apakah langkah jika anda mengalami mimpi buruk?

6 Langkah Yang Ditunjukkan Nabi Jika Mimpi Buruk

Dikemaskini pada 15/04/2020 oleh Ustaz Abdullah

Berdasarkan pengalaman saya, diantara tanda yang paling biasa sekali jika anda diganggu oleh makhluk halus, ialah selalu mengalami mimpi buruk.

Boleh jadi dalam mimpi tersebut anda mengalami mimpi yang menakutkan, mimpi yang menyedihkan ataupun yang tidak disukai, ini semua termasuk dalam mimpi buruk. Selain daripada segera mendapatkan rawatan dari mana-mana perawat Islam yang menggunakan kaedah rawatan yang betul, Rasulullah sendiri telah mengingatkan pada kita bahawa mimpi buruk ini berasal dari syaitan.

Oleh kerana itu Rasulullah telah menunjukkan kepada kita enam langkah yang patut dilakukan sekiranya mengalami mimpi buruk. InshaaAllah dalam artikel kali ini, saya akan kongsikannya dengan anda. 

Ta’awudz

Apabila anda terbangun dari tidur setelah mengalami mimpi buruk, cara pertama yang diajarkan oleh Rasulullah ialah memohon perlindungan kepada Allah dengan cara membaca ta’awudz, iaitu  a’udzu billahi minasy syaithanir rajiim (aku berlindung kepada Allah dari godaan syetan yang terkutuk).

“Mimpi buruk berasal dari syaitan, maka jika salaj seorang dari kamu bermimpi buruk, hendaklah meminta perlindungan kepada Allah kerananya” (HR Al-Bukhari)

Dan disunatkan membaca ta’awudz ini sebanyak tiga kali sebagaimana yang telah diterangkan oleh Baginda Rasul dalam hadisnya yang lain.

Meludah Ke Kiri Tiga Kali

Setelah anda meminta perlindungan kepada Allah dengan mengucapkan ta’awudz, apa yang patut anda lakukan selepas itu ialah meludah ke kiri sebanyak tiga kali.

“Apabila salah seorang dari kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disenanginya, maka hendaklah ia meludah ke kiri tiga kali, berlindunglah kepada Allah dari gangguan syaitan tiga kali…” (HR Muslim)

Jika dilihat dari hadis ini, yang dilakukan dulu ialah berludah tiga kali dan kemudian barulah membaca ta’awudz.

Solat

Langkah yang ketiga pula ialah mendirikan solat. Jika membaca ta’awudz itu bermaksud memohon perlindungan Allah secara ucapan, maka solat pula menunjukkan kita bersungguh-sungguh memohon perlindungan kepada Allah.

Ini kerana kita memohonnya secara percakapan dan juga perbuatan. Selain itu, apabila seseorang itu hendak mendirikan solat, maka dia perlu berwuduk terlebih dahulu, dan wuduk itu sendiri dapat menjaga seseorang dari gangguan syaitan.

“Kerana itu, jika kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu senangi, bangunlah, dan kemudian solatlah…” (HR Muslim)

Mengubah Posisi Tidur

Selepas selesai menunaikan solat, jika anda ingin menyambung semula tidur, Rasulullah mengajarkan supaya anda mengubah posisi tidur.

“Apabila salah seorang dari kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disenanginya, maka hendaklah ia meludah ke kiri tiga kali, berlindunglah kepada Allah dari gangguan syaitan tiga kali, dan mengubah tidurnya dari posisi semula” (HR Muslim)

Tidak Menceritakan Mimpi

Apabila anda mengalami mimpi buruk, Rasulullah mengajarkan agar jangan diceritakan kepada sesiapa pun tentang mimpi yang anda alami tersebut.

“Siapa yang bermimpi yang tidak disukainya, hendaklah meminta perlindungan kepada Allah dari kejahatannya dan kejahatan syaitan, dan hendaklah meludah tiga kali dan jangan menceritakannya kepada seorang pun, nescaya mimpi itu tidak membahayakannya” (HR Al-Bukhari)

Tidak Menafsirkan Mimpi Dengan Tafsiran Negatif

Kita selalu suka berprasangka tentang mimpi buruk yang kita alami. Tetapi Rasulullah sendiri mengingatkan kepada kita bahawa mimpi buruk yang kita alami tidak akan membahayakan kita kecuali jika kita mentafsirkannya dengan tafsiran yang negatif.

Oleh kerana itu, sekiranya perlu juga untuk ditafsirkan mimpi itu, tafsirkanlah dengan tafsiran yang baik dan positif sahaja.

“Mimpi itu berada dikaki burung (mengambang) selama mana mimpi itu tidak ditafsirkan. Jika ditafsirkan, boleh jadi ia akan menjadi benar” (HR Ibnu Majah: Sahih)

Kesimpulan

Kalau anda baca kesemua langkah-langkah yang saya kongsikan di atas, tidak ada pun Nabi suruh anda cari sesiapa yang boleh takwil maksud mimpi.

Jadi, saya harap selepas ini kalau anda ada alami mimpi-mimpi buruk lagi, yang terbaik ialah lakukan saranan Nabi di atas.

Anda Dapat Sesuatu?

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan dan juga orang yang anda sayangi. Anda juga boleh melanggan artikel terbaru saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan.

Anda aktif menggunakan aplikasi telegram? Saya juga ada kongsikan ilmu-ilmu mahal tentang perubatan Islam melalui telegram. Berminat? Join channel telegram saya di sini.

Tahukah anda 60% pesakit sihir akan mengalami masalah sihir berulang. Nak tahu sebabnya? Klik di sini sekarang.

Follow saya melalui sosial media:

2 thoughts on “6 Langkah Yang Ditunjukkan Nabi Jika Mimpi Buruk

Ada pandangan tentang artikel di atas? Kongsikan pandangan anda dengan pembaca lain.

Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!
%d bloggers like this: