Dikemaskini pada 27/10/2024 oleh Ustaz Abdullah
Adakah dibenarkan dalam Islam untuk berjumpa dengan tukang sihir bagi mengatasi masalah sihir?
Dalam masyarakat kita, amalan sihir dan gangguan ghaib bukanlah perkara yang asing.
Ramai yang mengalami pelbagai bentuk gangguan, dan dalam usaha mencari kesembuhan, sesetengah individu sanggup mencuba pelbagai cara, termasuk mendapatkan bantuan daripada tukang sihir.
Namun, persoalan yang sering timbul ialah, apakah hukum berjumpa dengan tukang sihir untuk merawat sihir menurut perspektif Islam?
Di dalam artikel ini saya akan menyingkap pandangan Islam mengenai isu ini selain akan menjelaskan juga tentang rawatan yang selari dengan syariat, iaitu ruqyah syar’iyyah.
Isi Kandungan Artikel
Pengenalan: Apakah Tukang Sihir dan Rawatan Sihir?
Di dalam kefahaman masayarakat hari ini, tukang sihir adalah merujuk kepada individu yang menggunakan amalan ghaib untuk mempengaruhi keadaan fizikal, emosi dan juga mental seseorang.
Selain itu, mereka juga dikaitkan dengan penggunaan ilmu hitam dan meminta bantuan dari jin untuk melaksanakan tujuan mereka.
Tukang sihir menggunakan ilmu sihir yang mereka ada untuk menawarkan pelbagai bantuan seperti memutuskan hubungan, menyebabkan penyakit, memulihkan orang yang disihir ataupun mengembalikan kasih sayang seseorang.
Amalan-amalan ini walaupun dapat memberikan kesan yang sementara, ianya adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan mengundang kemurkaan Allah s.w.t.
Namun begitu, masih terdapat segelintir dikalangan masyarakat hari ini yang masih mendapatkan bantuan dari mereka walaupun sedar tentang bahaya yang mungkin akan berlaku apabila mendapatkan bantuan dari tukang sihir.
Apakah sebabnya?
Salah satu sebab utama ialah tukang sihir zaman sekarang pandai memanipulasi imej mereka dengan berselindung disebalik topeng agama.
Mereka menyamar kononnya sebagai pengamal perubatan Islam, berpakaian yang menonjolkan identiti Islam seperti berjubah, berserban, berjanggut dan sebagainya.
Selain itu, mereka juga bijak mengeluarkan kata-kata yang manis dan indah yang mencerminkan kebaikan pada diri mereka, bahkan ada yang mampu membaca ayat-ayat Al-Quran untuk mengaburi dan meyakinkan masyarakat bahawa rawatan mereka adalah bersandarkan kepada agama.
Dengan kelicikan tukang sihir zaman moden ini menyembunyikan identiti mereka, menyebabkan masyarakat menjadi sangat keliru, sehingga tidak dapat dibezakan lagi diantara perawat yang benar-benar menggunakan kaedah ruqyah syar’iyyah dengan rawatan yang menggunakan ilmu sihir.
Selain itu, perkara lain yang menyumbang kepada keadaan ini ialah apabila ada segelintir yang merasa terdesak dan merasakan tiada pilihan selain daripada mendapatkan bantuan dari tukang sihir.
Dari pemerhatian saya, kurang atau ketiadaan kefahaman tentang kaedah perubatan ruqyah syar’iyyah dan juga kurangnya kepercayaan kepada penyembuhan yang datang hanya dari Allah s.w.t juga menjadi faktor mengapa ada sebilangan masyarakat yang sanggup menggunakan bantuan daripada tukang sihir.
Mana tidaknya, selepas mendapatkan rawatan dari ramai perawat-perawat Islam, masalah sihir yang dihadapi tidak juga sembuh, menjadikan mereka ini cemas dan akhirnya sanggup berjumpa dengan tukang sihir walaupun sedar tentang bahaya dan risikonya yang besar baik dari segi akidah dan amalan agama.
Pandangan Islam Terhadap Sihir & Tukang Sihir
Di dalam Islam sihir adalah satu perbuatan yang sangat keji dan dilarang keras. Ini disebabkan amalan sihir melibatkan penggunaan kuasa ghaib dengan cara meminta bantuan daripada jin dan semestinya tujuannya juga adalah bertentangan dengan ajaran agama.
