Anda tengah was-was ke samada dalam badan ada sihir atau tak? Tidak lagi bila anda dapatkan 2 video percuma ni. Klik di sini.

Rawat Sihir Dengan Ruqyah Mandiri?Ini Caranya.

Dikemaskini pada 20/07/2023 oleh Ustaz Abdullah

Sepanjang saya terlibat dalam bidang perubatan Islam, masalah utama yang dihadapi oleh pesakit sihir ialah sihir berulang.

Apa maksud sihir berulang?

Maksudnya rawatan sihir yang dibuat hanya bertahan sekejap sahaja, dan selepas sebulan dua, sihir akan dihantar balik.

Sampai ramai yang mengadu pada saya bahawa mereka ni dah putus asa nak berubat.

Nak kata berubat cara tak ikut Islam, tak juga. Semua berubat dengan kaedah perubatan ruqyah syar’iyyah.

Sampai pesakit saya pelik.

Kenapa jadi macam tu?

Di mana masalah sebenarnya?

Jadi, dalam perkongsian artikel kali ini, inshaaAllah saya akan cuba menjawab permasalahan tersebut.

Isi kandungan artikel

Kesilapan Pesakit Yang Tidak Disedari

Berdasarkan pemerhatian saya, ada dua kesilapan yang dilakukan oleh pesakit.

  • Tidak melakukan ruqyah mandiri.
  • Silap faham tentang ruqyah mandiri.

Mari saya terangkan dengan lebih mendalam.

Tidak melakukan ruqyah mandiri. Mereka yang melakukan kesilapan ini adalah yang beranggapan bahawa untuk rawat sihir ini adalah tugas perawat 100%.

Pesakit tak terlibat.

Memang betul, untuk rawat sihir dalam badan pesakit adalah tugas perawat, tetapi tugas untuk menghalang sihir daripada masuk balik dalam badan adalah tugas pesakit.

Tugas untuk halang sihir masuk balik inilah dipanggil sebagai ruqyah mandiri.

Iaitu usaha yang dilakukan oleh pesakit sendiri untuk menghalang sihir masuk balik ke dalam badan.

Silap faham tentang ruqyah mandiri. Kategori ini pulak, mereka ni faham dan tahu apa yang dikatakan sebagai ruqyah mandiri.

Tapi ada beberapa perkara yang mereka keliru dalam konsep melakukan ruqyah mandiri.

Yang pertama, mereka ingat ruqyah mandiri ni hanyalah amalan berbentuk zikir sahaja.

Yang kedua, mereka ingat ruqyah mandiri ni tujuannya untuk nak rawat sihir.

Yang ketiga, mereka ingat ruqyah mandiri hanya dilakukan dalam tempoh-tempoh tertentu sahaja.

Jadi inilah dua kesilapan paling utama sekali yang dilakukan oleh pesakit-pesakit sihir.

Memahami Ruqyah Mandiri, Tujuan & Konsep Perlaksanaanya

Seperti yang saya terangkan di atas tadi, ruqyah mandiri adalah usaha yang dilakukan oleh pesakit sendiri untuk merawat sihir yang ada di dalam badannya.

Ini secara asasnya tentang maksud ruqyah mandiri.

Mari kita pergi dengan lebih mendalam.

Apakah tujuan ruqyah mandiri sebenarnya?

Ramai sangka ruqyah mandiri adalah kaedah rawatan untuk buang sihir semata-mata. Tak lebih dari itu.

Sebab itu kalau diizinkan Allah, pesakit sembuh sihir tersebut, pesakit akan tinggalkan ruqyah mandiri.

Sebab apa?

Sebab pesakit dah silap faham tujuan sebenar ruqyah mandiri.

Tujuan atau matlamat sebenar ruqyah mandiri ialah mendekatkan diri kepada Allah. Ini yang betul.

Sembuh itu akan datang dengan sendirinya apabila anda sudah mendekatkan diri kepada Allah.

Dalilnya anda boleh lihat di dalam Surah Al-Anbiya ayat 83 yang bermaksud:

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”

Ayat ni tentang kisah Nabi Ayub.

Ayat di atas menggambarkan dua perkara tentang Nabi Ayub.

  1. Betapa dekatnya Nabi Ayub dengan Allah.
  2. Ketinggian akidah Nabi Ayub.

Bukti dekatnya Nabi Ayub dengan Allah ialah apabila Baginda diuji dengan ujian kesakitan, Allah lah tempat Baginda merayu dan berdoa.

