Syirik: Dosa Yang Tidak Diampunkan (Bah.1)

maksud syirik

Rasulullah SAW telah dibangkitkan dikalangan kaumnya yang merupakan golongan Arab musyrikin mekah. Mereka digelar dengan musyrikin kerana mereka adalah orang-orang yang menyembah berhala.

Jangan pula kita menyangka bahawa bangsa Arab ketika itu adalah bangsa yang tidak mengenal Allah. Pemahaman begitu adalah tidak benar sama sekali.

Bahkan mereka sangat mengenal Allah. Apakah dalilnya? Begitu banyak dalil di dalam Al-Quran, antaranya:

Dalil pertama, Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Yunus ayat 31 yang bermaksud:

Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? (Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: Allah jualah yang menguasai segala-galanya! Oleh itu, katakanlah: (Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?” (Surah Yunus ayat 31)

Dalil kedua, Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Az-Zukhruf ayat 87 yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah!. (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?” (Surah Az-Zukhruf ayat 87)

Dalil ketiga, Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Ankabut ayat 63 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik)” (Surah Al-Ankabut ayat 63)

Jelas dalam ayat-ayat di atas bahwasanya orang-orang musyrik itu mengenal Allah, mereka mengakui sifat-sifat rububiyyah-Nya iaitu Allah adalah pencipta, pemberi rezeki, yang menghidupkan dan mematikan, serta penguasa alam semesta.

Namun, pengakuan ini tidak mencukupi mereka untuk dikatakan muslim dan selamat. Kenapa? Karena mereka mengakui dan beriman pada sifat-sifat rububiyah Allah saja, namun mereka menyekutukan Allah dalam masalah ibadah.

Sebesar-Besar Dosa

Oleh kerana itulah Ahlus Sunnah wal Jamaah telah bersepakat bahawa perbuatan syirik adalah satu bentuk kemaksiatan yang paling besar kepada Allah Azza wa Jalla.

Ia juga merupakan sebesar-besar kezaliman, sebesar-besar dosa yang tidak diampunkan Allah. Oleh kerana itu, mengetahui tentang syirik dan pelbagai ragamnya adalah satu-satunya jalan untuk menjauhkan diri kita dari terjerumus ke dalamnya.

Apakah Syirik Itu?

Syirik ialah menyamakan selain Allah dengan Allah SWT dalam Rububiyah, Uluhiyah, Asma dan Sifat-Nya. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan, syirik itu ada dua bentuk.

Yang pertama ialah menyamakan sesuatu yang lain dengan Allah dari segi Rububiyah Allah Taala. Iaitu mempercayai dan meyakini bahawa ada suatu benda lain selain Allah yang mengatur alam semesta ini.

Sepertiman firman Allah di dalam Surah Saba ayat 22 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka” (Surah Saba ayat 22)

Yang kedua ialah melakukan syirik dari segi Uluhiyan Allah Taala iaitu mempercayai dan meyakini ada sesuatu yang lain selain Allah yang mampu memberikan manfaat dan mudharat, yang layak untuk disembah, untuk dipersembahkan ibadah, tempat untuk berdoa dan memohon pertolongan dari semua masalah kehidupan.

Umumnya, perbuatan syirik yang paling banyak dilakukan ialah dari segi Uluhiyah Allah di mana ianya merupakan pengkhususan bagi Allah.

Seperti berdoa kepada selain Allah disamping berdoa kepada Allah, mempersembahkan ibadah seperti berkorban, bernazar, berdoa mengadu masalah dan sebagainya.

Oleh kerana itulah, barangsiapa yang beribadah dan berdoa selain dari Allah, maka sesungguhnya ia telah melakukan ibadah bukan pada tempat dan haknya.

Sebab itulah orang yang melakukan syirik dikatakan telah melakukan sebesar-besar kezaliman.

