Apakah Sumber Rujukan Perubatan Islam?

apakah sumber yang digunakan dalam kaedah perubatan ruqyah?
Anggaran Masa Bacaan: 3 minit

Dikemaskini pada 23/07/2021 oleh Ustaz Abdullah

Dalam artikel yang lalu, saya telah pun kongsikan dengan anda secara ringkas apakah kaedah rawatan Ruqyah Syariah.

Dan saya harap perkongsian tersebut membantu anda.

Baiklah, dalam artikel kali ini, saya akan menulis pula tentang dari manakah sumber rujukan yang digunakan untuk kaedah rawatan pengubatan Islam, ataupun ruqyah syariah ini.

Apabila kita tahu dari mana sumbernya, kita akan dapat menggunakan kaedah rawatan ini dengan yakin dan tanpa ragu-ragu.

Subtopik Dalam Artikel Ini:

Konsep Perubatan Islam

Apakah yang dimaksudkan dengan konsep?

Menurut Wikipedia, konsep adalah satu kognitif unit makna-sebuah idea abstrak atau simbol mental adakalanya dijelaskan sebagai “unit pengetahuan”, dibina daripada unit lain yang bertindak sebagai ciri-ciri konsep.

Sebuah konsep selalunya dikaitkan dengan perwakilan serupa dalam sesuatu bahasa atau simbologi seperti satu perkataan.

Macam terlalu susah nak fahamkan?

Kalau anda susah nak faham, jangan peningkan kepala anda untuk faham makna konsep.

Cukuplah untuk anda tahu bahawa konsep itu macam kaedah.

Maksudnya apabila disebut konsep perubatan Islam, kaedah tersebut mestilah mempunyai ciri-ciri yang saya senaraikan di bawah.

Apa sahaja kaedah perubatan yang mempunyai ciri-ciri ini maka ianya adalah kaedah yang berkonsepkan perubatan Islam.

Ciri-cirinya ialah:

  1. Merawat penyakit menggunakan Al-Quran dan doa.
  2. Mengakui penyakit dan kesembuhan adalah datangnya dari Tuhan yang Maha Pencipta iaitulah Allah SWT.
  3. Mengakui setiap penyakit ada ubatnya melainkan maut.
  4. Kaedah rawatan dan perubatan mestilah tidak bercanggah dengan hukum-hukum asas Islam.

Anda dah faham konsep perubatan Islam?

Dalam subtopik yang kedua, saya akan jelaskan pula dari mana datangnya sumber rujukan perubatan Islam.

Sumber Rujukan Perubatan Islam

Sumber rujukan utamanya ialah al-Quran, as-Sunnah dan juga dari pengalaman as-Salafussoleh, yang terdiri daripada golongan as-Salaf dan al-Khalaf. Apakah yang dimaksudkan dengan as-Salaf dan al-Khalaf?

As-Salaf ialah golongan yang terdiri daripada ulama tiga kurun awal iaitu sahabat Rasulullah, tabi’in dan atba’ tabi’in. Dan al-Khalaf pula terdiri daripada kalangan ulama yang hidup sesudah tiga abad pertama hijrah.

Amalan mereka dijadikan rujukan berdasarkan ilmu, keikhlasan dan kekuatan ingatan yang jarang didapati pada zaman sekarang. Perkara ini dapat dirujuk kepada hadis Rasulullah s.a.w yang menyebutkan tentang tiga kurun terbaik.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Malik bin Anas r.a yang bermaksud:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya” (Hadis riwayat Imam Malik [Kitab al-Qadr, Bab (an-Nahyi A’nil Qauli Bil Qadri), no hadis 1628]. Lihat Malik bin Anas Abu Abdullah al-Asbahi (1997H), al-Muwatta’, Kaherah: Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, j.5, h.297.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh ‘Imran bin Husayn r.a yang bermaksud:

“Sebaik-baik umatku adalah pada kurun ini (zaman Nabi s.a.w), dan kemudian zaman selepas itu (zaman tabi’in)” (Hadis riwayat al-Bukhari [Kitab Fada’il al-Sahabah, bab (Fada’il Ashabin Nabiyyi s.a.w), no hadis 3650].

Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah s.a.w yang menyuruh kita selaku umat Islam berpegang dengan sunnah baginda dan para sahabat.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-‘Irbad bin Sariyah yang bermaksud:

“Maka berpeganglah kamu dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin al-Mahdiyyin. Genggamlah ia seperti menggunakan genggaman pada geraham kamu” (Hadis riwayat Ibnu Majah [Kitab al-Muqaddimah, Bab (Ittiba’i Sunnatil Khulafa’ir Rasyidin al-Mahdiyyin), no hadis 42].

Oleh yang demikian Allah s.w.t menyeru hamba-Nya agar sentiasa berdoa memohon sebarang hajat asalkan ianya bukan perkara maksiat dan mungkar. Memandangkan rahmat Allah itu luas, maka sesiapa yang enggan berdoa dan beribadat dianggap sebagai sombong dan takbur.

Firman Allah s.w.t di dalam al-Quran, surah Ghafir ayat 60, yang bermaksud:

Dan Tuhan kamu berfirman “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dan takbur daripada beribadat kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”.

3 Syarat Dalam Perubatan Islam

Lepas anda dah tahu dari mana diambilnya sumber rujukan untuk mempraktikkan rawatan Islam, saya nak kongsikan pula 3 syarat utama yang mesti dipatuhi dalam amalan perubatan Islam.

3 syarat tersebut ialah:

  1. Pesakit dan perawat mestilah beriktikad di dalam hati bahawa ayat-ayat yang dibaca adalah sebagai ikhtiar semata-mata dan kesembuhan itu datangnya dari Allah semata-mata.
  2. Ayat-ayat yang dibaca mestilah daripada ayat-ayat Al-Quran ataupun daripada hadis-hadis Nabi s.a.w.
  3. Bacaan mestilah di dalam bahasa Arab, ataupun dalam bahasa yang dapat difahami.

3 syarat ini anda boleh jadikan sebagai panduan untuk mencari perawat yang benar-benar mempraktikkan ilmu perubatan Islam.

Sekiranya perawat meletakkan selain daripada 3 syarat di atas, nasihat saya adalah tinggalkan perawat tersebut.

Sebagai contoh, ada kes pesakit saya yang memberitahu bahawa perawat yang merawat beliau sebelum ini mensyaratkan supaya memakai pakaian sehinggalah pakaian tersebut berbau.

Kemudian bawa pakaian tersebut apabila hendak mendapatkan rawatan.

Pakaian yang berbau tersebut akan dibakar.

Ini adalah contoh rawatan yang tidak mematuhi 3 syarat di atas.

Jadi, meninggalkan kaedah ini adalah lebih baik.

Kesimpulan

Anda mestilah selalu mencari dan menambah ilmu pengetahun berkaitan dengan kaedah-kaedah perubatan Islam.

Tak semestinya bila anda belajar, mesti kena jadi perawat.

Apabila anda ada ilmu, sekurang-kurangnya anda boleh merawat ahli keluarga anda.

Atau anda boleh merawat diri anda sendiri dengan ilmu ruqyah yang anda belajar.

Atau paling kurang, anda dapat menyelamatkan diri dan ahli keluarga anda daripada tertipu dengan kaedah-kaedah yang bercanggah dengan syariat Islam.

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila kongsikan dengan rakan-rakan anda agar mereka juga mendapat manfaat yang sama. Selain itu, anda juga boleh melanggan artikel saya terus melalui emel. Klik di sini untuk melanggan secara percuma.

Follow saya di sosial media:
Apakah Sumber Rujukan Perubatan Islam?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!