Bagaimana Nak Mengenali Bomoh?


Dalam artikel saya yang lalu, saya dah pun kongsikan mengapa masih ramai orang suka berjumpa dengan bomoh. Percaya dengan bomoh. Jika anda baru menjumpai blog ini, boleh baca artikel tersebut di sini. Dalam artikel kali ini, saya nak kongsikan pula bagaimana kita nak kenal bomoh. Pentingkah nak kenal bomoh ni? Jawapannya ya, sangat penting supaya kita tak terjebak dengan tipu daya bomoh. Ingat, bila kita dah mula berubat dengan bomoh, susah kita nak lepaskan diri.

Satu perkara yang tidak ada beza diantara bomoh sekarang dan bomoh di zaman Nabi dulu ialah, mereka ini mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu mahupun yang akan datang. Bagaimana mereka berani untuk mendakwa yang sedemikian? Ini kerana kebiasaannya bomoh ini akan mengadakan hubungan dengan jin. Maksudnya jin itulah yang menceritakan kepada bomoh apa-apa yang ditanyakan oleh masyarakat kepada sibomoh tadi.

Oleh kerana itulah Rasulullah telah mengishtiharkan perang kepada mana-mana individu yang membuat dakwaan dan kenyataan dusta kononnya mempunyai kelebihan untuk mengetahui perkara ghaib. Termasuk juga dalam mendakwa mengetahui perkara ghaib apabila boleh memberitahu di mana letaknya barang yang hilang, siapa yang kononnya menghantar sihir kepada seseorang. Kadang-kadang golongan ustaz dan ustazah pun suka mengeluarkan kenyataan begini. Ini seperti apa yang diceritakan oleh pesakit-pesakit saya.

Saya pernah membantah kenyataan dari pesakit saya yang dia pernah berubat dengan seorang ustaz dan kononnya ustaz ni diberi kelebihan dibuka hijab dan dapat melihat perkara ghaib. Saya tegaskan, jika benar seseorang itu diberikan kelebihan oleh Allah, kelebihan itu sepatutnya tidak boleh bercanggah dengan syarak, iaitu apa yang dikehendaki oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Bagaimana Allah akan memberikan kelebihan kepada seseorang untuk mengetahui perkara ghaib, sedangkan Allah sendiri telah menegaskan di dalam al-Quran yang tidak ada satu makhluk pun yang diberikan pengetahuan tentang perkara ghaib, baik yang dilangit atau di bumi. Allah s.w.t telah berfiman:

“Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta.” (Surah an-Naml: ayat 65)

Bahkan Rasulullah sendiri, seorang yang paling dekat dengan Allah dan tinggi darjatnya (sebaik-baik makhluk), pun diarahkan oleh Allah agar menegaskan kepada manusia bahawa Baginda juga tidak mengetahui perkara ghaib, melainkan apa yang diwahyukan oleh Allah sahaja, inikan kita hanya umat Nabi, dah tentu tidak termasuklah bomoh. Penegasan ini telah dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Katakanlah: Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-‘Araf ayat 188)

Jadi di manakah benarnya kenyataan mereka (bomoh) yang mendakwa kononnya mereka diberikan kelebihan oleh Allah, dibuka hijabnya sehingga boleh mengetahui perkara ghaib. Ini mengarut dan dusta semata-mata. Adakah mereka juga nak mendakwa mereka ini lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya dari Baginda Rasulullah s.a.w?

Ancaman Mereka Yang Berjumpa Bomoh

Tidak dinafikan, masyarakat Melayu kita khususnya, begitu taksub dan yakin dengan dakwaan sesetengah individu yang serba hebat yang boleh tahu persoalan ghaib ini. Ada pulak yang mudah termakan dan percaya dengan gelaran ustaz dan ustazah. Jika dibacakan kepada mereka dalil di atas sekalipun, mereka tetap akan mengatakan, “Takkanlah ustaz tu nak tipu kot?”.

Gelaran tidak memberikan sebarang makna pun. Kalau pak syeikh dari Arab sekalipun, kalau kenyataannya bertentangan dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah, ia tetap ditolak juga. Saya tidak menafikan, ada bomoh-bomoh zaman sekarang yang dah bijak. Mereka akan menyamar sebagai ustaz atau ustazah untuk mengaburi mata masyarakat. Bergantung kepada kitalah untuk membezakannya.

