orang yang merawat mangsa sihir dengan perantaraan sihir, juga meminta bantuan jin sihir yang lain.

Tidak ada beza antara keduanya.

Ada orang bertanya kepada saya, bagaimana nak elakkan daripada berjumpa dengan mereka yang mengamalkan sihir dalam amalan perubatan mereka?

Ini soalan yang bagus. Sebab apa saya kata bagus?

Sebab memang susah untuk kita nak kesan mereka yang menggunakan sihir dalam amalan perubatan mereka.

Logiknya, kalaulah mereka menunjukkan secara terang-terangan amalan sihir mereka, sudah tentulah ramai yang tidak akan mendapatkan khidmat rawatan dari mereka.

Betul tak?

Berkaitan dengan soalan ini saya akan ulas lebih lanjut dalam subtopik seterusnya yang bertajuk Bagaimana Elakkan Tukang Sihir. Teruskan bacaan anda.

Mengapa Dilarang Merawat Sihir Dengan Sihir?

Sebab yang paling utama larangan menggunakan sihir untuk merawat sihir ialah kerana sihir itu sendiri adalah suatu perbuatan yang haram dan berdosa besar, seperti dalil yang telah saya bawakan di atas.

Bahkan lebih berat lagi, perbuatan berjumpa tukang sihir boleh menyebabkan seseorang itu terjatuh ke lembah kesyirikan.

Ini kerana mereka yang berjumpa dengan tukang sihir sebenarnya telah meletakkan pergantungan kepada selain dari Allah.

Bahaya lain apabila merawat sihir dengan sihir ialah bukannya akan menyembuhkan sihir yang sedia ada, bahkan akan memburukkan lagi.

Kerana anda kena faham bahawa semua sihir tidak kiralah apa sahaja jenis sihir, pasti akan menggunakan perantaraan jin.

Jadi dikhuatiri jin sihir yang dah sedia ada dalam badan pesakit, akan berpakat dengan jin sihir dari perawat untuk menambahkan lagi gangguan sihir anda.

Ini juga antara faktor mengapa sihir yang dirawat tidak sembuh, ataupun sembuh sekejap, kemudian berulang balik.

Bagaimana Elakkan Tukang Sihir?

Tukang sihir sekarang sudah pandai. Mereka tahu masyarakat sekarang terutamanya umat Islam, tidak lagi mahu menggunakan kaedah rawatan yang bertentangan dengan syarak.

Jadi antara strategi yang digunakan ialah mengaburi pesakit dengan kaedah rawatan yang nampak seperti Islamik, tetapi dalam diam mereka menggunakan sihir tanpa disedari.

Jadi bagaimana cara terbaik yang boleh anda lakukan?

Cara yang terbaik ialah anda tinggalkan terus apa sahaja kaedah rawatan yang ada unsur syubhah (keraguan). Ini adalah jalan paling selamat.

Ini berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah s.a.w dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir radhiallahuanhu dia berkata:

“Saya mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Jelas dalam hadis di atas Nabi sebut siapa yang terjerumus disebabkan tidak berhati-hati dalam perkara syubhah, maka dia akan terjerumus dalam perkara yang haram.

Begitulah juga apabila anda nak berubat. Nak selamat dari tukang sihir, jauhilah perkara yang syubhah dalam rawatan.

Apa contoh kaedah-kaedah yang syubhah?

Di bawah ini saya kongsikan dengan anda beberapa contoh kaedah-kaedah rawatan yang syubhah, yang banyak dipraktikkan. Sepatutnya anda elakkan.

  1. Menggunakan gambar atau nama untuk scan samada pesakit disihir atau tidak. Kaedah ini sama sahaja dengan kaedah menilik. Dan menilik itu haram di dalam Islam.
  2. Perawat membaca sesuatu tetapi pesakit langsung tidak mendengar apa yang dibacakan oleh perawat. Jika yang dibacakan itu ayat Al-Quran ataupun doa-doa, mengapa perlu dibaca secara perlahan?
  3. Pembedahan batin. Bagaimana pesakit boleh merasakan kesakitan seperti dihiris dengan pisau (untuk pembedahan), sedangkan perawat langsung tidak menyentuhnya?
  4. Bacaan perawat kadang-kadang boleh didengari, dan kadang-kadang tidak dapat didengari bacaannya. Alasannya sama seperti yang saya terangkan di nombor 2.
  5. Kaedah rawatan dengan sembelihan binatang seperti ayam, kambing dan sebagainya. Yang meragukan ialah benarkah perawat menyembelih binatang tersebut mengikut syarak? Apakah yang dilakukan dengan daging binatang tersebut? Jika untuk disedekahkan, mengapa tidak suruh pesakit beli sahaja daging dan terus disedekahkan sahaja? Anda kena tahu bahawa antara cara tukang sihir menyeru jin khadamnya ialah melalui sembelihan.

Lima kaedah di atas adalah yang paling popular dan paling banyak digunakan. Berhati-hati apabila ada perawat yang gunakan kaedah tersebut.

Ingat balik hadis yang saya bawakan di atas. Nabi kata siapa yang sayangkan agamanya, hendaklah dia takut dengan perkara-perkara syubhah.

Yang terbaik, dapatkan khidmat rawatan dari perawat yang merawat menggunakan kaedah yang jelas mengikut syarak. InshaaAllah, dengan izin Allah, penyakit anda akan sembuh.

Kesimpulan

Selepas anda membaca keseluruhan artikel ini, merawat sihir dengan menggunakan sihir adalah termasuk dalam An-Nusyrah yang diharamkan oleh Allah.

Manakala An-Nusyrah yang diharuskan ialah jampi yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan juga doa-doa dari hadis Nabi s.a.w.

Kaedah lain yang termasuk di dalam An-Nusyrah yang dibenarkan ialah menulis ayat-ayat Al-Quran pada sesuatu (ada yang praktikkan penggunaan pinggan putih), kemudian dilarutkan dengan air untuk diminum oleh pesakit.

Dan ada satu lagi kaedah yang tidak kurang keberkesanannya dan termasuk dalam An-Nusyrah yang diharuskan ialah kaedah sapuan wangian kasturi ruqyah pada 32 rongga.

Saya gunakan teknik ini pada pesakit saya dan dengan izin Allah memang ada kesannya. Dan ramai yang memberikan testimoni positif apabila mengamalkan teknik ini.

Tidak kisahlah apa pun caranya, semoga Allah selamatkan kita dari terjerumus dalam amalan-amalan yang mensyirikkan-Nya.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Sumber rujukan:

Follow saya di sosial media:
An-Nusyrah: Rawat Sihir Dengan Sihir?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!