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Lukman ayat 13 yang bermaksud:

sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar” (Surah Lukman ayat 13)

Telah diriwiyatkan oleh Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Mahukah aku beritahukan kepada kalian tentang dosa-dosa besar yang paling besar?” (Beliau mengulanginya tiga kali.) Mereka (para Sahabat) menjawab: “Tentu saja, wahai Rasulullah.” Beliau bersabda: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua orang tua.” Ketika itu beliau bersandar lalu beliau duduk tegak seraya bersabda:- “Dan ingatlah, (yang ketiga) perkataan dusta!” Perawi berkata: “Beliau terus meng-ulanginya hingga kami berharap beliau diam.” (HR. Al-Bukhari (no. 2654) dan Muslim (no. 88)

Syirik (menyekutukan Allah) dikatakan dosa besar yang paling besar dan kezaliman yang paling besar, kerana ia menyamakan makhluk dan Khaliq (Pencipta) pada hal-hal yang khusus bagi Allah Ta’ala. Barangsiapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, maka ia telah menyamakannya dengan Allah dan ini sebesar-besar kezaliman. Zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Contoh-contoh perbuatan syirik, di antaranya adalah orang yang memohon (berdoa) kepada orang yang sudah mati, samada orang itu adalah Nabi, wali, ataupun yang lainnya. Perbuatan ini adalah syirik.

Berdoa (memohon) kepada selain Allah, seperti berdoa meminta suatu hajat, isti’anah (minta tolong), istighatsah (minta tolong di saat sulit) kepada orang mati, baik itu kepada Nabi, wali, habib, kyai, jin mahupun kuburan yang dianggap keramat, atau meminta rezeki, meminta kesembuhan penyakit dari mereka, atau kepada pohon dan lainnya selain Allah adalah syirik akbar (syirik besar).

Syeikh Muhammad bin ‘Abdil Wahhab rahimahullah berkata: “Barangsiapa yang memalingkan satu macam ibadah kepada selain Allah, maka ia musyrik kafir.”

Allah SWT telah berfirman:

Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya” (Surah Al-Mukminun ayat 117)

Ancaman Kepada Musyrikin

Pertama, Allah tidak akan mengampunkan dosa mereka yang mensyirikkan Allah sekiranya mereka mati dalam keadaan tersebut dan tidak bertaubat kepada Allah. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah An-Nisa ayat 48 yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar” (Surah An-Nisa ayat 48)

Kedua, orang yang mensyirikkan Allah diharamkan syurga kepadanya. Allah SWT telah berfirman:

Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam. Padahal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga dan tempat kembalinya ialah Neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah Al-Maidah ayat 72)

Ketiga, syirik menghapuskan segala amalan-amalan terdahulu. Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al-An’am ayat 88 yang bermaksud:

Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Dia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik)” (Surah Al-An’am ayat 88)

Dalam ayat di atas menerangkan bahawa barangsiapa yang mati dalam keadaan musyrik, maka segala amal kebaikan yang pernah dilakukannya dahulu dihapuskan oleh Allah. Maka neraka jahannam lah tempat kembalinya.

Keempat, orang-orang musyrik itu halal darah dan hartanya. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 5 yang bermaksud:

Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya dan tawanlah mereka, dan juga kepunglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah At-Taubah ayat 5)

Selain dari ayat di atas, Rasulullah SAW juga telah menegaskan di dalam hadis Baginda yang bermaksud:

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sampai mereka bersaksi bahwa tidak ada ilah (sesembahan) yang diibadahi dengan benar melainkan Allah dan bahwasanya Muhammad adalah utusan Allah, menegakkan solat, dan membayar zakat. Jika mereka telah melakukan hal tersebut, maka darah dan harta mereka aku lindungi kecuali dengan hak Islam, dan hisab mereka ada pada Allah Azza wa Jalla” (HR. Al-Bukhari (no. 25) dan Muslim (no. 22), dari Sahabat Ibnu ‘Umar.

Semoga Allah menyelamatkan diri kita dan ahli keluarga kita dari termasuk dalam golongan mereka yang melakukan syirik. Kerana syirik merupakan sebesar-besar kezaliman yang dilakukan.

InshaaAllah artikel ini akan bersambung dalam bahagian kedua.

Sumber Rujukan:

  1. Syirik dan Macam-Macamnya
  2. Kafir Quraisy Juga Mengenal Allah

Anda Dapat Sesuatu?

Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Ada pertanyaan?