Perbuatan sihir bukan sahaja menzalimi orang lain, tetapi ia juga menjurus kepada syirik kerana telah menyekutukan Allah dengan kuasa selain daripada-Nya.
Selain itu, perbuatan sihir akan merosakkan hubungan diantara manusia dengan Tuhannya dan juga sesama manusia, serta akan membawa kebinasaan kepada pelakunya dan mereka yang terlibat dengannya.
Kedudukan tukang sihir dalam Islam pula sangat jelas. Mereka ini adalah individu yang mengamalkan sihir dan bekerjasama dengan makhluk jin yang mana perbuatan tersebut merupakan suatu larangan secara mutlak di dalam agama.
Oleh kerana itu, Islam bukan sahaja melarang perbuatan sihir, malah melarang keras penganutnya meminta bantuan daripada tukang sihir untuk sebarang tujuan, walaupun untuk merawat sihir.
Dalil Al-Quran mengenai sihir:
Al-Quran dengan jelas menyebut tentang sihir dan kesannya dalam beberapa ayat, antaranya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 102:
“Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman, padahal Sulaiman tidak kafir, hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir. Mereka mengajarkan sihir kepada manusia, dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat di negeri Babil (yaitu) Harut dan Marut. Namun keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seseorang sebelum mengatakan, ‘Sesungguhnya kami hanya ujian (bagimu), sebab itu janganlah kafir.’ Maka mereka mempelajari dari keduanya apa yang (dapat) memisahkan antara seseorang (suami) dengan isterinya. Tetapi mereka tidak memberi mudarat dengan sihir itu kepada seorang pun kecuali dengan izin Allah.”
(Surah Al-Baqarah, 2:102)
Di dalam ayat ini, anda dapat melihat bahawa sihir digunakan untuk tujuan jahat iaitu memisahkan hubungan suami isteri, dan ia datang daripada sumber syaitan.
Namun, Allah menegaskan bahawa sihir hanya boleh memberi kesan jika diizinkan oleh-Nya, sebagai ujian bagi manusia. Amalan ini jelas bertentangan dengan syariat dan menyebabkan pelakunya terjerumus ke dalam kekufuran.
Manakala hadis yang menyebut tentang sihir dan juga hukum berjumpa dengan tukang sihir dalah seperti berikut:
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu?” Baginda bersabda, “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, dan menuduh wanita-wanita mukmin yang baik-baik melakukan zina.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas menyenaraikan sihir sebagai dosa-dosa besar yang mana ianya akan merosakkan akidah dan amalan anda.
Di dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang mendatangi tukang ramal (atau tukang sihir) dan mempercayai apa yang dikatakannya, maka dia telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud)
Hadis yang kedua ini pula menjelaskan bahawa jika anda berjumpa dengan tukang sihir atau tukang ramal dan anda mempercayai pula kata-kata mereka, maka anda telah jatuh ke dalam kekufuran.
Kenapa kufur?
Sebab apabila anda mempercayai apa yang mereka katakan, anda telah kufur kepada ajaran Nabi yang mana Baginda mengajar kita bahawa hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui perkara ghaib.
Jadi, berdasarkan kepada dalil-dalil yang saya kongsikan di atas, anda dapat memahami bahawa hukum berjumpa dengan tukang sihir adalah haram sama sekali dan termasuk dalam perbuatan berdosa besar.
Islam melarang kita daripada berurusan dengan tukang sihir disebabkan mereka terlibat dengan perbuatan yang menyekutukan Allah s.w.t.
Dan meminta pertolongan kepada tukang sihir juga adalah dilarang, walaupun dengan tujuan yang baik seperti untuk menyembuhkan penyakit ataupun merawat sihir.
Ini kerana sihir dan segala yang berkaitan dengannya adalah menyalahi prinsip tauhid yang mana tauhid merupakan perkara paling asas dalam agama.
Sebagai alternatif, Islam menekankan penggunaan ruqyah syar’iyyah di mana ianya kaedah rawatan yang menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran dan tidak melibatkan unsur syirik.