Tetapi saya juga tidak menafikan ada sesetengah golongan ustaz mahupun ustazah yang nak kelihatan hebat di mata manusia. Mereka nak masyarakat anggap mereka ini orang yang dekat dengan Allah sehingga mereka boleh mengetahui persoalan ghaib. Ditambah pula mereka ini kononnya menggunakan kaedah yang berwajah ‘Islamik’ seperti melakukan solat hajat untuk meramal masa depan atau untuk mengetahui di mana barang yang hilang.

Masyarakat akan menganggap takkan tipu kot, sebab dia buat solat hajat. Nampak tak hebat dan liciknya permainan golongan ni? Tetapi hakikatnya, ia tetap bertentangan dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah. Sebab tu, di tempat saya merawat, saya sekali tidak mengamalkan kaedah rawatan jarak jauh seperti solat hajat, kemudian boleh memberitahu hal-hal yang tidak diketahui.

Saya juga tidak mengamalkan kaedah rawatan menggunakan nama, gambar, nombor kad pengenalan, kad kredit, nombor telefon dan sebagainya, yang kedengarannya merepek dan melucukan. Macam cerita Nujum Pak Belalang. Banyak lagi sebenarnya teknik yang digunakan oleh golongan bomoh terpelajar dan ‘ustaz ustazah’ ni.

Bagi yang suka sangat berjumpa dengan golongan yang saya sebutkan di atas, ini ancaman yang diberikan Rasulullah:

“Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membenarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari”. ( Riwayat Muslim )

Rasulullah s.a.w menegaskan lagi dalam sabdanya yang lain:

“Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w”.( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117)

Tanda-Tanda Bomoh

Oleh kerana kebanyakan bomoh ni menggunakan jin untuk menjalankan kerjanya, biasanya jin tersebut meletakkan syarat sebagai pertukaran ketaatan yang diberikan oleh jin kepada si bomoh tadi. Jadi, syarat-syarat yang perlu dipatuhi inilah yang akan menjadi tanda yang dia itu seorang bomoh.

Apabila anda berjumpa dengan seorang yang mendakwa boleh merawat masalah gangguan jin, dan anda perasan mereka melakukan perkara-perkara di bawah, berhati-hatilah. Tanda-tanda yang patut anda perhatikan ialah:

1) Soalan si bomoh kepada pesakit tentang nama pesakit dan nama ibunya.

2) Permintaan si bomoh agar diberikan kepadanya apa-apa kesan milik si pesakit seperti sikat, baju, rambut dan sebagainya.

3) Meminta daripada pesakit agar dibawakan haiwan tertentu dengan sifat-sifat tertentu untuk dibuat korban kononnya, dengan menyebut nama-nama tertentu bukan dengan nama Allah. Boleh jadi kemudian darah binatang itu diletakkan pada bahagian yang sakit.

4) Si bomoh menulis gambarajah atau rumus-rumus tertentu yang tidak difahami yang mengandungi angka dan huruf-huruf tidak bersambung atau nama-nama bintang pada kain atau kertas.

5) Dalam tempoh bacaan jampi, dia mengangkat suaranya apabila membaca ayat al-Quran dan kemudian membaca berkumat kamit sesuatu yang tidak jelas dan tidak dapat difahami maksudnya.

6) Si bomoh memberi sesuatu sebagai tangkal yang dipakaikan kepada si pesakit. Ianya mengandungi rumus-rumus dan gambarajah empat segi, tiga segi dan sebagainya dengan nombor-nombor dan huruf-huruf tidak bersambung. Diletakkan pula syarat pada pemakaiannya.

7) Si bomoh memerintahkan pesakit agar menghindari manusia dalam tempoh-tempoh tertentu. Tidak bergaul dengan mereka serta menyorok dalam satu bilik yang gelap, dan tidak dibenarkan melihat matahari.

8 ) Terkadang si bomoh meminta supaya pesakit tidak menyentuh air selama tempoh tertentu. Kebiasaannya selama 40 hari. Kadangkala bomoh menyuruh supaya pesakit meletakkan lambang salib di tengkuknya. Ini menunjukkan bahawa jin yang membantunya beragama kristian.

9) Si bomoh memberikan sesuatu kepada pesakit untuk ditanam di bumi.

10) Si bomoh memberikan kepada pesakitnya kertas yang bertulis dengan sesuatu untuk dibakar dan diperasapkannya kepada pesakit.

11) Si bomoh bercakap dengan seseorang yang berada didalam majlis, tetapi tidak dapat dilihat. Si bomoh meminta izin dan pertolongan “orang itu” untuk mengubati pesakit. Si bomoh juga memberi keyakinan kepada jin (orang itu) bahawa pesakit tidak datang kepadanya kecuali dia telah yakin dan menyukainya.

