Apakah Sihir Pendarahan & Bagaimana Teknik Rawatannya?

bagaimana merawat sihir pendarahan
Anggaran Masa Bacaan: 5 minit

Dikemaskini pada 20/03/2020 oleh Ustaz Abdullah

Di dalam Al-Quran, ada beberapa ayat daripadanya terdiri daripada ayat yang menceritakan kepada kita tentang sihir.

Saya tidaklah berniat nak tuliskan semua ayat-ayat tentang sihir di sini, cuma saya nak kongsikan satu ayat sahaja.

Di mana di dalam ayat tersebut, Allah menceritakan tentang perbuatan kufur Bani Israel yang mempelajari ilmu sihir.

Ayat yang saya maksudkan ialah di dalam surah Al-Baqarah ayat 102.

Kenapa saya minat sangat nak tulis tentang ayat ini?

Kerana di dalamnya ada satu bahagian yang menyentuh secara khusus sejenis sihir di mana sihir itu dilakukan khusus untuk menyebabkan perceraian diantara pasangan suami isteri.

Tahukah anda bahawa daripada sihir perceraian inilah wujudnya beberapa lagi jenis sihir.

Yang mana tujuannya sama, iaitu untuk menyebabkan seorang suami akan menceraikan isterinya. Antaranya ialah sihir pendarahan.

Jadi, dalam artikel ini, saya nak kongsikan lebih lanjut dengan anda tentang sihir pendarahan, dan bagaimana teknik merawatnya.

Apakah Sihir Pendarahan?

Sihir pendarahan adalah sejenis sihir yang dihantar kepada seorang wanita dengan beberapa tujuan.

  1. Untuk menghalang seorang isteri daripada dapat disetubuhi oleh suaminya.
  2. Untuk mengganggu kawasan rahim seorang wanita supaya wanita tersebut tidak dapat memberikan zuriat kepada suaminya.
  3. Untuk mengganggu emosi wanita tersebut akibat berlakunya pendarahan yang banyak. Apabila emosi wanita terganggu, maka secara tidak langsung akan mengganggu perhubungan diantara suami dan isteri.

Sebenarnya banyak lagi tujuan mengapa seorang wanita itu dihantar dengan sihir pendarahan.

Tiga keadaan yang saya sebutkan di atas keadaan yang biasa berlaku kepada mereka yang sudah bergelar isteri.

Tidak mustahil juga sihir pendarahan ini boleh ditujukan kepada seorang wanita bujang dengan tujuan-tujuan tertentu.

Apakah Tanda Wanita Yang Terkena Sihir Pendarahan?

Sebenarnya masalah pendarahan yang berlaku kepada wanita memang banyak terjadi.

Ada yang berlaku disebabkan oleh masalah kesihatan wanita itu sendiri. Sebagai contoh mungkin disebabkan oleh penyakit kanser, seperti kanser rahim.

Ataupun ada yang berlaku disebabkan berlakunya perubahan hormon, dan bermacam sebab lagi. Kesimpulannya, sebab-sebab yang saya nyatakan tadi adalah bukan berpunca daripada sihir.

Dan ada sesetengah masalah pendarahan tersebut berlaku berpunca daripada perbuatan sihir.

Oleh kerana itulah, apabila berlakunya pendarahan kepada anda, perlu dipastikan adakah ianya disebabkan sihir atau bukan.

Bagaimana caranya?

InshaaAllah saya akan terangkan juga dalam artikel ini. Teruskan bacaan anda.

Bagaimana Sihir Pendarahan Berlaku?

Bagaimana sihir pendarahan ini dilakukan kepada anda?

Jin yang dihantar untuk menyihir anda akan melakukan tindakan yang sangat jahat di mana ia akan masuk ke dalam tubuh badan anda melalui saluran darah sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis baginda, kemudian jin tersebut akan terus menuju ke rahim dan meloncat-loncat di situ sehinggalah pembuluh darah pecah dan mengakibatkan pendarahan.