Ruqyah syar’iyyah juga adalah kaedah rawatan yang sahih dan selamat daripada amalan-amalan yang dilarang oleh agama.
Hukum Berjumpa Tukang Sihir untuk Merawat Sihir
Di dalam Islam, hukum berjumpa dengan tukang sihir adalah haram dan dilarang keras. Walaupun anda berada dalam keadaan terdesak macam mana pun, pilihan untuk berjumpa dengan tukang sihir tetap tidak dibenarkan.
Ini kerana Islam menegaskan bahawa sihir merupakan satu amalam syirik kerana meletakkan pergantungan kepada selain Allah iaitu jin dan ianya adalah bertentang dengan prinsip tauhid.
Berjumpa tukang sihir, walaupun dengan niat yang baik iaitu menghilangkan sihir yang dikenakan ke atas diri atau orang lain, tidak dibenarkan kerana ia mengandungi unsur kebergantungan kepada makhluk halus dan syaitan.
Yang mana anda sedia maklum bahawa syaitan merupakan makhluk yang melawan perintah Allah.
Selain itu, ramai yang tidak sedar bahawa tindakan berjumpa dengan tukang sihir sebenarnya akan membuka pintu kepada lebih banyak gangguan jin dan syaitan kerana mereka sering mengambil kesempatan terhadap individu yang mencari bantuan dari jalan yang salah.
Keadaan ini boleh menyebabkan anda mengalami penyakit rohani yang lebih parah, termasuk rosaknya iman dan hilangnya keyakinan terhadap kuasa Allah.
Larangan Menggunakan Jin dalam Rawatan
Islam dengan tegas melarang penggunaan jin dalam apa-apa bentuk rawatan, sama ada untuk menyembuhkan sihir, penyakit, atau masalah lain.
Penggunaan jin, sama ada melalui tukang sihir atau perawat yang mengaku menggunakan jin Islam untuk tujuan baik, dianggap sebagai syirik kerana ia merupakan satu bentuk pergantungan kepada selain daripada Allah.
Nasihat saya jangan tertipu dengan dakwaan perawat yang kononnya menggunakan bantuan jin Islam.
Jin adalah makhluk yang tidak boleh dipercayai, dan sering kali, walaupun jin yang didakwa “baik” digunakan, mereka akan meminta balasan yang melibatkan perbuatan yang tidak halal, seperti menyembelih binatang atau melafazkan kalimat-kalimat syirik.
Dan yang keduanya bagaimana perawat tersebut boleh menjamin yang jin tersebut benar-benar Islam.
Dalam Surah Al-Jinn, ayat 6, Allah berfirman:
“Dan sesungguhnya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.”
(Surah Al-Jinn, 72:6)
Ayat ini menekankan bahawa mencari bantuan daripada jin hanya akan membawa lebih banyak bahaya dan dosa, serta menjauhkan manusia daripada rahmat Allah.
Oleh itu, apa-apa bentuk rawatan yang melibatkan jin, walaupun dibungkus dengan istilah “perubatan tradisional” atau “perubatan Islam” sekalipun, iainya tetap dilarang dalam Islam.
Perbezaan Diantara Rawatan yang Menggunakan Jin dan Ruqyah Syar’iyyah
Ruqyah syar’iyyah adalah kaedah rawatan Islam yang sahih, kerana ianya menggunakan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Ia adalah amalan yang diiktiraf dan dibenarkan dalam Islam kerana ia tidak melibatkan unsur syirik dan hanya meletakkan pergantungan kepada kekuasaan Allah dan meyakini hanya Dia sebagai penyembuh.
Berbeza dengan penggunaan jin, ruqyah syar’iyyah adalah proses yang bersih dari segala bentuk amalan yang melibatkan bantuan daripada makhluk halus iaitu jin.
Dalam ruqyah, perawat hanya menggunakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, zikir, dan doa yang dipanjatkan terus kepada Allah dengan penuh keyakinan bahawa kesembuhan hanya datang dari-Nya.
Contoh ayat-ayat yang biasa digunakan dalam ruqyah termasuklah Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi, Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, dan Surah An-Nas.
Perbezaan utama antara rawatan ruqyah syar’iyyah dan rawatan yang menggunakan bantuan jin adalah terletak pada sumber kebergantungan.