12) Kadang-kadang si bomoh menulis sesuatu rumus atau gambarajah tertentu disertakan huruf-huruf yang tidak bersambung dan nombor-nombor tertentu yang kemudiannya direndamkan di dalam air, lalu diberi kepada pesakit sebagai minuman.

13) Si bomoh tidak menerima pesakit pada bulan Ramadhan khususnya pada 21 Ramadhan hingga akhir Ramadhan. Demikian juga bomoh tidak menerima pesakit pada 10 awal bulan Zulhijjah.

14) Sesiapa yang sentiasa membaca zikir pagi dan petang atau yang dikenali sebagai ma’thurat, maka si bomoh tidak akan menerimanya sebagai tetamu atau tidak selesa dengan kehadirannya.

15) Meletakkan sebekas air yang biasanya dicampurkan dengan najis seperti air kencing, supaya jin mampu dilihat oleh si bomoh dan muncul kepada tukang sihir tersebut.

16) Kebiasaanya si bomoh menggunakan asap kemenyan dalam perubatannya. Asap kemenyan yang busuk itu bagi menyeru jin untuk membantunya. Ini berbeza dengan “bukhur” (asap kayu gaharu yang berbau wangi), ianya sangat tidak disukai oleh jin-jin.

17) Yang paling jelas lagi ialah si bomoh merupakan orang yang tidak menunaikan solat. Tidak istiqmah dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan agama yang fardhu, apatah lagi yang sunat.

Terkadang, Allah mengurniakan sedikit firasat (tekaan tepat) kepada orang-orang yang soleh dan alim ulama sehingga mereka mengetahuinya sekalipun dengan hanya melihat wajah tukang sihir. Ini kerana, tukang sihir atau bomoh itu telah dicabut cahaya keimanan daripada wajahnya dengan sebab kesyirikan-kesyirikan yang dilakukannya. Semoga Allah melindungi kita dan ahli keluarga kita semua daripada kejahatan-kejahatan tukang sihir dan syaitan yang direjam. Wallahualam.

(Artikel ini telah ditulis oleh Ustaz Abdullah bin Idris. Jika berminat dengan artikel di atas, anda boleh mengikuti penulisan artikel terbaru beliau melalui facebook, google+ ataupun melalui emel. Jika anda belum mendaftar sebagai Ahli Newsletter, daftar sekarang dan dapatkan 4 kelebihan Premium berbanding pembaca biasa)

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

8 thoughts on “Bagaimana Nak Mengenali Bomoh?

  1. Pencari Kebenaran

    Assalamualaikum ustaz, tempoh hari sy dan kawan2 ada berjumpa dgn seorang ustaz ni utk merawat kawan kami yg mengalamai masalah period yg x henti henti,, ustaz ni dia minta kami utk bawa air sahaja,,,sy pd Awalnya meragui dia ni betul ke ustaz? Sbb anak bini semuanya x pakai tudung,,, utk pengetahuan ustaz, “ustaz ni” merupakan guru silat batin ,,, Katanya dia tahu 99 jenis silat,,huhu,,,ok ustaz nk dijadikan cerita,,, ustaz tu dia buat 2 rawatn dkt kawan sy ni,,, rawatan pertama : rawatan fizikal (x silap saya),, rawatan kedua: rawatan fisiologi,, utk rawatan pertama,, dia minta kwn saya utk baring dan dia selimutkan kawan sy ni menggunakan kain kapan,,dia tutup seluruh badan kwn saya ni ,,tinggal muka je,,then dia mula la sesi rawatan dia,,,tp sy tak dgr pulak perkataan 2 pelek dr mulut dia,,kami just dgr dia guna ayat 2 al quran je,,,ustaz tu kata yg kwn sy ni dh lama kena santauu dgn org sbb tu period tak berhenti,,,dia kata yg kwn sy ni ada katak dlm perut , ada baby,, tp mmg dia suruh kami rasa kat perut kwn sy tu,,,lembik ! Tp sy tak tahu nk percaya ke tak,,lepastu dia keluarkan la segala benda yg ada dlm tubuh kwn sy tu,,dia kata ada banyak,,,,dia kata kaalu nk tgk lepasni tgkap gambar dkt botol yg dia campak “makhluk” tu,,,sungguh mmg jelas terpapar dkt phone kami,,,lepastu ustaz,,,bkn kain putih je yg dia guna,,dia ada guna kain hitam n kuning jgak,,,sy tak pastila apa tujuan dia buat mcm tu,,,ok ustaz tu rawatn fizikal,,utk rawatan fisiologi pula,dia minta dkt kwn sy ni nk buat duduk /baring? Kwn sy minta utk buat duduk,,then “ustaz” tu dia pegang tangan kiri kwn sy pastu dia sentuh jari pertama sambil dia suruh kwn sy tutup mata sambil imagine buat apa ntah,,sy tak tahu,,yg pasti ustaz tu pelik,,,lg satu ustaz ,,dia kata dia boleh naikkan seri wajah,,,dia tanya Kat kami,,manusia dicipta drpd berapa unsur? Kami teka 5,, tanah,air,angin,api,dan cahaya,,pastu dia kata dia boleh naiikan seri wajah dgn mencampakkan “nur” di wajah kami,,sy pelek sbb setahu sy ,,Allah sahaja yg boleh campaakkan “nur” di wajah manusia,,,lepastu uztaz,,kawan sy ni dia tanya pulak Pasal jodoh,,pastu “ustaz tu kata,,”awak dah ada yg menanti dan awak kenal org tu”,,, apa lg ustaz,,kwn 2 sy yg lain pun berebut rebut tanya sy ada jodoh x,,itulah inilah,,,sy pelik la ustaz dgn “ustaz ni” sbb soal jodoh, maut tu semua benda ghoib,,qodo dan qodar Allah,, kan ustaz? Semoga ustaz beri pencerahan,,tk

    Reply
    1. Ustaz Abdullah Idris Post author

      Waalaikumussalam,

      Takde apa yang nak dicerahkan lagi.Sudah terang lagi bersuluh.Itu bukan kaedah rawatan yang benar mengikut kaedah Islam.Bersentuhan bukan mahram tanpa berlapik pun dah salah.

      Jangan percaya apa yang dikatakannya dan jangan ulang lagi rawatan dengan orang tersebut.

      Reply
  2. ahmad

    assalamualaikum tuan.

    saya ada seorang kawan yang mendakwa dihadiri oleh lembaga menyerupai manusia berjubah putih berbadan tinggi lampai dan sangat hensem bukan seorang tetapi begitu ramai ..mereka juga ada dikalangan wanita2 yang begitu cantik sekali yang tidak dapat dibayangkan bertapa cantiknya kumpulan wanita2 itu…mereka semua datang membantu memberikan ilmu perubatan kepada kawan saya..

    selepas menerima ilmu perubatan itu kawan saya telah pandai boleh mengubati sesiapa sahaja yang diganggu makluk halus ,..malah kawah saya boleh melihat sendiri makhluk halus tersebut dan boleh membuka hijab bagi siapa yang ingin melihat makhluk halus tersebut..

    saya merasa keliru dengan kenyataan kawan saya ini ..adakah apa yang diperolehi oleh kawan saya ilmu perubatan tanpa belajar terlebih dahulu ini adalah dariapada allah atau dari syaitan???

    sekian
    Ahmad Putrajaya.

    Reply
    1. Ustaz Abdullah Idris Post author

      Waalaikumussalam tuan Ahmad,

      Terima kasih atas pertanyaan anda.

      Pertamanya,kita perlu faham bahawa jalan untuk mendapatkan ilmu ialah melalui jalan belajar.Maksudnya kita berguru dan menadah kitab dengan guru tersebut. Ini adalah proses menuntut ilmu yang betul.Rasulullah sendiri belajar dari Jibril a.s.

      Jadi, seperti yang diceritakan tentang kawan tuan tu,saya khuatir bahawa kaedah mendapatkan ilmu itu bukan jalan yang sebenarnya.Khuatir kalau itu adalah cara halus yang digunakan oleh jin dan syaitan untuk menyesatkan manusia.

      Tambahan pula,tuan menceritakan bahawa kawan tuan tu boleh melihat makhluk halus dan boleh membuka hijab orang lain.Ini jelas bertentang dengan ajaran Islam,kerana al-Quran sendiri menjelaskan bahawa hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara-perkara ghaib.

      Reply
    1. Ustaz Abdullah Idris Post author

      Betul tu tuan.Kepercayaan kepada bomoh masih menebal dalam masyarakat kita.

      Reply
        1. Ustaz Abdullah Idris Post author

          Kalau limau tu sekadar dijampi dengan ayat-ayat ruqyah,takde masalah.Di pusat rawatan saya pun guna limau juga untuk pesakit mandi selama tujuh hari selepas dilakukan rawatan ruqyah.

          Reply

Ada pandangan? Kongsikannya.