Banyak kes-kes sihir pendarahan ini yang mengalami pendarahan yang kronik, keguguran berulang dan sakit yang berlebihan ketika haid sembuh dengan izin Allah selepas diruqyah. Ini kerana jin sihir yang menggangu mangsa akan keluar setelah diruqyah.

Perkara ini telah pun diterangkan oleh Rasulullah SAW apabila ditanya oleh Hamnah binti Jahsyin. Hadisnya adalah seperti berikut:

“”Aku pernah mengalami Istihadhah, darah yang keluar itu sangat banyak. lalu aku datang kepada Nabi SAW untuk meminta fatwa kepadanya. Maka Baginda bersabda : Sesungguhnya darah itu akibat hentakan dari syaitan. Jalanilah masa haidmu selama enam atau tujuh hari, kemudian mandilah. Jika kamu telah melihat bahwa dirimu telah suci dan bersih, maka solatlah pada dua puluh empat atau dua puluh tiga hari berikutnya ( pada masa suci ) serta puasalah. Cara seperti itu yang boleh kamu lakukan. Di samping itu, lakukan sebagaimana yang dilakukan oleh wanita-wanita yang menjalani masa haid setiap bulannya.” [HR. At – Tirmidzi dan beliau menshahihkannya]

Ciri-Ciri Sihir Pendarahan & Apakah Tandanya?

Sudah namanya pun sihir pendarahan, ianya banyak terjadi khususnya kepada golongan wanita.

Ciri-cirinya ialah anda akan sering mengalami pendarahan setelah berhentinya pengeluaran darah haid.

Kadang-kadang darah yang keluar tersebut akan berlanjutan selama berbulan-bulan. Dahsyatkan.

Bila dah berlaku begini, apa yang perlu anda lakukan?

Dan bagaimana nak mengenalpasti ianya adalah sihir pendarahan? Ikut saranan yang saya kongsikan di bawah.

Pertama sekali, apa yang perlu anda lakukan ialah pergi berjumpa dengan doktor terlebih dahulu. Tujuannya nak pastikan apakah anda ada masalah kesihatan atau tidak.

Ini pun penting juga.

Kalau ada kaitan dengan penyakit, boleh dirawat diperingkat awal. Kalau tidak ada sebarang kaitan dengan penyakit, anda buat pula langkah kedua di bawah.

Satu perkara yang perlu anda faham, apabila anda mengalami sihir, pasti akan adanya tanda-tanda pada diri anda.

Selain daripada anda mengalami pendarahan yang luar biasa, cuba anda perhatikan tanda-tanda di bawah samada ada atau tidak pada diri anda.

Tanda-tanda tersebut ialah:

  • Susah tidur malam tanpa sebab.
  • Sering terjaga di tengah malam secara tiba-tiba.
  • Selalu mimpi menakutkan.
  • Selalu mimpi melihat makhluk halus.
  • Selalu mimpi melihat binatang, khususnya ular (jika sihir)
  • Selalu mimpi jatuh dari tempat tinggi.
  • Selalu mimpi benda-benda kotor seperti najis, tandas dan sebagainya.
  • Selalu mimpi kawasan perkuburan.
  • Selalu mimpi bayi.
  • Selalu sakit kepala tanpa sebab.
  • Rasa lesu, malas dan tak bersemangat.
  • Rasa gelisah, takut, bimbang dan sebagainya.
  • Rasa sakit dibahagian belakang terutamanya disepanjang tulang belakang.
  • Cepat rasa nak marah.
  • Rasa berat yang luar biasa untuk menunaikan ibadah dan untuk berzikir serta membaca Al-Quran.

Sekiranya anda mengalami tanda-tanda di atas disamping pendarahan yang banyak, dari pengalaman saya kemungkinan besar anda dituju dengan sihir pendarahan.

2 Teknik Rawatan Sihir Pendarahan

Di bawah saya kongsikan dengan anda dua teknik rawatan yang boleh anda praktikkan secara konsisten.

InshaaAllah ianya dapat membantu dengan izin Allah.