Ruqyah syar’iyyah bergantung sepenuhnya kepada kekuasaan Allah, manakala rawatan dengan jin melibatkan syirik kerana meminta bantuan daripada makhluk lain selain Allah.
Dalam ruqyah, tidak ada sebarang unsur atau amalan yang mencurigakan, manakala rawatan dengan jin sering kali mengandungi elemen-elemen yang mencurigakan seperti bacaan mentera, penyembahan, atau tawaran kepada jin, yang jelas bertentangan dengan prinsip Islam.
Oleh itu, ruqyah syar’iyyah adalah satu-satunya kaedah rawatan yang sah dan selamat untuk mengubati gangguan sihir atau penyakit yang berkaitan dengan jin dalam Islam.
Ia menjaga akidah dan hubungan seseorang dengan Allah, sekaligus menghindarkan mereka daripada terjerumus ke dalam amalan yang boleh merosakkan iman.
Alternatif Rawatan: Ruqyah Syar’iyyah Sebagai Penyelesaian Islam
Dalam menangani gangguan sihir, terdapat perbezaan yang jelas antara perawat Islam dan tukang sihir dari segi pendekatan, niat, dan kaedah rawatan yang digunakan.
Perawat Islam menggunakan ruqyah syar’iyyah, iaitu rawatan yang bersandarkan kepada Al-Quran dan sunnah, manakala tukang sihir menggunakan kaedah-kaedah syirik yang melibatkan jin.
1) Sumber Pergantungan
- Perawat Islam hanya bergantung kepada kekuasaan Allah sebagai sumber penyembuhan. Mereka menggunakan ayat-ayat Al-Quran, doa-doa yang sahih dari sunnah, dan zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW. Mereka menekankan bahawa segala kesembuhan hanya datang dari Allah.
- Sedangkan tukang sihir menggunakan bantuan jin untuk mengatasi sihir. Mereka bergantung kepada makhluk selain Allah, melakukan amalan syirik, dan kebanyakannya melibatkan upacara-upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam, seperti membaca mentera atau melakukan korban kepada jin.
2) Matlamat Rawatan
- Perawat Islam bertujuan untuk memulihkan pesakit dengan cara yang diredai Allah, sambil memastikan bahawa akidah pesakit terpelihara. Mereka tidak akan terlibat dalam apa-apa amalan yang melibatkan syirik, penipuan, atau kebergantungan kepada makhluk lain.
- Tukang sihir biasanya lebih mementingkan hasil segera dan kebiasaannya hanya memberi kesan sementara. Dan, rawatan mereka biasanya akan membawa kepada ketergantungan berterusan kepada jin, yang akhirnya merosakkan akidah pesakit.
3) Kaedah Rawatan
- Perawat Islam menggunakan kaedah ruqyah syar’iyyah, iaitu bacaan ayat-ayat suci Al-Quran seperti Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi, Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas. Mereka juga menggunakan doa-doa yang diajarkan dari hadis Nabi s.a.w untuk melindungi diri dan mengusir gangguan sihir dengan cara yang dibenarkan oleh syarak.
- Tukang sihir pula sebaliknya menggunakan bacaan mentera, azimat, atau jampi-jampi yang tidak mempunyai asas dalam Al-Quran atau sunnah. Amalan-amalan ini kebiasaannya akan melibatkan penggunaan simbol-simbol, mantera, dan upacara yang mencurigakan, yang bertentangan dengan Islam.
4) Pandangan Islam
- Perawat Islam kebiasaannya dihormati di dalam masyarakat kerana mereka mengikuti panduan syariat dalam usaha menyembuhkan pesakit tanpa melibatkan perkara yang dilarang oleh agama. Rawatan mereka adalah berdasarkan Al-Quran dan hadis yang sahih.
- Tukang sihir pula adalah individu yang telah melampaui batas syariat. Berurusan dengan mereka adalah haram dan dilarang keras dalam Islam kerana mereka bergantung kepada makhluk selain Allah.
Kepentingan Ruqyah Syar’iyyah sebagai Alternatif Rawatan Sihir secara Islam
Ruqyah syar’iyyah merupakan satu-satunya kaedah rawatan yang disarankan dalam Islam sebagai salah satu ikhtiar untuk menangani masalah sihir dan juga gangguan jin.
Ia adalah rawatan alternatif yang diiktiraf oleh Islam kerana berlandaskan Al-Quran serta sunnah, menjadikannya pilihan yang selamat bagi anda yang ingin mendapatkan penyembuhan tanpa melibatkan amalan syirik atau bertentangan dengan akidah.
1) Menjaga Akidah dan Iman
- Ruqyah syar’iyyah memastikan akidah pesakit tidak terjejas kerana ia hanya bergantung kepada Allah semata-mata. Berbanding dengan rawatan sihir yang melibatkan jin, ruqyah syar’iyyah menguatkan keimanan kepada Allah dengan mempercayai bahawa segala kesembuhan datang daripada-Nya. Ini penting untuk memastikan bahawa rawatan tersebut tidak membawa kepada kekufuran atau syirik, yang merupakan dosa besar dalam Islam.
2) Rawatan Yang Selamat dan Sahih
- Tidak seperti rawatan sihir yang melibatkan penggunaan jin, ruqyah syar’iyyah adalah rawatan yang bersih daripada unsur-unsur penipuan, tipu daya syaitan, atau manipulasi jin. Ia adalah kaedah yang diakui dan diamalkan oleh Rasulullah SAW sendiri serta para sahabatnya untuk menangani gangguan jin dan sihir.
3) Menghindari Pergantungan Kepada Jin
- Rawatan sihir dengan menggunakan bantuan dari tukang sihir biasanya akan melibatkan ketergantungan kepada jin. Anda mungkin terperangkap dalam lingkaran masalah yang berulang kerana jin yang digunakan oleh tukang sihir tidak menyelesaikan masalah, malah kadangkala hanya menyebabkan gangguan tersebut akan lebih parah. Sebaliknya, ruqyah syar’iyyah tidak menyebabkan ketergantungan seperti ini kerana ia memohon pertolongan langsung dari Allah, yang Maha Berkuasa dan Maha Pengasih.
4) Memperoleh Kesembuhan Dengan Rahmat Allah
- Perawat ruqyah akan menekankan kepada pesakit bahawa kesembuhan sebenar hanya boleh dicapai dengan izin dan rahmat Allah. Mereka mengajar pesakit untuk berdoa dan memohon kepada Allah dengan rendah hati, serta untuk meningkatkan ibadah dan ketakwaan sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah dalam usaha mendapatkan kesembuhan.
5) Menyucikan Diri dari Gangguan Ghaib
- Rawatan ruqyah syar’iyyah juga berperanan untuk menyucikan diri daripada sebarang gangguan jin dan sihir dengan cara yang disyariatkan. Ia bukan sahaja menghilangkan gangguan jin dan sihir tetapi juga membina benteng keimanan dan perlindungan rohani bagi pesakit supaya mereka tidak lagi mudah diganggu oleh makhluk halus pada masa akan datang.
Kesimpulannya, ruqyah syar’iyyah bukan sekadar rawatan fizikal dan mental, tetapi ia juga adalah rawatan spiritual yang menjaga keseimbangan akidah dan keimanan seseorang.
Ia menjadi sebab anda mendapat kesembuhan dengan cara yang diredhai Allah dan jauh daripada sebarang unsur syirik atau kebergantungan kepada makhluk selain Allah.
Dengan menggunakan ruqyah syar’iyyah, umat Islam dapat menangani gangguan sihir dengan cara yang diredai oleh Allah, sekaligus menjaga kesucian iman dan amalan agama.
Bahaya dan Kesan Berjumpa Tukang Sihir
Berjumpa dengan tukang sihir untuk mendapatkan rawatan atau penyelesaian masalah adalah satu tindakan yang dilarang keras dalam Islam.
Walaupun anda mendatangi mereka kerana terdesak atau mahu segera mengatasi gangguan sihir, tindakan ini membawa pelbagai kesan buruk yang mendalam, terutamanya dari segi aqidah, kehidupan harian, dan hubungan dengan Allah.
Selain itu, rawatan oleh tukang sihir lebih banyak membawa bahaya daripada manfaat.