Manakala ketinggian akidah Nabi Ayub dapat dilihat pada yakinnya Baginda bahawa segala ujian kesakitan yang berlaku ke atas dirinya adalah takdir dan ujian Allah.

Oleh itu, Baginda menerima takdir Allah itu dengan penuh kesabaran.

Baginda berdoa dan berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana yakin Allah Yang Maha Mengasihani pasti akan menyembuhkan Baginda.

Hasilnya?

Allah sembuhkan Nabi Ayub dengan cara yang begitu mudah. Allah berfirman di dalam Surah Sad ayat 42 yang bermaksud:

“(Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu (setelah dia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin)”

Jadi, inilah matlamat dan tujuan sebenar ruqyah mandiri.

Jadi, apabila anda dah faham tujuan dan matlamat sebenar ruqyah mandiri, barulah anda dapat melakukannya dengan konsep perlaksanaan yang betul.

Konsep perlaksanaan ruqyah mandiri adalah gabungan dari 5 perkara di bawah:

  1. Tazkiyah nafs (penyucian jiwa)
  2. Mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah wajib dan sunat berpandukan kepada petunjuk Rasulullah.
  3. Pengamalan kaedah pendinding diri secara istiqamah dan berpandukan petunjuk Rasulullah.
  4. Amalan pemakanan sunnah.
  5. Jihad melakukan perubahan diri dalam kehidupan seharian.

Apabila anda melakukan konsep di atas, inshaaAllah anda akan mendapat seperti yang disebutkan oleh Allah dalam Surah Al-Anbiya ayat 84 di bawah:

“Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: Keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik)”

5 Teknik Rawatan Sihir Menggunakan Kaedah Ruqyah Mandiri

Alhamdulillah sekiranya anda membaca hingga ke perenggan ini.

Kerana, saya berharap dengan penjelasan yang saya berikan, anda dah nampak dan sedar di mana sebenarnya kesilapan anda yang mungkin menjadi penghalang antara anda dan juga kesembuhan.

Dan sekarang, anda juga sudah faham:

  1. Apa sebenarnya ruqyah mandiri?
  2. Apa tujuan dan matlamatnya?
  3. Bagaimana konsep perlaksanaannya?

Jadi, inshaaAllah sekarang anda dah bersedia untuk mengamalkan 5 teknik yang akan saya kongsikan ini.

1. Solat 5 Waktu

Mungkin anda akan berkata begini di dalam hati,

“Alah, ini aku pun tahu”

Memang betul semua orang tahu, tapi berapa ramai pula yang buat?

Jangan terkejut kalau saya katakan ada pesakit yang punyalah konsisten buat rawatan untuk buang sihir, tapi sayang solat out.

Yang tak buat langsung pun ada, yang buat tak cukup 5 waktu pun ada.

Sedangkan solat ni adalah hubungan terus antara seorang hamba dengan Penciptanya.

Dan segala yang anda lakukan tidak ada keberkatan apabila anda mengabaikan solat. Jadi, kalau solat anda masih bermasalah, perbetulkan ini dulu.

Dan satu lagi, apa yang saya nak tekankan ialah bukan sekadar solat, tapi saya nak anda upgrade solat.

Macam mana?

Ada 2 cara, iaitu:

  1. Solat diawal waktu.
  2. Solat secara berjemaah.

Nasihat saya, perhatikan ibadah solat anda, perbaiki lagi supaya solat anda menjadi sebaik mungkin.

2. Amalkan Ayat Kursi

Kalau sebut ayat kursi, inshaaAllah saya yakin semua orang tahu membacanya.

Betulkan.

Tapi disudut amalan, saya tak pasti samada anda istiqamah melakukannya atau tidak.

Ayat kursi ni sangat besar fadhilatnya jika ianya diamalkan.

Barangsiapa membaca kalimat ini ketika pagi hari, maka ia terjaga dari (gangguan jin) hingga waktu petang. Dan barangsiapa mengucapkan pada waktu siang, maka dia terjaga dari (gangguan) jin hingga pagi hari. – Hadis riwayat al-Hakim, 1/562

Jadi, apa lagi yang menghalang anda untuk mula mengamalkan ayat kursi dengan istiqamah.

3. Berwuduk Sebelum Tidur

Dari Abdullah bin Umar ra, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka Malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak bangun sehingga Malaikat akan berdoa untuknya, “Ya Allah, ampunilah sifulan hambamu ini kerana tidur dalam keadaan suci”. (HR. Ibn Hibban 3/329. Syuaib Al-Arnauth mengatakan, perawi hadis ini termasuk perawi kitab shahih. Hadis ini juga dinilai shahih oleh Al-Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)

Anda taknak ke didoakan oleh Malaikat? Makhluk yang mulia disisi Allah mendoakan kebaikan dan keselamatan kepada anda.

Jika nak, apa lagi alasan untuk anda tidak berwuduk sebelum tidur?

4. Amalkan Zikir Pagi Dan Petang

Zikir apa yang nak dibaca pada waktu pagi dan petang ni?

Mudah sahaja. Saya cadangkan anda pergi ke mana-mana kedai buku agama, dan cari buku Al-Ma’thurat.

Al-Ma’thurat adalah buku yang menghimpunkan segala zikir dan doa harian berdasarkan kepada dalil-dalil yang sahih dan amalan Rasulullah s.a.w.

Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang kelebihan apabila anda mengamalkan zikir dan petang ni, antaranya:

Dan bertasbihlah kepada-Nya diwaktu pagi dan petang, Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikat-Nya (memohonkan ampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman” (QS. Al-Ahzab: 42-43).

“(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang” (QS Ghafir: 55)

Jadi, jangan tinggalkan zikir pagi dan petang ni. Anda tak perlu fikir tentang sihir yang anda alami.

Apa yang perlu anda lakukan ialah amalkan sahaja zikir-zikir ini, dan berdoa kepada Allah supaya Dia menyembuhkan dan melindungi anda dari kejahatan tukang-tukang sihir.

InshaaAllah Allah pasti tidak akan mensia-siakan permohonan doa anda.

5) Membaca Al-Mu’awwizatain Sebelum Tidur

Satu lagi amalan Rasulullah s.a.w yang sepatutnya menjadi ikutan kita. Mudah dan ringkas, tetapi fadhilatnya besar.

Sebelum tu, apakah yang dimaksudkan dengan Al-Mu’awwizatain?

Al-Mu’awwizatain bermaksud dua surah yang mempunyai permohonan perlindungan iaitu Surah Al-Falaq dan Surah A-Nas.

Ibnu Hajar Al-Asqolani menyebutkan bahawa, “Yang dimaksudkan dengan Al-Mu’awwizat ialah Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas” (Fathul Bari 9/62)

Jadi, anda dah faham bahawa yang dimaksudkan dengan Al-Mu’awwizatain ni adalah gabungan 3 surah iaitu Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas.

Sekarang anda lihat pula hadis yang menerangkan tentang fadhilat ketiga-tiga surah ini.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Telah diturunkan kepadaku ayat-ayat yang tidak sepertinya iaitu “Al-Mu’awwizataini” (Surah Al-Falaq dan An-Nas)”. (HR Muslim no. 814, At Tirmidzi no. 2827, An Naasa’i no. 944)

“Setelah turunnya dua surah ini, Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam mencukupkan kedua-duanya dengan ‘Surah Al-Ikhlas’, sebagai bacaan (wirid) untuk membentengi dari pandangan buruk jin maupun manusia.” (HR. At Tirmidzi).

Bagaimana amalan Nabi s.a.w sebelum tidur melalui Al-Mu’awwizatain ni?

Dari ‘Aisyah bahawa apabila Rasulullah SAW mendatangi tempat pembaringannya, baginda meniup di kedua tangannya dengan membaca surah mu’awwizatain lalu mengusapkan ke badannya dengan kedua telapak tangannya. (HR Ibnu Majah No: 3865)

Kesimpulan

Alhamdulillah, anda telah berjaya membaca hingga ke perenggan ini. Dan apa yang saya harapkan dari perkongsian artikel ni adalah:

  • Anda telah jelas apakah ruqyah mandiri.
  • Anda telah faham apakah tujuan dan bagaimana konsep perlaksaannya.

Apa yang perlu anda lakukan selepas ini?

Sudah tentulah mengamalkan semua yang saya kongsikan di dalam artikel ini. Ingatlah bahawa walau sehebat mana pun teknik atau kaedah yang anda belajar, tetapi jika tidak diamalkan, ianya tidak bermanfaat sama sekali.

Jika anda ada sebarang persoalan berkaitan dengan artikel ini, sila tuliskan diruangan komen.

P/S: Mampukah anda merawat sihir di dalam badan anda walaupun hanya berjumpa perawat sebulan sekali? Klik di sini untuk ketahui caranya!

Follow saya di sosial media:
Rawat Sihir Dengan Ruqyah Mandiri?Ini Caranya.
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!