Teknik 1:

Teknik pertama ini mudah dan ringkas untuk anda lakukan. Caranya ialah setiap hari, anda amalkan membaca beberapa ayat pada segelas air mineral dan minum.

Amalkan sehari tiga kali secara istiqamah. Ayat-ayat yang perlu anda jampikan pada air minuman ialah:

  1. Surah Al-Fatihah sekali.
  2. Surah Al-Baqarah ayat 102 tiga kali.
  3. Ayat kursi tiga kali.
  4. Dua ayat terakhir surah Al-Baqarah sekali.
  5. Surah Yunus ayat 81 dan 82 sekali.
  6. Surah Taha ayat 69 sekali.
  7. Surah Ar-Rahman ayat 33 hingga 36 sekali.
  8. Surah Al-Hasyr ayat 21 hingga 24 sekali.
  9. Surah Jin ayat 1 hingga 9 sekali.
  10. Surah Al-Ikhlas tiga kali.
  11. Surah Al-Falaq sekali.
  12. Surah An-Nas sekali.

Cara yang terbaik apabila anda menjampi pada air tersebut ialah, ketika membaca, dekatkan mulut anda pada air tersebut supaya bacaan terus masuk ke dalam air.

Yang kedua, selepas selesai semua bacaan di atas, anda ludah sedikit ke dalam air. Pastikan air ludah anda masuk sikit ke dalam air.

Bukan nak kotor pun, air ludah sendiri.

InshaaAllah, dengan izin Allah, jika benarlah anda disihir, kemungkinan anda akan muntah selepas minum air tersebut.

Amalkanlah secara istiqamah sehinggalah anda tidak lagi muntah apabila minum air tersebut.

Teknik 2:

Teknik kedua ini agak panjang sedikit.

  1. Lakukanlah Muqaddimah Ruqyah.
  2. Baca atau dengarlah bacaan ruqyah seperti biasa dengan melakukan tepukan dibahagian pinggang belakang dan mohonlah kepada Allah untuk menghancurkan jin-jin disekitar rahim.
  3. Ambil minyak habbatus sauda, madu dan minyak daun bidara, bacakanlah Surah al-Fatihah, Ayat Kursi, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, Surah an-Nas dan juga ayat pembatal sihir (Surah al-A’raf ayat 117 hingga 122, Surah Yunus ayat 81 dan 82, Surah Taha ayat 69), tiupkan dan kemudian minum.
  4. Amalkan memakai wangian kasturi terutamanya sebelum tidur malam setiap hari.

Anda boleh pilih untuk mulakan samada teknik yang pertama ataupun yang kedua.

Bergantung pada kemampuan dan masa anda. Yang penting diamalkan secara istiqamah.

Kesimpulan

Sihir adalah satu amalan syirik di mana pelakunya tidak akan diampunkan dosanya oleh Allah sekiranya mati dalam keadaan tidak bertaubat.

Oleh kerana sihir ada disebutkan di dalam Al-Quran dan hadis, maka sebagai orang beriman wajiblah kita percaya dengan kewujudannya.

Dan sebagai orang yang beriman juga, wajiblah kita sentiasa memohon perlindungan kepada Allah agar Dia pelihara dan selamatkan kita dari kejahatan tukang-tukang sihir.

Anda Dapat Sesuatu?

Anda rasa artikel ni ok ke?

Kalau ok, apalah salahnya kalau anda kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi.

Kalau anda berminat nak dapatkan tulisan-tulisan terbaru saya tentang ilmu-ilmu perubatan Islam, anda boleh mendaftar sebagai ahli newsletter blog ini. Klik di sini untuk mendaftar. Ia percuma.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Kecewa dengan masalah gangguan jin dan sihir yang belum sembuh? Walaupun anda dah habis beribu ringgit?

Mahukah saya tunjukkan kepada anda RAHSIA bagaimana untuk sembuh dengan cara yang mudah, praktikal & menjimatkan? Walaupun ketika anda sedang tidur. Klik di sini untuk mengetahui caranya!

Follow saya di sosial media:
Apakah Sihir Pendarahan & Bagaimana Teknik Rawatannya?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!