1) Kesan Berjumpa Tukang Sihir Dari Sudut Akidah
Berurusan dengan tukang sihir bukan hanya melibatkan isu etika, tetapi juga membawa implikasi yang sangat berat terhadap aqidah seseorang. Dalam Islam, segala bentuk kebergantungan kepada selain daripada Allah, khususnya jin, dikategorikan sebagai syirik, iaitu mempersekutukan Allah. Ini adalah dosa terbesar dalam Islam dan akan membawa kepada kekufuran.
- Merosakkan Tauhid: Apabila anda bergantung kepada tukang sihir untuk merawat atau mengatasi masalah sihir, anda sebenarnya sedang menggantikan pergantungan kepada Allah dengan kebergantungan kepada makhluk, iaitu jin. Ini bertentangan dengan konsep tauhid, yang menuntut kita hanya memohon pertolongan daripada Allah, bukan selain-Nya.
- Keluar dari Agama Islam: Terdapat hadis yang menegaskan bahawa sesiapa yang mendatangi tukang sihir atau dukun dan mempercayai apa yang mereka katakan, dia telah keluar daripada Islam. Ini menunjukkan betapa beratnya implikasi dari segi aqidah bagi mereka yang berurusan dengan tukang sihir. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mendatangi seorang tukang ramal atau tukang sihir dan membenarkan apa yang mereka katakan, maka sesungguhnya ia telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.”
(HR Muslim)
2) Kesan Terhadap Kehidupan Seharian
Berjumpa tukang sihir bukan sahaja memberi kesan kepada aqidah, tetapi juga membawa bahaya kepada kehidupan harian seseorang. Walaupun mungkin ada manfaat sementara, seperti gangguan sihir yang kelihatan pulih seketika, namun rawatan oleh tukang sihir membawa risiko yang lebih besar dalam jangka panjang:
- Kesengsaraan Berpanjangan: Tukang sihir yang menggunakan jin sering kali tidak menyelesaikan masalah secara sepenuhnya. Sebaliknya, mereka hanya “memindahkan” masalah atau membuat jin sementara “diam.” Akibatnya, gangguan mungkin akan berulang, malah lebih buruk daripada sebelumnya, menyebabkan pesakit terperangkap dalam lingkaran sihir yang tidak berkesudahan.
- Ketergantungan kepada Jin: Berurusan dengan tukang sihir sering kali membawa kepada ketergantungan berterusan kepada jin. Pesakit mungkin merasakan keperluan untuk terus mendapatkan bantuan tukang sihir apabila masalah berulang. Ini boleh menyebabkan pesakit hilang keyakinan terhadap kuasa Allah dan terus bergantung kepada tukang sihir, yang akhirnya merosakkan kehidupan mereka.
- Kehilangan Ketenangan Jiwa: Rawatan oleh tukang sihir sering kali melibatkan unsur-unsur sihir hitam atau jin yang menuntut balasan tertentu. Balasan ini mungkin melibatkan amalan yang bercanggah dengan syariat Islam seperti penyembelihan haiwan, pemujaan roh, atau amalan-amalan syirik lain. Kesemua ini hanya akan membawa kekacauan rohani dan kegelisahan dalam jiwa pesakit.
3) Kesan Terhadap Hubungan Dengan Allah
Salah satu kesan paling serius apabila seseorang mendatangi tukang sihir ialah kerenggangan hubungan dengan Allah. Seperti yang dinyatakan, tindakan bergantung kepada tukang sihir membawa kepada perbuatan syirik, dan ini memberi kesan yang mendalam terhadap spiritualiti dan keimanan seseorang.
- Jauh dari Rahmat Allah: Mereka yang mengamalkan atau mempercayai sihir tidak akan mendapat rahmat Allah. Mereka akan dijauhkan daripada keberkatan dan pertolongan Allah kerana telah memilih jalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini bukan sahaja menjejaskan hubungan individu dengan Allah, tetapi juga menyebabkan mereka sukar mendapatkan ketenangan dalam hidup mereka.
- Tertutupnya Pintu Taubat: Syirik adalah dosa besar yang hanya akan diampunkan oleh Allah jika pelakunya bertaubat dengan ikhlas sebelum meninggal dunia. Namun, jika seseorang terus bergantung kepada tukang sihir tanpa menyedari kesalahan mereka, pintu taubat mungkin akan tertutup, dan ini akan menyebabkan mereka hidup dalam keadaan terputus dari pertolongan dan rahmat Allah.
