Apakah Sumber Rujukan Pengubatan Islam?


Dalam artikel yang lalu, saya telah pun kongsikan dengan anda secara ringkas apakah kaedah rawatan Ruqyah Syariah. Dan saya harap perkongsian tersebut membantu anda.

Baiklah, dalam artikel kali ini, saya akan menulis pula tentang dari manakah sumber rujukan yang digunakan untuk kaedah rawatan pengubatan Islam, ataupun ruqyah syariah ini. Apabila kita tahu dari mana sumbernya, kita akan dapat menggunakan kaedah rawatan ini dengan yakin dan tanpa ragu-ragu.

Sumber Rujukan Pengubatan Islam

Sumber rujukan utamanya ialah al-Quran, as-Sunnah dan juga dari pengalaman as-Salafussoleh, yang terdiri daripada golongan as-Salaf dan al-Khalaf. Apakah yang dimaksudkan dengan as-Salaf dan al-Khalaf?

As-Salaf ialah golongan yang terdiri daripada ulama tiga kurun awal iaitu sahabat Rasulullah, tabi’in dan atba’ tabi’in. Dan al-Khalaf pula terdiri daripada kalangan ulama yang hidup sesudah tiga abad pertama hijrah.

Amalan mereka dijadikan rujukan berdasarkan ilmu, keikhlasan dan kekuatan ingatan yang jarang didapati pada zaman sekarang. Perkara ini dapat dirujuk kepada hadis Rasulullah s.a.w yang menyebutkan tentang tiga kurun terbaik.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Malik bin Anas r.a yang bermaksud:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya” (Hadis riwayat Imam Malik [Kitab al-Qadr, Bab (an-Nahyi A’nil Qauli Bil Qadri), no hadis 1628]. Lihat Malik bin Anas Abu Abdullah al-Asbahi (1997H), al-Muwatta’, Kaherah: Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, j.5, h.297.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh ‘Imran bin Husayn r.a yang bermaksud:

“Sebaik-baik umatku adalah pada kurun ini (zaman Nabi s.a.w), dan kemudian zaman selepas itu (zaman tabi’in)” (Hadis riwayat al-Bukhari [Kitab Fada’il al-Sahabah, bab (Fada’il Ashabin Nabiyyi s.a.w), no hadis 3650].

Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah s.a.w yang menyuruh kita selaku umat Islam berpegang dengan sunnah baginda dan para sahabat.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-‘Irbad bin Sariyah yang bermaksud:

“Maka berpeganglah kamu dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin al-Mahdiyyin. Genggamlah ia seperti menggunakan genggaman pada geraham kamu” (Hadis riwayat Ibnu Majah [Kitab al-Muqaddimah, Bab (Ittiba’i Sunnatil Khulafa’ir Rasyidin al-Mahdiyyin), no hadis 42].

Oleh yang demikian Allah s.w.t menyeru hamba-Nya agar sentiasa berdoa memohon sebarang hajat asalkan ianya bukan perkara maksiat dan mungkar. Memandangkan rahmat Allah itu luas, maka sesiapa yang enggan berdoa dan beribadat dianggap sebagai sombong dan takbur.

Firman Allah s.w.t di dalam al-Quran, surah Ghafir ayat 60, yang bermaksud:

Dan Tuhan kamu berfirman “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dan takbur daripada beribadat kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”.

Nota: Sumber rujukan artikel ini diambil dari buku bertajuk “Pengantar Pengubatan Islam: Kaedah Rawatan Penyakit Berdasarkan Petunjuk Rasulullah s.a.w”, karangan Tuan Guru Dato Dr. Harun Din.

Adakah artikel ini membantu anda? Jika ya, daftar newsletter atau ikuti perkembangan blog ini melalui facebook atau google+.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ada pandangan? Kongsikannya.