Bagaimana Cara Mengetahui Makanan Yang Disihir?

Anggaran Masa Bacaan: 4 minit

Dikemaskini pada 24/07/2023 oleh Ustaz Abdullah

Ada pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh tukang sihir untuk menghantar sihir kepada mangsanya.

Jika anda pernah membaca artikel saya sebelum ini yang bertajuk 4 Cara Sihir Dihantar Kepada Mangsa, saya ada kongsikan bahawa salah satu caranya sihir dihantar adalah melalui makanan.

Ataupun lebih popularnya ia dikenali sebagai santau.

Jadi, bagaimana kita nak mengetahui jika makanan atau minuman yang telah dijampikan dengan mentera-mentera sihir?

Apakah gejala-gejala yang akan berlaku kepada mangsa yang memakan makanan atau minuman tersebut?

Seperti yang selalu saya jelaskan dalam artikel-artikel saya sebelum ini, apabila seseorang itu telah disihir akan ada pada dirinya gejala-gejala.

Dari situlah, kita akan dapat mengenalpasti mereka yang terkena sihir.

Cara Makanan Atau Minuman Disihir

Anda pernah dengar tentang santau? Apa yang dikatakan dengan santau ini?

Santau adalah merujuk kepada sejenis ilmu sihir yang digunakan untuk meracun musuh.

Biasanya santau ini akan dihantar kepada mangsa melalui 2 cara, iaitu:

  • secara fizikal
  • santau angin

Kalau secara fizikal biasanya orang yang membuat santau itu akan meletakkan sendiri racun-racun santau ke dalam makanan atau minuman orang yang hendak disantau.

Manakala santau angin pula dimasukkan ke dalam makanan atau minuman mangsa dengan bantuan jin.

Bahan-Bahan Yang Digunakan Untuk Membuat Santau

Ada 3 jenis bahan utama yang biasanya digunakan untuk membuat racun santau.

Ianya dibuat dengan menggunakan bahan-bahan yang terdiri daripada benda-benda yang gatal (miang), bisa dan pedih.

  1. Bahan bisa diperolehi daripada bahan untuk membuat racun seperti air lipan bara, bisa ular senduk, bisa ular kapak, biasa katak puru, obor-obor, bisa getah ipoh dan sebagainya.
  2. Bahan miang atau gatal pula adalah seperti miang sembilu buluh, miang tebu, miang rebung, tali guni, ulat bulu yang masih hidup. Mangsa yang terkena santau jenis ini selalunya akan merasa gatal di tekak, manakala badannya akan terasa bisa-bisa.
  3. Bahan pedih (melukakan) yang menyebabkan mangsa merasa pedih apabila terkena santau. Banhan tersebut adalah kaca, mentol lampu, rambut, benang sutera, tali sabut, kuku manusia atau binatang, kelongsong telur ayam, bahan-bahan kotor daripada binatang yang telah mati seperti kulit lipas, lipan dan sebagainya.

Tanda-Tanda Anda Telah Termakan Makanan Yang Disihir

Tanda-tanda sihir yang dimasukkan melalui makanan atau minuman ialah:

1) Jika sihir yang dimasukkan melalui makanan atau minuman yang masih baru, maka akan timbul rasa sakit dibahagian perut iaitu rasa bisa disebelah tepi perut. Selain itu mangsa juga akan mengalami muntah yang banyak pada awalnya.

2) Rasa mual dibahagian leher apabila mendengarkan ayat-ayat Al-Quran, terutamanya ayat-ayat ruqyah.

3) Perut terasa banyak angin dan akan menjadikan seseorang itu membuang angin setiap kali selesai berwudhu atau dipertengahan solat.

4) Merasakan adanya pergerakan diperut sewaktu diruqyah atau ketika mendengar bacaan Al-Quran.

5) Merasakan seperti adanya bebola dibahagian kerongkong setiap kali ingin membaca Al-Quran.

6) Merasakan adanya bahang panas dihujung-hujung jari ataupun diseluruh badan terutamanya ketika mendengar bacaan Al-Quran.

7) Munculnya bau busuk dibahagian tepi perut dan akan bertambah bau busuknya ketika diruqyah.

8) Hilang selera makan, dan tidak suka bahkan mungkin akan benci kepada susu dan madu.

9) Suami dan isteri tidak dapat melakukan persetubuhan dalam tempoh yang lama.

10) Sakit yang teramat sangat ketika datangnya haid.

11) Lemah dalam penglihatan.

12) Akan ternampak dihadapan matanya seakan-akan helaian rambut atau seutas tali yang terlilit dan akan kelihatan lebih jelas jika dipejamkan mata.

13) Mangsa akan berasa sakit dibahagian tapak sihir itu berada walaupun hanya disentuh sedikit sahaja.

14) Rasa susah untuk bernafas walaupun tidak mempunyai penyakit asma atau penyakit lainnya.

15) Wajah akan bertukar menjadi kehitaman ketika diruqyah. Apabila diruqyah dan hilang sihir tersebut, maka wajah akan kembali cerah seperti sediakala.

16) Sakit dibahagian bawah punggung, terutamanya dibahagian tulang ekor.

17) Pembengkakan pada tangan dan kaki atau akan munculnya lebam-lebam kebiruan, dan kemungkinan disitulah pusat sihir berada. Boleh diruqyah dan dibekam dikawasan tersebut.

18) Mengeluarkan hingus dan meludah ketika diruqyah.

19) Rasa berat di badan, terutamanya dibahagian tengkuk dan kedua bahu.

Jika anda mengalami 19 gejala-gejala di atas, besar kemungkinan anda telah terminum atau termakan makanan/minuman yang telah dijampi dengan jampi-jampi sihir.

Mungkin anda telah termakannya ketika menghadiri majlis  keramaian atau kenduri-kendara. Jadi untuk mengelakkan termakan makanan atau minuman yang telah disihir, anda boleh lakukan kaedah yang saya kongsikan dalam artikel saya yang bertajuk Cara Elakkan Sihir Melalui Makanan. InshaaAllah ada kebaikannya.

Jika anda telahpun terkena sihir yang dihantar melalui makanan atau minuman, boleh amalkan kaedah di bawah:

1) Menjaga solat berjemaah untuk lelaki. Jika perempuan, pastikan sentiasa solat diawal waktu di rumah (wanita lebih utama solat dirumah berbading di masjid)

2) Membaca atau mendengar bacaan Surah Al-Baqarah dan menghayati maknanya. Lakukan amalan ini setiap hari.

3) Membaca ayat-ayat pendinding/pelindung diri iaitu Al-Muawwizatain setiap hari.

4) Istiqamah mengamalkan zikir, terutamanya zikir pagi dan petang. Amalkan setiap hari.

5) Jauhkan dari mendengar muzik atau menonton filem kerana ia akan melalaikan dari mengingati Allah.

6) Pesakit perlu memahami bahawa ketaatan adalah faktor yang sangat penting yang mana ianya mempengaruhi cepat atau lambatnya kesembuhan kerana kesembuhan itu datang daripada Allah semata-mata.

7) Dan terakhir sekali, perbaiki semula akidah kita dan ikhlaskan segala amalan soleh yang dilakukan. Sentiasalah mengaku dan sedar akan dosa-dosa yang dilakukan dan selalulah memohon ampun kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.

Sekiranya anda melakukan kaedah-kaedah di atas dengan iqtiqamah, yakinlah Allah akan memberikan kesembuhan kepada anda.

Kesimpulan

Walaupun sihir boleh dilakukan dengan pelbagai cara, tetapi yakinlah bahawa sihir itu adalah lemah sama sekali kerana ianya adalah perbuatan makhluk.

Bahkan sihir itu sendiri tidak berkuasa melainkan ianya berlaku dengan izin Allah semata-mata.

Jadi apa yang paling penting sekali di sini ialah dekatkan diri kepada Allah dan mulalah membina pendinding diri dari kejahatan sihir.

Kalau anda ada persoalan yang ingin diajukan, tuliskan soalan anda diruangan komen yang disediakan.

Follow saya di sosial media:
Bagaimana Cara Mengetahui Makanan Yang Disihir?
Scroll to top
error: Maaf. Artikel ini tidak dibenarkan untuk copy!!