4) Rawatan dengan Tukang Sihir Membawa Lebih Banyak Bahaya Berbanding Manfaat
Walaupun sesetengah orang merasakan bahawa mendapatkan rawatan daripada tukang sihir adalah satu-satunya pilihan untuk mengatasi sihir, hakikatnya rawatan tersebut membawa lebih banyak bahaya berbanding manfaat. Tukang sihir mungkin menggunakan jin atau syaitan untuk “mengawal” sihir, tetapi ini hanya akan menyebabkan masalah yang lebih buruk:
- Jin Menuntut Balasan: Jin yang digunakan oleh tukang sihir sering kali menuntut balasan. Ini boleh berupa syarat-syarat yang melanggar syariat, seperti menyembelih binatang tanpa nama Allah atau melakukan perbuatan-perbuatan haram. Jika syarat-syarat ini tidak dipenuhi, jin boleh menjadi lebih ganas dan kembali mengganggu pesakit dengan lebih teruk.
- Kerosakan Spiritual: Amalan yang dilakukan oleh tukang sihir mengundang gangguan jin dan syaitan yang lebih besar. Ini boleh mengakibatkan kerosakan spiritual yang serius, di mana pesakit menjadi lebih terdedah kepada gangguan rohani, serta mengalami pelbagai masalah dalam kehidupan peribadi mereka, seperti ketidakstabilan emosi, konflik keluarga, atau kesulitan dalam urusan harian.
- Mengundang Kemurkaan Allah: Dengan memilih jalan yang haram, pesakit telah mengundang kemurkaan Allah. Walaupun sihir kelihatan pulih buat sementara, kesannya boleh membawa kepada hilangnya keberkatan hidup, di mana pesakit menghadapi masalah yang lebih besar dalam jangka masa panjang.
5. Ruqyah Syar’iyyah sebagai Alternatif yang Selamat
Berbanding dengan rawatan oleh tukang sihir, ruqyah syar’iyyah adalah rawatan yang diiktiraf dalam Islam dan selamat dari segi spiritual dan fizikal. Ia menggunakan ayat-ayat Al-Quran, doa, dan zikir yang tidak melibatkan unsur-unsur syirik atau jin. Ruqyah syar’iyyah bukan sahaja menawarkan kesembuhan yang sebenar tetapi juga melindungi pesakit dari segala bentuk kejahatan makhluk ghaib tanpa melibatkan dosa besar.
Kesimpulannya, berjumpa dengan tukang sihir bukan sahaja merosakkan aqidah, tetapi juga membawa kesan buruk kepada kehidupan dan hubungan dengan Allah. Jalan yang selamat dan diredai adalah dengan kembali kepada Allah melalui ruqyah syar’iyyah, yang menawarkan perlindungan dan penyembuhan sebenar tanpa mengorbankan keimanan dan ketakwaan.
Kesimpulan: Larangan Meminta Bantuan Tukang Sihir
Secara ringkasnya, hukum berjumpa tukang sihir adalah haram dan termasuk dalam perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah. Islam melarang keras perbuatan mencari bantuan tukang sihir, kerana ia melibatkan syirik, mempersekutukan Allah dengan makhluk, yang merupakan dosa besar dan merosakkan aqidah.
Ini didasarkan kepada pelbagai dalil dari Al-Quran dan hadis yang melarang sihir serta memerintahkan umat Islam agar tidak bergantung kepada selain daripada Allah dalam usaha penyembuhan atau penyelesaian masalah.
Sebagai penegasan, rawatan sihir yang sahih dan dibenarkan dalam Islam hanyalah melalui kaedah ruqyah syar’iyyah, yang sepenuhnya berlandaskan ayat-ayat Al-Quran, doa, dan zikir yang tidak melibatkan jin atau syaitan.
Kaedah rawatan ini tidak bertentangan dengan syariat dan menghindarkan pesakit dari dosa besar, mengukuhkan lagi kebergantungan mereka kepada Allah serta menjaga aqidah dan keimanan.
Follow saya di sosial media: